OLEH: Abu Amru Radzi Othman
*Kata PENA,
Artikel ini ialah artikel yang terawal ditulis oleh Abu Amru. Kemudian penulis bersetuju untuk memamparkan artikelnya kembali di RMB. Diminta para pembaca untuk tidak lupa membaca 'REVISI' di bawah iaitu pembetulan yang dibuat sendiri oleh Abu Amru untuk artikel ini.
------------------ MULA ARTIKEL ------------------
“Bagaimana kemerdekaan negara ini berhasil?”
Apakah ia datang dengan tiba-tiba solah-olah Benggali Putih merasa lelah menjaga urusan manusia warna coklat ini?
Atau ia adalah tindakan tanpa sadar oleh orang kita; bangun dan menentang penjajah tanpa sebarang niat, seperti mereka digerakkan oleh satu kuasa suparnatural?
Atau kemerdekaan ini dirangkul kerna Tuhan menjahanamkan British seperti Tuhan pernah memusnahkan kaum Tsamud?
Jawaban ini seharusnya lebih logika dan bisa diimani dengan tenang oleh jiwa. Justeru kesemua idea diatas harus disimpan dalam kamar mandi kerna ia tidak mungkin bisa dipercayai.
Lalu bagaimana kita bisa merdeka?
Pasti kita percaya bahawa kemerdekaan sesuatu itu harus bermula dengan sebuah cetusan kesadaran. SADAR. Begitulah ketika Gautama terdasar bahawa ajaran nenek moyangnya tidak bisa mengobah manusia kepada sesuatu yang lebih baik.
Maka dia pun beruzlah dan bermunajat di bawah pohon Bodhi sehingga dia menjumpai 8 jalan kebenaran – swastika. Namun kasadaran dia tidaklah merubah apapun jua melainkan ajarannya sedikit baik (padahal lebih buruk) ketimbang ajaran nenek moyangnya, namum dia masih dalam kubangan kesyirikan.
Maka sesudah ribuan tahun datang seorang manusia bangsa Arab yang juga telah mengalami perasaan 'sadar', melihat bangsanya yang bergelumang dengan kebejatan, menyendiri memikirkan tentang kemerdekaan jiwa dan raga di puncak gunung – dalam gua.
Maka kemudian Tuhan mengutus malaikan untuk mengajarkannya satu kalimat yang merobah 'rupa bentuk' manusia sesudah itu. Bukan sahaja kegemilangan melanda bangsanya tetapi mewarnai seluruh dunia.
“Bacalah! Bacalah dengan nama Tuhan mu yang menjadikan!"
Maka sedari turun ayat ini dari kolong langit, bermulalah percambahan ilmu dan percerahan minda. Manusia berlomba-lomba untuk mendengar tiap bicara Tuhan yang diluahkan melalui lisan Muhammad saw. Mereka menghapalnya dan kemudian menulis dan membukukannya.
Akhirnya bertebaranlah kitab ini di seluruh dunia; dan lahirlah pelbagai disiplin ilmu dalam memerhatikan syariat Islam. Seluruh ilmu ini hanyalah kerna memenuhi tuntunan dari Ilahi dalam sejumlah kalamnya, yang berpusar pada makna: “Ketahuilah [dengan berilmu] bahawa Tiada Ilah yang haq melainkan Allah”.
Inilah yang bisa dihasilkan dari sebuah kesadaran! Sebuah perobahan yang amat besar ertinya.
Lalu apakah yang menyebabkan bangsa kita ini berubah dan tersadar dari penjajahan yang lama – hampir 300 tahun minda kita dimajal dan jasad kita dibelenggu?
Persoalan ini bisa kita lihat sebelum Tunku Abdur Rahman terbang ke London untuk berunding dengan Benggali Putih. Juga sebelum para Raja berkumpul untuk membicarakan tentang Malayan Union. Juga sebelum Onn Jaafar menubuhkan parti Melayu.
Ketika itulah datang satu kaum yang membicarakan tentang betapa Islam harus kembali kepada yang asli, dan untuk menjadikannya asli seperti di zaman Rasul dan sahabat, Islam harus di bersihkan dari kontaminasi dan kemudian dibangunkan kembali dengan kesungguhan. Semuanya harus bermula dengan ilmu dan jalan pikir yang satu – iaitu jalan pikir para manusia yang mendapat pendidikan langsung dari Utusan Allah; jalan Salaf.
Hasrat kelompok manusia ini yang mahu melihat bangsanya maju dalam kehidupan, yang mereka beriman bahwa manusia yang beriman itu pasti akan menjadi maju hanya dengan agama mereka, bukan selainnya; tetapi kedatangan mereka ditentang habis-habisan oleh manusia Muslim yang bertapuk – yang mempertahankan status quo.
Manusia yang memikirkan bahawa Islam itu tak perlukan pentafsiran yang baku – merujuk kepada pentafsiran sahabat – tetapi bisa difikir dan diilhamkan oleh setiap jalan pikir manusia yang digelar Ulama.
Lalu kaum yang menyeru memberlakuknya reformasi dalam kehidupan beragama digelar sebagai Kaum Muda, dan dikatakan sebagai pemecah belah masyarakat.
Tetapi Kaum Muda ini terus saja marak menyebat risalah pembaharuan sehingga banyak manusia mulai sadar yang akhirnya memicu kepada pembebasan negara ini dari jajahan Kuffar.
Lalu kalaulah ada manusia yang bersorban, yang mengatakan bahawa Kaum Muda sebagai kaum Khawarij, atau kaum yang memberi bahaya kepada negara, kita tentulah tercengang; kerna bagaimana mungkin sebuah kemerdekaan yang dicetuskan oleh nenek moyang mereka (Kaum Muda) pada zaman baharu bisa mereka gadaikan hanyalah kerna untuk meneruskan paham yang persis sama seperti paham nenek moyang mereka? Bukankah ini satu hal yang pelik.
Kerana itu kita selalu terfikir: “Menjawab tuduhan yang paling baik adalah menuduh kembali”. Maka rasanya kaum yang menuduh Kaum Muda sebagai khawarij adalah kaum yang amat berbahaya kepada negara, bukan sebaliknya. Maka untuk mengelabui mata penguasa tempatan, kaum ini pun menunding jari ke aras Kaum Muda lantas berteriak sakan “Mereka inilah pemberontak” agar kedok mereka terlindung dari ditelanjangi oleh Kaum Muda. Tetapi Kaum Tua ini - yang sudah renta dan tanggal giginya - alpa [sesuai dengan penyakit pikun mereka] bahwa dalam sejarah menunjukkan bahawa Kaum Muda lah yang berjuang bersama pemerintah bagi mempertahankan negara, dan catatan membuktikan bahawa dalam kitab-kitab ajaran mereka jelas menyebut “Mendurhakai sultan Muslim adalah satu kejahatan dan kezaliman kepada Allah dan Rasul”.
Buktinya jelas, kita mhau tanyakan kepada kalian; Sewaktu Salahuddin Al Ayubi mengumpulkan kekuatan bagi menentang tentera Salib, dimanakah Imam Al Ghazali? Dan apakah dia ada menyerukan dalam pidatonya, atau dalam risalahnya agar para umat bersama-sama sultan mengangkat senjata bagi menghadangi gerombolan Salibi? Tidak ada! Dia beruzlah di celah gua; kononnya mahu mendapatkan ketenangan jiwa dan kedamaian abadi – bersatu dengan Rabbul Izzati! Dan dia tak peduli kepada umat Islam dan kelangsungan agama ini dari digerodok oleh tentera Nasrani. Dia hanya berbicara hal jiwa padahal dia tak mengerti bahawa tiada manusia yang akan tenang jiwanya andai semua manusia Muslim telah ditebang batang lehernya.
Kalimah Jihad? Dia percaya dia sedang berjihad di atas gunung: melawan nafsu dan setan. Jihad melawan Nasrani itu hanya layak untuk manusia pengamal ajaran kulit sahaja.
Begitulah kemudian ketika datang Tentera Tartar menyerbu Damsyik, maka bertempiaran lari para masyaikh yang satu ketika dahulu jaguh melawan Ibn Taimiyyah.
Mereka hanya jaguh bagi seorang lelaki yang tiada punya jawatan dan kuasa dalam kerajaan. Namun saat mereka didatangi dengan pedang, mereka terkencing dalam seluar kerna ketakutan. Ketika semua para ulama Kaum Tua menyorok dan berlindung, tampillah Ibn Taimiyyah mengadap Sultan dan meminta untuk mengepalai soldadu bagi menghalau Tartar dari Damsyik.
Maka Ibn Taimiyyah pun diperkenankan dan dia terus menghunus pedang, menyerbu lawan dengan gagahnya sehingga Tartar dipukul dengan penuh keaiban, kerna sebelum ini tidak pernah Tartar dikalahkan sebegitu rupa.
Apakah ada disitu satu bentuk pengkhianatan kepada Sultan, wahai para penuduh? Yang khianat itu adalah para manusia yang memenjarakannya dan menuduh dia sebagai sesat!
Kemudian selang beberapa waktu, di Benua India ketika Kerajaan Mughal menghadapi dua serigala yang sedang mengaum besar kearahnya, Syed Ahmad Barelvi yang merupakan murid kepada anak sulung Syah Waliyullah Ad Dahlawi berusaha untuk mempertahankan benteng umat islam dari gigitan British dan Sikh. Tapi akhirnya ketumbukan Syed Ahmad tumpas gara-gara pembelotan kaum yang menentang Salafi, yang mereka itu menyampaikan rahsia kekuatan Syed Ahmad. Lalu setelah jatuhnya kerajaan Mughal maka umat Islam pun dilanda keperitan dan kesengsaraan.
Apakah yang bisa kita katakan pada lembaran sejarah ini: “Bahwa kaum Wahhabi adalah kaum pemberontak dan berbahaya kepada negara?”. Jauh sungguh panggang dari api.
Kemudian masih dalam era imperialis, kita berganjak ke nusantara pula. Di Minangkabau berlaku pergeseran antara Dato Bendaro yang mewakili faham Sunni a.k.a. Salafi dengan Dato Sati yang mewakili kaum Asya’irah. Maka pertelingkahan itu membesar apabila Dato Sati meminta pertolongan Belanda bagi memerangi Kaum Wahhabi di bawah pimpinan Dato Bandaro. Lalu tercetuslah Perang Paderi. Dalam pertempuran ini yang menariknya ialah Belanda bukan sahaja memerangi kaum Wahhabi tetapi turut memedang dan memenggal leher kaum Adat walhal merekalah yang menjemput Belanda. Setelah Tuanku Imam Bonjol [anak kepada Dato Bandoro] tewas maka Belanda berjaya menguasai seluruh Minangkabau.
Lihat lah tuan-tuan, siapakah yang selalu memanggil kuasa Kuffar dan menjahanamkan negara Islam? Apakah Wahhabi atau manusia yang suka menuduh itu?
Justeru, setelah sejarah menunjukkan sikap sebenar Wahhabi kepada penguasa Muslim, dan juga serajah tak akan menipu bahawa Wahhabi selalu mengajak umat untuk bebas dan merdeka dari belenggu kuffar, jelas bahawa tuduhan kepada Wahhabi berupa satu fitnah yang dilemparkan oleh para pendengki dan para manusia yang otaknya majal berlumpur dengan kebodohan. Kalau lah mereka itu cerdik pasti mereka tidak akan berani berbicara sebegitu. Tetapi kebiasaannya mereka memang begitu, berbicara tanpa ada ilmu. Menuduh tanpa periksa.
REVISI:
Pembetulan ini dilakukan setelah hampir 10 tahun tulisan diatas ditulis.
1) Kaum Muda itu adalah satu gelar yang diberikan kepada golongan yang menyalahi anutan umum masyarakat. Maka terkumpul padanya Kaum Salafi dan Kaum Pan Islam.
Pan Islam adalah wacana yang dibawa oleh Al Afghani dan muridnya, Abduh. Mereka melazimi manhaj liberal namun anti penjajah.
Masalahnya adalah orang selalu gagal membezakan antara Kaum Salafi dengan Kaum Pan Islam yang hari ini memakai gelar Tajdid, sehingga dianggap kedua-duanya adalah Wahabi.
Yang lebih lucu bila ada pihak menganggap kaum Deobandi juga sebagai Wahabi!
2) Kaum Paderi tidak ada hubung kait dengan Wahabi dari sebarang sisi. Malah mereka adalah Asyaariyah Sufiyah yang mengikut madrasah Burhanuddin Ulakan.
Malah Tiga Haji yang pulang ke Ranah Minang dari Tanah Arab tidaklah belajar kepada para masyaikh Salafi. Kesemua mereka belajar di Al Azhar dan kemudian menjadi soldadu Turki Uthmaniyah.
Haji Sumanik, Haji Piobang dan Haji Miskin walau pernah ke Makkah, namun harus diketahui bahawa pada waktu itu Hijaz masih di bawah pentadbiran Kerajaan Hasyimiyah yang diketuai oleh Syarif Makkah. Manakala kaum Wahabi berada di Riyadh - kawasan Najd.Kesamaan antara Kaum Paderi dengan Kaum Wahabi hanya pada dua sisi iaitu mahukan pemurnian ajaran Islam mengikut pemahaman masing-masing dan juga mahu membebaskan diri dari penjajah Kafir.
___________________________
~ Abu Amru Radzi Othman ~
Lajnah Makalah Sejarah
Lajnah Makalah Sejarah
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________
Dapatkan buku Kemunculan Misteri Pemuda Bani Tamim Di Akhir Zaman! Untuk keterangan lanjut sila KLIK DI SINI .

Comments
Post a Comment