Raja-Raja Rome

OLEH: Ahmad Dailami


Fasa kerajaan Rome bermula dengan penubuhan kota Rome itu sendiri pada 753 BCE dan berakhir dengan peristiwa pemerkosaan Lucretia, seorang wanita bangsawan, yang membawa kepada rajanya yang terakhir digulingkan pada 509 BCE. Peristiwa ini menandakan berakhirnya fasa kerajaan yang merupakan fasa pertama dalam sejarah ketamadunan Rome dan Rome memasuki fasa seterusnya, iaitu fasa Republik. Ia akan dibincangkan dengan lebih lanjut di penulisan akan datang.


LATAR BELAKANG RAJA-RAJA ROME
Sepanjang tempoh waktu ini, Rome telah diperintah oleh tujuh orang raja, iaitu:-

1. Romulus (753—716 BCE), pengasas Rome sendiri. Setelah peristiwa pertengkarannya dengan kembarnya, Remus, mengenai tapak yang sesuai untuk menubuhkan kota baru ini sehingga membawa kepada beliau membunuh Remus, beliau meneruskan penubuhan kota dan mula mengumpulkan sekumpulan kecil pengikut yang berasal dari pelbagai latar belakang kehidupan. Tidak lama setelah itu, Rome menghadapi satu masalah kemasyarakatan: Mereka kekurangan perempuan. Sebagai langkah untuk menyambung keturunan, mereka memutuskan untuk menculik wanita dari kaum-kaum Italy yang tinggal berdekatan, antaranya kaum Sabine. Ini membawa kepada peristiwa pemerkosaan wanita-wanita Sabine (The Rape of the Sabine Women) yang akan diceritakan lebih lanjut dalam penulisan akan datang.


Menurut sejarawan Rome terkemuka, Livy atau Titus Livius Patavinus, peristiwa ini sebenarnya tidak membabitkan pemerkosaan pun kerana tidak ada paksaan secara seksual berlaku; para sejarawan moden lebih suka menyifatkannya sebagai 'penculikan'. Namun tetap wujud kontroversi mengenai bagaimana kejadian ini harus ditafsirkan, sama ada sebagai penculikan semata-mata atau pemerkosaan. Ini kerana penculikan ini berlaku secara besar-besaran, justeru berkemungkinan juga ada yang sekadar menculik dan memujuk wanita-wanita tersebut agar sudi menjadi isteri dan ada juga yang sampai memperkosa.
Pengakhiran hidup Romulus diselubungi misteri. Orang-orang Rome mengambil mitos mereka sebagai penjelasannya. Dikatakan beliau hilang secara tiba-tiba sewaktu hujan ribut tanpa dapat dikesan lagi setelah itu. Orang-orang Rome percaya bahawa beliau telah diangkat ke langit menjadi dewa Quirinus. Maka Romulus menjadi legenda dalam kepercayaan orang-orang Rome.


2. Numa Pompilius (716—672 BCE). Merupakan seorang raja dari bangsa Sabine, yang telah diserap masuk menjadi penduduk Rome setelah peristiwa pemerkosaan wanita-wanita Sabine. Beliau merupakan individu yang bertanggungjawab menguruskan kalendar Roman dan ritual-ritual keagamaan silam yang diamalkan oleh masyarakat Rome.

3. Tullus Hostilius (672—642 BCE). Seorang raja yang beperwatakan pahlawan. Pada zamannya, beliau memimpin pasukan tentera Rome untuk menawan kota Alba Longa yang menjadi asal-usul bermulanya keturunan orang-orang Rome, iaitu tempat kelahiran Romus dan Remulus. Seterusnya beliau mengarahkan agar kota ini dihapuskan dan penduduknya diserap ke dalam populasi Rome, menjadikannya bertambah dua kali ganda.

4. Ancus Marcius (642—616 BCE). Cucu kepada Noma Pompilius (raja ke-2). Seperti mana datuknya, beliau meletakkan penekanan ke atas perlaksanaan ritual-ritual keagamaan yang betul. Seperti Tullus (raja ke-3), beliau juga seorang pahlawan yang telah memimpin pasukan perang dalam pertempuran dengan bangsa-bangsa Latin yang lain (Latin people) yang mendiami kota-kota yang bertebaran di sekitar dataran Latium (Latium plain).

5. Lucius Tarquinius Priscus (616—578 BCE). Raja berketurunan Etruscan yang datang dari sebelah utara Italy (siapa 'Etruscan' akan disebutkan selepas ini). Pemerintahannya menyaksikan kawasan kota diperluaskan, terutama sekali di sekeliling bangunan pusat kota yang disebut 'Forum' atau 'Roman Forum' (Latin: Forum Romanum). Ini kerana orang-orang Etruscan terkenal dengan kebolehan mereka yang amat mengkagumkan dalam seni pembinaan dan arkitektur. Lucius cuba menggunakan kepakaran Etruscan dalam membangunkan kota Rome, menjadikan Rome menerima pengaruh besar dari kesenian dan kebudayaan Etruscan. Beliau juga turut menyediakan tapak untuk pembinaan bangungan keagamaan yang paling penting dalam agama dan kepercayaan masyarakat Rome, iaitu Gereja Jupiter (The Temple of Jupiter).

6. Servius Tullius (578—534 BCE). Menantu kepada Lucius Tarquinius, juga berbangsa Etruscan. Telah melakukan berbagai pembaharuan pada struktur kemasyarakatan Rome dan pembangunannya. Beliau telah melakukan apa yang dinamakan 'Servian reform', dimana beliau memberikan hak mengundi kepada golongan rakyat biasa yang memiliki tanah-tanah kecil atau mereka yang tidak ada tanah langsung. Sebelum itu, hak mengundi hanya diberikan kepada anggota Senate, yang merupakan penasihat diraja yang terdiri dari golongan bangsawan atau 'patricians' (siapa 'patricians' akan disebut selepas ini).

Struktur kemasyarakatan dan hak-hak politik masyarakat Rome akan dibincangkan dalam penulisan-penulisan seterusnya. Selain itu beliau juga memperluaskan kawasan kota dan membina tembok perlindungan yang disebut ‘Servian Wall'.

7. Lucius Tarquinius Superbus (534—509 BCE). Merupakan raja terakhir yang memerintah kerajaan Rome. Terkenal dengan kezalimannya, pemerintahannya dicemari oleh rampasan kuasa dan pembunuhan. Beliau dikatakan telah merebut takhta dengan cara membunuh abang, isterinya dan raja sebelumnya (Servius Tullius).

Anak lelaki Lucius, Sextus Tarquinius, telah memperkosa seorang wanita bangsawan bernama Lucretia. Peristiwa ini membawa kepada kemarahan rakyat Rome hingga mereka bangkit memberontak dan menumbangkannya, seterusnya berikrar bahawa mereka selama-lamanya tidak akan merelakan Rome diperintah oleh seorang raja lagi. Lalu mereka menggantikan corak pentadbiran Rome daripada kuasa beraja (monarki), dimana kuasa hanya ditumpukan kepada seorang individu tunggal (raja) kepada kuasa Republik, yang mengamalkan sistem pembahagian kuasa berstuktur.

Tiga raja terakhir ini berasal dari keturunan Etruscan. Bangsa Etruscan ialah bangsa paling maju, kaya dan bertamadun yang menetap di semenanjung tanah Italy bermula sekitar 900 BCE. Mereka menetap di lapangan subur Etruria yang terletak di utara Italy. Saya akan membincangkan secara ringkas mengenai bangsa Etruscan ini dan bagaimana mereka meninggalkan pengaruh-pengaruh yang mendalam ke atas aspek kesenian dan kebudayaan masyarakat Rome.



PERANAN RAJA-RAJA ROME
Dalam fasa kerajaan Rome, individu yang bergelar raja mempunyai kuasa mutlaq untuk menentukan segala urusan hal-ehwal pentadbiran Rome dan rakyat jelatanya. Untuk menerangkan perkara ini dengan lebih terperinci, harus difahami bahawa seorang raja diberi tiga kuasa terpenting, iaitu:-

✔ Kuasa perundangan (legislative power): Kuasa ekslusif untuk menggubal undang-undang, yakni mencipta dan mewujudkan undang-undang yang memandu hala tuju negeri dan masyarakat Rome.

✔ Kuasa kehakiman (judicial power): Kuasa ekslusif untuk menafsir undang-undang dan mengaplikasikannya kepada kes-kes, keadaan serta individu yang berada di dalam domain undang-undang tersebut, iaitu rakyat jelata, dan menyelesaikan segala pertikaian dan pertelingkahan (seseorang).

✔ Kuasa perlaksanaan (executive power): Kuasa ekslusif untuk melaksanakan dan menjalankan undang-undang serta keputusan-keputusan dalam hal-ehwal pentadbiran kota. Dalam istilah kuasa orang-orang Rome, kuasa perlaksanaan ini disebut 'imperium'. Peranan terutama yang berada dibawah bidang kuasa imperium ini ialah kuasa untuk menggerakkan dan memimpin pasukan tentera. Dengan itu, raja merupakan panglima agung bagi semua angkatan (yang disebut sebagai 'legions') dalam pasukan tentera Rome.

imperium ini sendiri menjadi simbol kepada kekuasaan raja, dimana seorang raja hanya menjadi raja bersebabkan dirinya dianugerahi dengan imperium oleh rakyat. Kuasa kehakiman yang disebut dalam senarai diatas juga sebenarnya berada dibawah imperium.

Rakyat menganugerahkan imperium kepada seorang raja melalui satu konsep dalam politik Rome yang disebut perhimpunan-perhimpunan rakyat Rome (Roman assemblies)—yang diberi hak untuk mengundi bagi meluluskan undang-undang dan keputusan-keputusan penting kerajaan seperti pengisytiharan perang dan lain-lain. Ketika era kerajaan, oleh kerana segala kuasa dan peranan penting ditumpukan hanya kepada raja, perhimpunan rakyat mempunyai peranan yang sangat kecil. Satu-satunya perhimpunan rakyat yang penting ketika ini ialah perhimpunan Curiate (The Curiate Assembly), dimana orang-orang Rome dibahagikan kepada 30 pecahan yang disebut 'curia'; setiap curia mewakili pecahan suku-suku keluarga rakyat Rome ketika itu. Perkara ini akan dibincangkan dengan lebih lanjut di masa akan datang.



BADAN PENASIHAT RAJA-RAJA: SENATE
Raja-raja Rome juga dibantu oleh satu badan penasihat diraja yang disebut 'Senate'. Anggota Senate kesemuanya terdiri orang-orang tua yang berasal dari golongan aristokrat (bangsawan pemilik tanah) yang digelar 'plebeians'. Golongan plebeians ini pula terdiri dari suku-suku/pecahan keluarga yang dikatakan mewakili pengikut Remulus semenjak zaman awal penubuhan Rome. Ketua bagi setiap keluarga ini, disebut 'pater' atau 'father' (ayah), biasanya lelaki yang paling tua dan berpengalaman dalam keluarga-keluarga tersebut, diambil menjadi anggota Senate.

Ketika zaman kerajaan Rome, anggota Senate mempunyai skop kuasa yang sangat kecil dan terbatas. Mereka hanya berperanan memilih calon raja baru, sebelum perhimpunan rakyat yang disebut Curiate Assembly (lihat keterangan di atas) menerima calon tersebut dan menganugerahkan imperium (kuasa eksekutif) kepadanya, dengan itu merasmikan kedudukannya sebagai raja. Kemudian Senate juga dipanggil oleh raja untuk menyatakan nasihat dan pendapat apabila raja membuat keputusan dan membentangkannya dihadapan mereka. Sebagai badan penasihat, mereka tidak diberi autoriti untuk membantah raja atau menghalangnya daripada membuat keputusan. Maka pada hakikatnya, sama ada dengan persetujuan Senate atau tidak, keputusan raja sentiasa lulus. Dengan ini persetujuan Senate pada keputusan diraja hanya sebagai menjadikannya kelihatan rasmi dan mengikut prosedur adat.

Golongan Senate mula menjadi sangat berpengaruh sepanjang era Republik dan memainkan satu peranan yang cukup besar dan penting dalam sejarah ketamadunan Rome. Hakikatnya golongan Senate inilah yang telah membawa Rome menuju kemuncak kegemilangannya sebagai kuasa politik dan ketenteraan yang terunggul dalam sejarah Eropah.


___________________________
 Ahmad Dailami ~
Lajnah Makalah Sejarah RMB
Telegram:  https://t.me/rmb_slf
_____________________________




Dapatkan buku Menangkis Fitnah Yang Terpalit Pada Bani Umayyah! Untuk keterangan lanjut sila KLIK DI SINI .


Comments