1MDB Dalam Buku Teks Sejarah Malaysia?

OLEH: Dr Sahul Hamid Mohamed Maiddin


-1MDB dalam buku teks Sejarah Malaysia atau dalam Sejarah Malaysia?- 

Saya menunggu sehingga hari ini bagi mengulas hal tersebut bagi mendapatkan maklumat selengkapnya supaya penulisan dapat dipersembahkan dengan seadilnya.

Isu ini timbul dalam perbahasan dalam Dewan Rakyat (DR) pagi semalam, 3 Disember 2018 dalam soalan YB Ahmad Maslan kepada YB Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan. Perbahasan tersebut dapat ditonton dalam capaian yang saya sertakan disini, antara minit ke-4 hingga ke-17. Untuk berlaku adil dan tidak sewenang-wenang, tonton dan kemudian komen. Selain YB Ahmad Maslan, YB Hasanuddin dan YB Nik Nazmi turut bertanyakan soalan yang berkaitan pensejarahan dan pedagogi sejarah.

Dr. Maszlee menjawab dengan baik dan jelas beberapa persoalan yang diajukan. Namun, ketika Ahmad Maslan bangun bertanyakan soalan, nampaknya Dr. Maszlee sedikit tersasar dan terperangkap dengan sentimen 'jelek-1MDB', sedangkan pertanyaan Ahmad Maslan merupakan pertanyaan yang umum. Mungkin juga beliau seronok nak 'troll' Ahmad Maslan, sehingga terlupa beliau sekarang merupakan Menteri Pendidikan, bukan AP Pembangkang.

Lalu dari situlah terpaculnya kata-kata Dr. Maszlee tentang isu 1MDB yang akan dimasukkan dalam Sejarah Malaysia. Yang saya faham, maksud beliau bukan dimasukkan sebagai elemen dalam buku teks sejarah di sekolah, tetapi sebagai unsur kajian sejarah dalam konteks sejarah Malaysia pada masa hadapan. Namun, disebabkan beliau merupakan Menteri Pendidikan, maka ucapan beliau bebas ditafsirkan sebagai kes 1MDB dimasukkan dalam buku teks sejarah di sekolah.

Sebagai satu kes skandal kewangan dalam negara kita, selain skandal-skandal lain, 1MDB pastinya mendapat perhatian para pengkaji sejarah pada masa hadapan. Ada banyak lagi dokumen dalam Arkib Negara kita yang masih belum dapat diakses dan dikaji kerana terikat dengan peraturan kerahsiaan. Tetapi 1MDB tidak begitu, Ia sudah dibuka kepada umum.

Cumanya, dalam konteks pensejarahan, dan kajian akademik sejarah dalam negara kita, segala bahan kajian primer tersimpan di Arkib Negara Malaysia. Di sini, kita terikat dengan peraturan atau Akta yang membataskan akses terhadap bahan tersebut. Ini juga sekaligus menjawab pertanyaan Ahmad Maslan tentang "berapa tahun sesuatu itu dapat dianggap sebagai sejarah bagi negara kita?"

Menurut Akta Arkib Negara 2003, Bahagian V, Seksyen 37, sesuatu rekod tersedia untuk capaian orang awam, untuk bacaan dan kajian, selepas 25 tahun dari tarikh rekod tersebut. Kalau dokumen tersebut bertarikh 1 Mei 2015, maka rekod tersebut dibuka kepada orang awam hanya pada tahun 2040. Tetapi itu tidaklah bermaksud sesuatu isu atau peristiwa tidak boleh dikaji dalam tempoh tersebut, cuma kajian tersebut tidak menjadi mantap kerana kekurangan bahan rasmi yang memberikan maklumat yang tepat berdasarkan laporan kerajaan, risikan atau individu yang terlibat menulis surat.

Berkait juga dengan soalan Ahmad Maslan, sesuatu isu atau peristiwa itu terus menjadi sejarah setiap usai ia berlaku. Tetapi nilai sejarahnya berbeza kepada orang yang melihat, mengalami atau merasakannya. Setiap orang mempunyai kecenderungan untuk menghasilkan sejarahnya sendiri. Individu boleh menanggapi sejarah tetapi ia tidak signifikan. Yang kita mahukan adalah sejarah yang kolektif. Nilai sejarah yang diterima oleh semua orang dalam sesebuah negara.

Secara makro, dalam konteks bernegara, sejarah negara atau sejarah nasional adalah ketentuan daripada pihak pemerintah. Justeru, lahirlah ungkapan "Sejarah milik golongan yang menang." Ungkapan ini sesuai digunakan jika sejarah yang ditulis dan diajar itu berkaitan kegemilangan yang berpihak kepada pemerintah semata-mata. Sejarah yang bersifat propaganda. Ini yang perlu kita elakkan. Dan ini juga yang perlu kita nilai kembali dalam beberapa juzuk sejarah rasmi kita yang diajar di peringkat sekolah.

Demikianlah sedikit respon saya berkaitan isu Dr. Maszlee dan pertanyaan oleh Ahmad Maslan. Dr. Maszlee ini kini menjadi 'punching bag' kepada mereka yang tidak berpuas hati kepada kerajaan PH. Sejak kenyataan beliau terkait 'kasut hitam' beliau seumpama terjatuh dalam lereng yang licin, dan terus menerus menggelongsor ke bawah. Falasi lereng licin namanya. Setiap kata-kata beliau dinanti-nanti untuk diherdik dan diteliti kesalahannya. Semoga beliau lebih berhati-hati dan dinasihati secara betul oleh orang disekelilingnya. Beliau orang yang baik, cuma keadaan tidak menyebelahi beliau waktu ini. Selamat maju jaya saya ucapkan.

Gambar dari RTM


___________________________
Dr Sahul Hamid Mohamed Maiddin ~
Unit Sejarawan
_____________________________





Dapatkan buku Menangkis Fitnah Yang Terpalit Pada Bani Umayyah! Untuk keterangan lanjut sila KLIK DI SINI .



Comments