OLEH: Ahmad Dailami
Senatus Populusque Romanus (singkatan: SPQR) merupakan ungkapan Latin yang bermaksud Senate dan Orang-orang Rome (eng: The Senate and The People of Rome), merupakan label yang mewakili Rome sebagai kuasa Republik. Ia merupakan simbol keagungan kuasa Rome ketika di zaman Republik. Peperangan, penaklukan daerah-daerah asing, undang-undang yang ditegakkan dan arahan-arahan yang dikeluarkan dari Rome kepada kawasan-kawasan jajahannya dan kota-kota yang menjadi sekutunya, semuanya dilakukan di atas nama Senate dan Orang-orang Rome.
Fasa Republik menandakan bermulanya detik-detik yang paling sukar dan mendebarkan dalam sejarah ketamadunan Rome, dimana kota Rome ketika itu dikelilingi oleh kota-kota lain yang membentuk satu perikatan yang disebut liga Latin (Latin league), terdiri dari sejumlah 30 buah kota dan perkampungan yang sama-sama terletak di atas dataran Latium (Latium plain) dan yang penduduknya bertutur dalam bahasa Latin.
Dalam tempoh ini, ada waktunya dimana Rome menjadi salah satu anggota liga Latin dan wujud hubungan diplomatik dengan kota-kota lain yang menjadi anggota liga. Mereka berganding bahu bersama-sama mempertahankan dataran Latium dari serangan puak-puak seperti Aequi dan Volsci yang tinggal di pergunungan Apennines yang berdekatan (orang-orang gunung). Malah Rome menjadi ketua yang memimpin perikatan liga Latin melalui perjanjian yang mana mereka bersetuju untuk menghantar sepasukan tentera setiap tahun untuk berkhidmat untuk Rome dan Rome pula berjanji akan membantu kota-kota ini apabila diserang.
Namun tatkala kuasa Rome semakin berkembang, cengkaman dominasinya ke atas liga Latin menjadi semakin kuat, menyebabkan banyak kota-kota ini merasa terancam dengan protokol-protokol yang dikenakan Rome ke atas mereka. Berlaku ketidakpuasan hati dan konflik demi konflik antara golongan Senate yang merupakan golongan atasan yang memimpin kuasa Republik di Rome dengan kota-kota ini. Keadaan menjadi tegang dan permusuhan meruncing sehingga akhirnya pada tahun 499 BCE, peperangan meletus dan Rome secara rasminya mengisytiharkan perang ke atas liga Latin.
Ikuti penulisan-penulisan saya dimasa akan datang untuk mengetahui bagaimana Rome menghadapi konflik-konflik ini sehingga terjadinya pertempuran-pertempuran yang bakal menentukan hala tuju Rome sebagai kuasa yang dominan di semenanjung tanah Italy dan seterusnya di seluruh Eropah. Berbekalkan dengan kekuatan, jati diri, semangat dan keazaman yang tidak pernah luntur, dengan prinsip-prinsip yang mengalir dalam darah orang-orang Rome dan membentuk identiti mereka yang diperjuangkan, seperti 'libertas' (kebebasan), maruah, keberanian dan ketegasan (virtus), harga diri (dignitas), Rome bertempur menghadapi ancaman-ancaman besar yang hampir-hampir telah berjaya melenyapkannya dan dalam proses itu, telah mengalami kekalahan teruk beberapa kali.
Namun tanpa berputus asa, mereka berundur, lalu bangkit semula, mengumpul kekuatan, mempertajamkan senjata, mengatur strategi dan helah, lalu datang kembali untuk bertempur semula. Hingga musuh-musuh Rome walaupun yang terkuat dari segi bilangan dan kelengkapan ketenteraannya tidak dapat bertahan dengan ketegasan dan keazaman Rome dan akhirnya berundur dan binasa.
Dengan sikap beginilah Rome telah mara ke hadapan sambil melenyapkan musuh-musuhnya satu persatu sehingga berjaya menawan seluruh semenanjung tanah Italy dan akhirnya seluruh Eropah hingga menjadi satu-satunya kuasa politik dan ketenteraan yang terunggul dalam sejarah Eropah, dimana kesenian, kebudayaan, bahasa, sastera, falsafah, idea-idea politik, undang-undang serta ketenteraan yang dipegang oleh Rome telah meninggalkan kesan yang begitu mendalam terhadap dunia Eropah.
___________________________
~ Ahmad Dailami ~
Telegram: https://t.me/rmb_slf
Twitter: https://www.twitter.com/rmb_slf
Instagram: https://www.instagram.com/rmb_slf
Web Site: 🖥 http://revolusimelayubaru.blogspot.com
_____________________________
Dapatkan buku Menangkis Fitnah Yang Terpalit Pada Bani Umayyah! Untuk keterangan lanjut sila KLIK DI SINI .


Comments
Post a Comment