Wujudkah Hang Tuah?


OLEH: Prof. Emeritus Sejarah Ahmat Adam


Andaian yang “āhistorical”
Pengarang buku “Hang Tuah:  daripada Mitos kepada Fakta” silap bila mengandaikan gelar “Laksamana” dalam dokumen Ryukyu itu merujuk kepada Hang Tuah. Kewujudan surat Laksamana Melaka bukanlah baru diketahui. Ia telah diterbitkan oleh Hsu-Yun Tsiao (1968) dan Kobata &  Matsuda (1969). Walaupun Laksamana itu wujud pada masa pemerintahan Sultan ‘Alauddin Riayat Syah. Tidak ada di mana-mana dalam dokumen Ryukyu disebut nama Hang Tuah.

Surat-surat kepada Raja Ryukyu bukan daripada Hang Tuah!
Mereka yang mengatakan Hang Tuah [sic]  adalah nama Laksamana yang menulis surat kepada Raja Ryukyu dalam tahun 1480 dan 1481 (dua pucuk surat)  adalah hanya membuat agak-agakan --  sama seperti yang dibuat oleh Kobata & Matsuda, & John Miksic. Ini kerana stilah “tuah” dan  nama “Hang Tuah” itu tidak wujud ketika “Sejarah Melayu” dikarang.

Klaim sebegini  samalah tarafnya dengan individu yang mendakwa mereka adalah anak cucu Hang Tuah [sic]. Dakwaan-dakwaan itu hanya pembohongan daripada mereka yang buta sejarah.


Mengapakah pengarang buku Hang Tuah daripada mitos kepada fakta tersilap besar?
Kita tidak tahu siapa nama Laksamana pada zaman pemerintahan Sultan ‘Alauddin walaupun kita tahu tahun pemerintahan raja itu (1477-1481).

Memang pada zaman mana-mana raja pun nama Laksamana Melaka tidak pernah diberitahukan oleh pengarang Sulalat u’s-Salatin (Sejarah Melayu).


Pantang larang menyebut nama
Budaya & kepercayaan animisme Melayu tidak membolehkan mana-mana nama pembesar disebut kecuali nama gelarnya.

Dari segi fonem t/w/h [ ت وه ] pun ramai yang tersalah baca (akan dihuraikan selanjutnya).
Ejaan Jawi /ta/waw/ha/ bukan “tuah” tetapi harus dibaca “tuha”

Di dalam mana-mana manuskrip lama Melayu pun tidak ada nama “Hang Tuah”.
Di dalam “Hikayat Hang Tuha” nama wira itu bukanlah “Hang Tuah” tetapi Hang Tuha ataupun Hang Toh.
Ejaan /ta/waw/ha/ [ توه ] bukan disebut atau dibunyikan “Twah”
Tetapi ia disebut “Tuha” atau “Toh” – iaitu istilah Jawa kuno  (Kawi). Namun kata Tuha juga ada dalam Melayu kuno.

Makna kata yang dieja /ta/waw/ha/

1.Tuha (t/w/h/ = توه) bermakna tua, ketua, pemimpin, pengawas/penyelia kelompok; pandai/ tukang; juru, atau ahli (yang ada ketrampilan).
2.Ejaan /ta/waw/ha/ ( توه ) jika dibaca atau disebut [toh] dalam bahasa Jawa Kuno membawa erti taruhan (dalam perlawanan, permainan, perjudian); taruhan utama dalam  pertempuran; sandaran; orang yang dijadikan pertaruhan/bertaruh; orang yang diandalkan sebagai unggulan atau satu-satunya sandaran.

Mangapakah t/w/h ( توه ) harus dibaca tuha atau toh?

Perkataan “Tuah” tidak pernah wujud pada abad ke-15 & 16 malah sampai paruh pertama abad ke-17. Karya yang dihasilkan pada abad ini seperti Hikayat Seri Rama, Sejarah Melayu, salinan cerita Panji abad ke-17 bahkan Hikayat Hang Tuha sekali pun tidak menggunakan kata [twah] ( تواه ) tetapi sebaliknya “bhagya” “bhage” atau” bahagia” yang dipakai untuk memberikan  erti untung, nasib atau tuah yang baik.

Tetapi Kata “tuah” ( توه ) terdapat dalam salinan “Hikayat Aceh” (awal abad ke-18)

Di dalam “Hikayat Aceh” kata yang dieja [/ta/waw/ha/ ] digunakan bersampingan dengan kata “bhagya” [ /ba/ha/ga/ya/  ] dalam ayat: “Betapa bhagya (  بهكي ) dan tuah  penjagah cucu saudara kita”.
Ini menunjukkan perkataan “tuah” baru diperkenalkan. (Menurut Hoesein Djajadinigrat, manuskrip ini ditulis sebelum awal abad ke-18).

    ‘Tuha’ & ‘Toh’ sebagai pemerian/deskripsi Laksamana
Dalam ungkapan nama gelar Hang Tuha atau Hang Toh kata “Tuha” dan “Toh” adalah deskripsi bagi Laksamana Melaka yang namanya tidak diketahui. “Hang” dalam bahasa Melayu kuno bererti orang yang ahli, pandai/tukang atau trampil.

Pengaruh dari “Hikayat Panji”
Pengarang “Sejarah Melayu” (“Sulalat u’s-Salatin”) terpengaruh oleh karya-karya Panji seperti “Hikayat Panji Semirang”, “Hikayat Cekel Waneng Pati”, “Hikayat Carang Kulina”, dan beberapa yang lain termasuk “Hikayat Pandawa Lima”.

Jiplakan dari cerita-cerita Panji
Pengarang “Sejarah Melayu” menjiplak nama seperti Raden Galuh Candra Kirana, Patih Aria Gajah Mada,  Raden di Kalang (Raden di Gagelang), Megat Kuda, Naya Kusuma, Raden Purna Lango dan Raja Tanjung Pura  dari cerita-cerita Panji.
Pengarang Hikayat Hang Tuha pun mengambil nama dan sebahagian unsur cerita Panji. Contohnya: Raden Wira Nantaja, Raja Melayu, Rangga dan Kebu (Kadeyan) dan konsep lima kadeyan atau pelayan.

Mitos Hang Tuha/Hang Toh
Tetapi ramai yang tidak menyangka seluruh kisah ke-11 & 12 dalam teks Sejarah Melayu yang mengandungi nama Tun Seri Lanang, dan kisah ke-9 & 10 dalam Raffles MS. No. 18) memuatkan mitos yang mempunyai tujuan khas. Melalui kisah lawatan ke-Majapahit pengarang ingin memperagakan kebesaran raja Melaka. Dalam kisah ini juga diketengahkan nama Hang Tuha/HangToh.

Lawatan ke Majapahit itu fiksyen
1. Ia tidak mungkin berlaku kerana Majapahit ketika pemerintahan Mansur Syah sedang dilanda perang saudara (1451, 1453-56 (tiada raja), (1466- 1468), (1468-1474), 1478. Pada tahun 1478 Majapahit merosot kerana ancaman dari kerajaan Islam Demak.
Kisah lawatan ke Majapahit diilhami oleh cerita-cerita Panji. Nama-nama wataknya semuanya dari cerita Panji.

Babak pertikaman Tuha & Kesturi/Jebat
Mitos ini bertujuan mempertegaskan doktrin tata pemerintahan  Melayu yang sudah wujud sejak abad ke-7 di Sumatera (inskripsi Sibokingking di Telaga Batu) – iaitu Melayu disumpah jika durhaka (Sansk. “drohaka”) kepada rajanya. Dalam kisah ini jelas nama gelar Laksamana Hang Tuha (atau Hang Toh) dipakai.Di sini Tuha/Toh adalah fiksyen kerana  hakikat wujudnya pantangan menyebut nama.

Pengaruh cerita Panji & Mitos
Nama Jebat, Kesturi, Lekir & Lukéwa pun adalah direka untuk membentuk  roman fiksyen pertama kesusasteraan Melayu.
Juga terjemahan nama Krtala dalam nama Hang Lukewa (bukan Lekiyu). “Lukewa” berasal daripada istilah Jawa Kuno, “luke” atau “lukai” yang bererti pisau belati.
Perkahwinan Mansur Syah dengan Raden Galuh Candra Kirana & Puteri Hang Li Po juga adalah mitos semata-mata.
Mitos perkahwinan dengan Hang Lipo bertujuan untuk menyatakan Melaka lebih besar daripada kerajaan China.

Nama Jebat, Kesturi, Lekir dan Lukewa 
Selain bab ke-11 dan ke-12 (naskhah yang ada nama Tun Seri Lanang) nama-nama ini tidak disebut dalam kisah-kisah yang melibatkan Laksamana di dalam “Sejarah Melayu”. Bahkan dalam kisah ke-11 ketika berada di Majapahit hanya nama Jebat & Kesturi yang disebut. Dan dalam kisah ke-12 hanya nama Kesturi yang disebut. Seyogia diingati, istilah “Jebad” (Meelayu: Jebat) dalam bahasa Jawa Kuno (Kawi) bererti Kesturi dan kedua-duanya bermakna wangi-wangian.
Ia juga bukti watak-watak ini adalah fiksyen.


Pengaruh cerita-cerita Panji
Nama Tuha & Toh itu adalah nama gelar. Ia digunakan lebih daripada satu kerana pengarang “Sejarah Melayu” dapat menegaskan dua aspek pada ketokohan Laksamana. Pengarang meniru gaya cerita Panji di mana watak-wataknya mempunyai lebih daripada satu nama. Misalnya Raden Inu Kuripan juga bergelar Temenggung Aria Wangsa. Bahkan nama gelar dalam cerita Panji melebihi dua nama watak.

Pengaruh tradisi Mahabharata dan Ramayana
Istilah “Laksamana” (dari kata Sanskrit “Lakshamana”) adalah lambang kesetiaan kepada raja
Jawatan laksamana telah wujud sejak zaman Sultan Muhammad Syah. Mula-mula dia hanya bentara raja kemudian diberikan tanggungjawab sebagai panglima turus (jawatan Lakshamana).

Erti “laksamana”
Atas kehebatan orang yang berjawatan laksamana maka pengarang “Sejarah  Melayu” telah merekayasa  mitos Laksamana Hang Tuha/Hang Toh yang menjadi cermin diri Laksamana sebenar. Nama gelar Tuha dan Toh adalah untuk mendeskripsikan sifat hulubalang yang bergelar Laksamana itu.

Penggunaan gelar Laksamana dan nama gelar Laksamana HangTuha/Hang Toh
Di dalam “Sejarah Melayu” kisah ke-16, 21, 23, dan 25 gelar “Laksamana“ disebut tanpa apa-apa nama. Di dalam kisah ke-22 gelar Laksamana “Hang Tuha/Hang Toh” (tergantung kepada bacaan seseorang) disebut 2 kali (masa memarahi Raja Siak dan ketika merawat Sultan Mahmud). Dan apabila nama gelar  Tuha & Toh dipakai ia adalah sebagai deskripsi Laksamana.


Pantang larang tentang nama
Kebijaksanaan pengarang “Sejarah Melayu” ialah mengelakkan diri daripada memberitahu nama Laksamana – sesuai dengan pantang larang orang Melayu dan bangsa-bangsa Nusantara dan daratan Asia Tenggara. Bagi bangsa Nusantara pantangan ini ada kaitannya dengan kepercayaan terhadap Semangat (animisme).

Semangat seseorang boleh dipuja atau disihir
Nama seseorang adalah sebahagian yang penting pada dirinya.
Kaitan antara nama orang itu dengan diri nya begitu teguh dan akrab sehingga jika ada orang mahu membuat angkara melalui sihir akan bahagian-bahagian dirinya, seperti kukunya, rambutnya atau apa saja yang menjadi bahagian dirinya, termasuklah namanya, maka sihir itu akan berkesan (Frazer 1911: 318).

Tentang Keris Hang Tuah [sic]
Keris sembilan lok yang dijumpai di Okinawa (menurut Rohaidah Kamaruddin)  bukan bukti ia keris Hang Tuah [sic]. Ini satu pembohongan sejarah.
Bahkan nama keris “Tameng Sari” dan orang yang bernama Taming Sari itu pun diciplak daripada cerita-cerita Panji yang menamakan keris Raden Inu Kuripan “Kalamisani” (bererti kala jengking yang beracun atau berbisa). Menurut cerita Panji orang yang memakai keris ini adalah kebal. Makna ungkapan Tameng Sari pun ialah”Sari terbaik untuk perisai”.


Nama gelar Hang Tuha & Hang Toh
“Laksamana Hang Tuha” atau “Hang Toh” hanyalah nama gelar di dalam “Sejarah Melayu”. Ia adalah “alter ego” (aku yang kedua) bagi Laksamana yang sebenar. Pengarang “Sejarah Melayu” menggunakan nama gelar itu sebagai bayangan atau cermin diri Laksamana dalam kisah lawatan fiksyen ke Majapahit dan juga fiksyen dalam tragedi pertikaman antara Hang Tuha dan Kesturi.
Namun nama gelar ini diaplikasikan kepada  Laksamana  kerana ciri pemimpinnya dan kerana dia menjadi sandaran atau tempat pergantungan raja.


Nama gelar Tuha & Toh
Apabila laksamana  yang sebenar meninggal dunia sebelum kedatangan Portugis, penggantinya yang lemah, disindir oleh pengarang “Sejarah Melayu”  dengan memanggilnya “Khoja”. Laksamana yang bergelar Khoja ini tidak sama dengan khoja-khoja yang lain (bilangannya ramai di Melaka). Laksamana yang bergelar Khoja itu muncul namanya dalam kisah ke-27 apabila dia membunuh Tun Perpatih Hitam  dengan pedang “lukaiwa/lukewa”nya.

Siapa dia Khoja?
Khoja berasal daripada kata Parsi “Khwaja” yang merujuk kepada puak yang menjadi pengikut Imam Syi’ah Ismaili Sadardin Syah (1368-1423) di India dan kini Agha Khan. “Khoja” ialah nama gelar orang ‘alim dalam komunti yang juga disebut kaum khoja.
Tetapi pada abad terkemudian ada juga khoja yang bermazhab Sunnah wal Jamaah. Mereka ini dikenali dengan gelar “Syekh”.
Komuniti khoja terlibat dalam perdagangan waktu zaman Melaka. Tetapi kata “khoja” dalam bahasa Parsi juga bermakna sida-sida iatu orang yang telah dikembiri atau dimatikan hawa nafsunya.
.
Nama pembesar pantang disebut
Lantaran pantang larang menyebut nama dalam kalangan orang Melayu mengapakah nama Khoja Hasan dipakai untuk gelar Laksamana?
Rupa-rupanya pengarang “Sejarah Melayu” secara halus ingin menyatakan bahawa selepas laksamana yang tulen meninggal dunia tiada lagi laksamana yang berkarakter “tuha” dan “toh”. Yang menggantikannya ialah seorang “khoja” yang membawa maksud orang yang sudah dikembiri syahwatnya – i.e. orang yang lemah tenaga batin.

Gambar Dari: FMT


Laksamana yang terkemudian bukanlah Tuha atau Toh
Untuk menyatakan laksamana yang kemudian jauh daripada bersifat “tuha” (pemimpin ampuh) atau “toh” (sandaran/harapan raja dalam pertempuran), pengarang “Sejarah  Melayu” menggunakan nama gelar “Khoja”. Waktu dia meninggal dunia pun dia dikurburkan di gunung “Pentar”. Kata Kawi “pentar” bererti lemah suara.  Dalam kisah ke-29 “Sejarah Melayu” Khoja Hassan dikatakan telah dirasuah oleh Raja Mudaliar sehingga menyebabkan terbunuhnya Bendahara Seri Maharaja .

Laksamana terus tidak diberi nama sebenar
Selepas watak Laksamana Khoja Hasan dimatikan, pengarang “Sejarah Melayu”  mencipta pula nama gelar Hang Nadim.
“Nadim” dalam bahasa Arab bererti teman rapat (“companion”) atau sahabat. Wataknya adalah fiksyen. Nadim bukanlah namanya.
Tujuannya menggunakan nama ‘Nadim” ialah untuk menyatakan gelar laksamana terus dipakai di Melaka.
“Nadim” sejajar dengan konsep “Lakshamana” di dalam Ramayana. Di dalam cerita Ramayana, “Lakshamana” adalah “companion” atau “nadim”  Raja Rama.

Sumber “The Commentaries of Afonso Dalboquerque” menyatakan usia Laksamana pada tahun 1511 sekitar 80-an. Soalnya: Bolehkah seorang Melayu dalam abad ke-16 mencapai usia 80 tahun? Dia juga terlibat menghadang angkatan laut Siam di Pulau Pisang pada tahun 1490. Apakah mungkin waktu itu sebagai hulubalang dia boleh bertindak dengan berkesan ketika usia sudah 70-an?
Mustahil. Sumber Portugis tentang usia Laksamana pada 1511 pun harus diragukan. Namun, boleh jadi juga umurnya lanjut sampai ke lapan puluh tahun. Seyogia diingati, Laksamana yang asal telah meninggal dunia sebelum ketibaan Portugis iaitu sebelum 1511.

Tidak munasabah untuk mengatakan Laksmana Melaka bernama “HangTuah”
Ini disebabkan oleh kerana:
1. Kesalahan membaca ejaan Jawi t/w/h (توه).
2. Tidak wujud istilah “tuah” yang bermakna untung nasib sebelum awal abad ke-18. Perkataan /t/w/h/ lebih lumrah dipakai dalam abad ke-19.
3. Adat pantangan (tabu) menamakan pembesar tidak memungkinkan nama Laksamana Melaka dinyatakan.
4. Kamus tertua Melayu-Inggeris (1701) oleh Thomas Bowrey menyebut ejaan /t/w/h/ [ توه ] sebagai “tooah” dengan ditambah fonem ha [h] pada “tooa” kerana mengikut sebutan lidah Inggeris.  Maksudnya ialah “tua”. Tidak ada kata “tuah” untuk erti nasib atau untung dalam Kamus Bowrey. Sebaliknya, kata “oontoong” [sic] digunakan untuk “fortune” atau “luck”.

Kamus James Howison (1801) pun membaca ejaan /t/w/h/ [ توه ] sebagai “tooah” dengan maksud “tua” (old). Kata “lama” (old) dieja oleh Howison “lamah” [ لامه ] iaitu dengan menambah fonem ha [h], juga untuk memudahkan lidah Eropah menyebutnya. Howison juga menterjemahkan fortune dengan kata “oontoong” [sic]. Tidak ada kata “tuah” untuk makna fortune di dalam kamusnya. Dalam kamus Marsden (1812) yang berdasarkan kajiannya sebelum 1779, ejaan /t/w/h/ [ توه ] bila dirumikan menjadi /t/ū/a/h dan membawa erti old, aged, intense in colour. Ia sama sekali tidak membawa makna nasib baik atau untung. Sebaliknya, untuk terjemahan “fortunate” Marsden menggunakan “bhagia” (Kawi) dan kata “ontong” [sic]. Untuk makna “fortune” kata “ontong” [sic] dan “nesib” [sic] juga dipakai.

Dalam kamus John Crawfurd (1852), kata “old” atau “ancient” dalam bahasa Melayu ialah “tuwah”. Tetapi oleh kerana kamus ini diterbitkan pada abad ke19, kata “tuwah”, “bertuwah” dan “mujur” telah diperkenalkan dan diterjemahkan sebagai “lucky”, “fortunate”. Tetapi Crawfurd juga memasukkan kata asal Kawi, “toh” yang bererti “a stake”, a deposit at play”, yakni taruhan atau petaruh. Dengan yang demikian, kata “tuha” [ توه ] tatkala dirumikan telah diterjemahkan sebagai “tua” dan untuk memudahkan orang Eropah menyebutnya, ejaannya ialah /t/ū/a/h/ atau /t/u/w/a/h/. Para Orientalis Eropah itu tidak tahu bahawa satu lagi makna tuha ialah pemimpin atau ketua yang berketrampilan. Laksamana Hang Tuha bererti Laksamana, pemimpin yang trampil (“the competent leader”). Ini bukan nama, tetapi hanya nama gelar atau “nickname”..

John Leyden yang menterjemahkan “Sejarah Melayu” ke bahasa Inggeris mula-mula membaca ejaan /t/w/h/ [ توه ] sebagai “tuha” untuk “Hikayat Hang Tuha”. Tetapi dalam “Malay Annals”nya yang diusahakannya dalam tahun 1807 (dengan bantuan Ibrahim Kandu, seorang Tamil Culia) dia memakai istilah Hang “Tuah” (“tuah” mengikut sebutan pelat Eropah yang bererti tua). Thomas Braddel pun menyebut nama “Hang Tuah” ketika menulis abstrak “Sejarah Melayu” dalam bahasa Inggeris pada sekitar 1850. Demikian pula T. J. Newbold yang juga menyebut nama “Hong [sic] Tuah” dalam tahun 1839. Tidak mustahil “Tuah” bagi mereka itu merujuk kepada kata “Tua”. W. G. Shellabear pun ketika merumikan resensi “Sejarah Melayu”nya (1898) menggunakan kata “Hang Tuah” yang bermaksud Hang Tua.

“Hikayat Hang Tuha” adalah karya sastera bukan karya sejarah
Suatu hal yang sering dilupakan oleh mereka yang menjadikan kembara watak Laksamana Hang Tuha sebagai suatu “adventure” sejarah dan bukan mitos ialah kerana mereka menganggap “Hikayat Hang Tuha” itu ialah sebuah karya sejarah; pada hal karya itu seperti juga “Sejarah Melayu” dan “Hikayat Raja Pasai” adalah karya sastera atau paling kuat pun karya sastera sejarah.

Sekian.
Wa’lLahu a’lam


[ Segala latar belakang, sifat dan pandangan oleh penulis artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian RMB ]

___________________________
~ Prof. Emeritus Sejarah Ahmat Adam ~
Ahli Sejarah
_____________________________






Dapatkan buku Menangkis Fitnah Yang Terpalit Pada Bani Umayyah! Untuk keterangan lanjut sila KLIK DI SINI .

Comments