Bahasa Melayu, Tulisan Baku Serta Sebutan Baku

OLEH: Abu Amru Radzi Othman


Demo, hang, mung, awok, mike, ko, kitak, kawu, kau dan ikam adalah semuanya bahasa Melayu yang sama maknanya dengan kamu atau engkau.

Sesungguhnya bahasa Melayu itu memiliki banyak dialek dan tersebar di Asia Tenggara.

Sebelum ini telah disebut tentang cara melihat kekerabatan sesuatu bahasa melalui kajian leksikostatistik. Makanya sepupu-sepapat bahasa Melayu itu terlalu banyak.

Ada bahasa Melayu Pattani, bahasa Melayu Kelantan, bahasa Melayu Terengganu, bahasa Melayu Pahang, bahasa Melayu Johor/Selangor, bahasa Melayu Sarawak, bahasa Melayu Sabah, bahasa Melayu Perak, bahasa Melayu Utara, bahasa Melayu Singapura, bahasa Melayu Deli, bahasa Melayu Palembang, bahasa Melayu Jambi, bahasa Melayu Banjar, bahasa Melayu Brunei, bahasa Melayu Makkasar, bahasa Melayu Belitung, bahasa Melayu Pontianak, bahasa Melayu Bangka dan banyak lagi.

Cumanya saat pembentukan Persekutuan Tanah Melayu, maka diputuskan untuk menjadikan bahasa Melayu Johor-Riau sebagai asas. Pekara ini diteruskan saat terbentuknya Persekutuan Malaysia. Dalam pengertian mudah, bahasa Melayu Johor menjadi bahasa baku dari sisi penulisan.

Kemudian hanya pada 1993 baharulah kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia mewajibkan sebutan baku melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 2/1993 : Tarikh Penyempurnaan Pelaksanaan Bahasa Melayu Sebutan Baku.

Justeru, ada beza antara sebutan baku dengan tulisan baku. Kata baku itu sendiri ada beberapa makna; (1) yang utama; yang pokok; yang dasar, (2) yang diterima dan diakui; yang sah dan benar. Lantas maksud baku pada bahasa ialah bahasa yang dipiawaikan: cara ejaan dan cara sebutan.

Keadaan ini berterusan hingga tahun 2000 iaitu apabila Kementerian Pendidikan mengeluarkan surat pekeliling baharu yang membatalkan pekeliling bertarikh 30 september 1993.

Dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 3/2000 : Pelaksanaan Sebutan Baku Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran Mata Pelajaran Bahasa Melayu Di Sekolah dalam perkara 2, 3 dan 4 jelas menunjukkan pembatalan sebutan baku. Berikut adalah cebisan dari surat pekeliling yang bertarikh 16 Februari 2000 tersebut:

2. Mesyuarat Jemaah Menteri telah memutuskan bahawa sebutan baku yang terus dilaksanakan di sekolah adalah hanya untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu sahaja.

3. Walau bagaimanapun, untuk ujian lisan dalam peperiksaan awam, sebutan baku atau sebutan biasa boleh digunakan. Bagi pengajaran dan pembelajaran mata-mata pelajaran selain Bahasa Melayu serta urusan-urusan lain di sekolah, sebutan biasa digunakan.

4. Dengan berkuatkuasanya Surat Pekeliling lkhtisas ini, maka Surat Pekeliling lkhtisas Bil. 2/1993 bertarikh 30 September 1993 yang bertajuk...

Makanya sebutan "saye", "kite", "kepade", due" dan sebagainya, tetap diiktiraf sebagai Bahasa Malaysia melalui surat ini.


___________________________
~ Abu Amru Radzi Othman ~
Lajnah Sejarah Dan Tradisi




Dapatkan buku Kemunculan Misteri Pemuda Bani Tamim Di Akhir Zaman! Untuk keterangan lanjut sila KLIK DI SINI .

Comments