Perspektif Dalam Memahami Tamadun Rome

OLEH: Ahmad Dailami

Pada perspektif saya, kejayaan orang-orang Roman untuk menangani pelbagai konflik dan cabaran yang mereka hadapi sepanjang perjalanan sejarah bangsa mereka sehingga mereka berjaya membina sebuah empayar besar merupakan takdir Allah yang Maha Bijaksana ke atas mereka yang telah termaktub semenjak azali lagi. Bahawa sentiasa terdapat insan-insan atau bangsa-bangsa yang telah ditetapkannya akan menjadi pahlawan dan pemimpin-pemimpin besar dunia. Dalam konteks sejarah Rome, mereka ini seperti maharaja-maharaja Rome (Roman emperors).

Begitulah takdir Allah jua yang menetapkan bahawa empayar Rome akan runtuh dan Islamlah yang melenyapkan nama Rome dari peta dunia[1].

Justeru saya mengelakkan daripada bias dalam penceritaan saya mengenai sejarah mereka. Kita seabagai ummat Islam haruslah mempunyai prinsip dan kita harus jelas pada prinsip kita. Justeru saya tegaskan yang saya mengelakkan sikap berlebihan dalam mengagungkan Rome. Namun dalam memahami sejarah, saya  sekadar diseru agar melihat segala-galanya seperti mana adanya. Apa yang mesti diperakui akan diperakui. Rome sememangnya hebat kerana telah meninggalkan pengaruh yang cukup besar terhadap Eropah. Namun kehebatannya datang dari mana? Dalam i'tiqad Islam, tidak ada cara lain untuk memahaminya melainkan dengan mengembalikannya kepada Allah, Tuhan sekalian alam.

Orang-orang Roman percaya bahawa kejayaan mereka ini adalah anugerah dan restu daripada dewa-dewa mereka. Mereka percaya bahawa mereka bangsa yang sememangnya telah dilahirkan untuk menjadi penakluk. Namun kita semua mengetahui dewa-dewa dan dewi-dewi yang menjadi sembahan mereka (Roman gods and goddesess) tidak lebih dari mitos dan khayalan mereka semata-mata, walaupun kepercayaan mereka pada dewa-dewa dan dewi-dewi ini telah memberi impak yang mendalam pada semangat, jati diri dan identiti mereka dan membantu mereka untuk sentiasa bersemangat dalam memimpin tamadun mereka ke puncak kegemilangan.


________________________________
[1]. Empayar Rome Barat (Western Roman Empire) yang merupakan asal usul bermulanya ketamadunan Rome dan tempat dimana terletaknya kota Rome itu sendiri menjadi lemah sekitar kurun ke-4 akibat tindakan puak-puak bangsa gasar dari German (German barbarians) yang datang merempuh sempadan empayar dengan ketumbukan demi ketumbukan tanpa henti-hentinya. Kemudian mereka memerhatikan cara hidup masyarakat Roman dan mempelajari teknologi, kelengkapan, ilmu, kemahiran serta strategi Roman hingga mereka mengalami perubahan besar pada tamadun mereka dan menjadi maju hingga setaraf dengan masyarakat Roman sendiri.

Selain itu, ada pelbagai faktor-faktor lain yang dibincangkan oleh para sejarawan, seperti kelemahan tentera, ketidakupayaan maharaja-maharaja Rome yang terkemudian untuk mendapatkan kepercayaan tentera dan mengenakan autoriti mereka untuk menggerakkan dan menguruskan tentera, pemberontakan, rampasan kuasa, keadaan ekonomi, bencana alam dan lain-lain hingga akhirnya runtuh apabila kota Rome itu sendiri ditawan oleh general orang-orang gasar berbangsa German ini. Begitu juga empayar Rome Timur yang runtuh hampir 900 tahun selepasnya apabila pusatnya, Kota Konstantinopel jatuh ke dalam tangan tentera Islam pimpinan as-Sultan Muhammad II (Muhammad al-Fateh).




___________________________
 Ahmad Dailami ~
Lajnah Makalah Sejarah RMB
Telegram:  https://t.me/rmb_slf
_____________________________




Dapatkan buku Menangkis Fitnah Yang Terpalit Pada Bani Umayyah! Untuk keterangan lanjut sila KLIK DI SINI .


Comments