OLEH: Ahmad Dailami
Sebaliknya kerana dalam sejarahnya, Rome telah menghadapi satu siri konflik yang panjang dan rumit dengan musuh-musuh dari luar yang melihat kemajuan kota tersebut sebagai ancaman, lalu memaksa Rome untuk bertindak menawan daerah-derah yang didiami oleh mereka. Bermulanya konflik-konflik yang serius ini ketika era Republik Rome, sewaktu Rome mengamalkan satu sistem pentadbiran unik yang dinamakan 'Republik'. Era ini menyaksikan saat-saat getir ketika mana Kota Rome itu sendiri telah diserang dan hampir ditawan oleh orang-orang gasar (barbarians) yang berasal Gaul (Perancis) yang turun dari sebelah utara Italy. Hakikatnya Rome terpaksa bangkit dan bertindak balas bagi menghadapi ancaman-ancaman ini, di mana jika mereka tidak menghantar angkatan-angkatan perang untuk menawan kawasan-kawasan yang didiami musuh, musuh-musuh ini pula akan datang dan menghancurkan Rome.
Untuk memahami bagaimana sebenarnya perluasan kuasa Rome berlaku, perlu difahami terlebih dulu bahawa seluruh garis waktu yang mewakili perjalanan ketamadunan Rome terbahagi kepada tiga peringkat, iaitu 1) Kerajaan Rome, 2) Republik Rome dan 3) Empayar Rome.
►Kerajaan Rome [eng: 'Roman Kingdom'] (753 BC—509 BC): Rome sebagai sebuah kerajaan yang ditadbir oleh raja. Bermula ketika Rome diasaskan pada tahun 753 BC oleh dua orang kembar Romus dan Remulus. Adapun cerita mengenai asal usul mereka sebahagian besarnya bersandarkan mitos orang-orang Rome[1]. Ketika penubuhannya, Rome tidak lebih dari sebuah perkampungan kecil yang terletak di tebing sungai Tiber berhampiran pesisiran Barat Italy. Tidak ada apa-apa yang istimewa padanya melainkan segugusan rumah-rumah kampung yang bertampal.
Era kerajaan menyaksikan Rome diperintah oleh seorang pemerintah bergelar raja (king). Ini bermaksud Rome mengamalkan sistem pentadbiran monarki dimana kuasa penuh diperuntukkan kepada seorang individu tunggal, iaitu raja. Raja dalam konteks kerajaan Rome merupakan pemerintah tertinggi Rome yang berkuasa mutlaq, dibantu oleh satu badan penasihat yang digelar 'Senate'. Anggota Senate terdiri dari orang-orang tua yang memimpin setiap pecahan kabilah yang menjadi penduduk asal Rome. Walaubagaimanapun, ketika era kerajaan ini, Senate ini tidak mempunyai peranan yang besar kecuali sebagai badan penasihat yang diseru oleh raja apabila dia ingin membuat keputusan-keputusan penting. Keputusan seorang raja tidak dibantah dan Senate kebiasaannya hanya membenarkannya sahaja.
Namun golongan Senate bakal memegang kuasa besar dalam pentadbiran Rome dan satu peranan yang cukup penting dalam sejarah Rome di masa akan datang, setelah fasa kerajaan berakhir dan Rome memasuki fasa seterusnya, yakni fasa Republik. Hakikatnya, Senate inilah yang telah memainkan peranan dalam melonjakkan Rome ke kemuncak kegemilangannya sebagai kuasa politik dan ketenteraan yang terunggul di Italy dan diseluruh Mediterranean (negara-negara Eropah Barat dan Timur).
Rome mengalami fasa kerajaan selama 250 tahun bermula penubuhannya pada 753 BC hingga 509 BC ketika raja terakhir mereka ditumbangkan bersebabkan salah laku dan kezalimannya. Semenjak itu, orang-orang Rome berikrar untuk menghapuskan monarki dari hidup mereka buat selama-lamanya dan tidak akan membenarkan lagi seorang individu tunggal bergelar 'raja' memegang kuasa untuk memerintah mereka kerana mereka takutkan begitu banyak kezaliman dan kejahatan yang boleh dibuat apabila kuasa penuh diberi kepada seorang individu sahaja.
►Republik Rome [eng: 'Roman Republic'] (509 BC—27 BC): Rome menjadi sebuah kuasa Republik. Setelah raja terakhir mereka ditumbangkan dan fasa kerajaan berakhir, kuasa berpindah kepada golongan Senate yang dahulunya hanya sekadar badan penasihat diraja. Sebagai ganti kepada monarki yang telah ditumbangkan, mereka mencipta satu sistem politik yang mengamalkan pembahagian dan pemisahan kuasa berstuktur, dimana kuasa tidak lagi dipusatkan hanya kepada seorang individu, tapi sebaliknya dibahagikan kepada peranan-peranan yang pelbagai, dipegang oleh individu-individu yang berbeza.
Ketika ini Rome ditadbir oleh sekumpulan pegawai-pegawai kerajaan yang dilantik oleh rakyat bagi menjalankan berbagai urusan seharian kerajaan, dengan dinasihati oleh anggota Senate. Undang-undang dan keputusan-keputusan penting kerajaan seperti pengisytiharan perang dan lain-lain diputuskan oleh perhimpunan-perhimpunan rakyat ('Roman assemblies').
Era Republik merupakan tempoh waktu yang paling aktif dan paling agresif dalam sejarah Rome. Berbagai-bagai konflik luaran berlaku antara Rome dengan kota-kota lain yang mengelilinginya yang membawa kepada kempen-kempen ketenteraan. Kemudian selain itu wujud konflik dalaman yang berlaku antara dua golongan rakyat dari taraf yang berbeza, yakni golongan 'patricians'—golongan aristokratik yang memiliki kekayaan dengan cara memiliki tanah dan satu-satunya golongan rakyat yang diberi hak untuk melibatkan diri dalam urusan politik di peringkat atasan—dan golongan 'plebeians' (atau singkatannya 'plebs')—yang merupakan badan rakyat yang selebihnya (mereka yang bukan dari kalangan 'patricians'), yang tidak diberikan sama sekali sebarang hak untuk melibatkan diri dalam politik.
Perkara ini akan dibincangkan dengan lebih lanjut di masa akan datang.
►Empayar Rome [eng: 'Roman Empire'] (27 BC—476 AD): Rome menjadi empayar secara rasminya. Ketika fasa Republik, Rome telah pun memulakan perluasan kuasanya dan diakhiri dengan kejayaannya menawan seluruh daerah di semenanjung tanah Italy serta berbagai kawasan-kawasan penting di Barat dan Timur Eropah. Namun, Rome belum diperintah oleh seorang maharaja (yang bergelar 'caesar' atau 'augustus') untuk dianggap sebagai sebuah kuasa empayar.
Konflik demi konflik dan pergolakan dalaman yang berlaku sepanjang era Republik akhirnya membawa kepada runtuhnya struktur Republik. Pertentangan yang berlaku antara golongan patricians dan plebeians semakin meruncing apabila rakyat awam yang disebut 'plebeians' ini terus menerus menuntut hak mereka dan mencabar kuasa yang dipegang oleh golongan patricians melalui pegawai-pegawai khas yang mereka lantik untuk mewakili mereka, disebut Tribunes of the Plebs, yang diberikan kuasa oleh mereka untuk melindungi golongan plebeians daripada dizalimi oleh golongan patricians dan membatalkan (memveto) arahan dan undang-undang yang dikeluarkan oleh Senate—yang majoritinya didominasi golongan patricians juga.
Kemudian general-general berpengaruh besar seperti Julius Caesar, Crassus dan Pompey berjaya mencari cara untuk membina pengaruh mereka melalui kuasa tentera. Mereka membentuk pasukan tentera peribadi mereka sendiri yang dilatih secara khas oleh mereka dan akan menumpahkan taat setia kepada mereka dan bukannya kepada Senate. Mereka bertindak membuat keputusan sendiri, bersaing sesama sendiri, melanggar peraturan Republik serta mengabaikan arahan Senate. Akibatnya, golongan Senate kehilangan kuasa, struktur Republik menjadi lemah dan akhirnya runtuh akibat perang saudara yang berlaku antara general-general ini.
Sehinggalah seorang general dan ahli politik Rome yang berbakat, Gaius Octavius, berhasil menamatkan perang saudara ini dan mengembalikan keamanan. Bersebabkan kejayaannya, Octavius diangkat sebagai wira dan dilantik sebagai pemerintah agung Rome (the supreme leader of Rome) dan seluruh daerah jajahannya. Beliau dianugerahkan dengan gelaran 'augustus' yang bermaksud 'yang terhormat' dan sekaligus menjadi apa yang disebut dalam bahasa kita sebagai maharaja (eng: 'emperor'). Rome memasuki fasa terakhir dalam sejarah kegemilangannya, iaitu fasa empayar. Perkara ini juga akan dibincangkan kemudian.
____________________________________
[1]. Dikatakan Romus dan Remulus berasal dari keturunan putera Trojan yang bernama Aeneas yang melarikan diri bersama pengikut-pengikutnya setelah perang Trojan berakhir dengan kemusnahan Kota Troy. Kisah mengenai perang Trojan terjadi dalam sejarah orang-orang Greek purba ratusan tahun sebelum penubuhan Rome. Ketamadunan Greek purba berasal usul dari tanah Greece (Greece mainland) di sebelah Timur Eropah. Ia merupakan satu lagi ketamadunan penting yang mempunyai impak yang cukup besar kepada hala tuju dan masa depan Eropah selain ketamadunan Rome.
___________________________
~ Ahmad Dailami ~
Telegram: https://t.me/rmb_slf
Twitter: https://www.twitter.com/rmb_slf
Instagram: https://www.instagram.com/rmb_slf
Web Site: 🖥 http://revolusimelayubaru.blogspot.com
_____________________________
Dapatkan buku Menangkis Fitnah Yang Terpalit Pada Bani Umayyah! Untuk keterangan lanjut sila KLIK DI SINI .


Comments
Post a Comment