OLEH: Prof. Emeritus Sejarah Ahmat Adam
Ada kenyataan di FB bahawa “Hang Tuah TERCATAT DALAM SEJARAH JEPUN dan lain-lain tamadun. Tapi sedih juga orang Melayu masih tak percaya …”. Malangnya kenyataan ini berdasar kan omong kosong sahaja. Mana buktinya? Tiada mana-mana ‘tamadun’ pun (baik Jepun mahupun Cina, ataupun Portugis) ada mengatakan bahawa Hang Tuah itu adalah nama seorang Laksamana di Melaka pada abad ke-15 sampai abad ke-16. Laksamana Melaka memang wujud tetapi nama (atau lebih tepatnya) nama gelarnya bukan Hang Tuah [sic]. Semua sumber Portugis (termasuk Tome Pires) tidak langsung menyebut nama Hang Tuah [sic]. Selain daripada the Commentaries of Afonso Dalboquerque, dan tulisan Tome Pires, bacalah dan semak sendiri koleksi dokumen Portugis yang telah diterjemahkan oleh Father Pintado. Di mana disebutkan nama Laksamana Melaka?
Kenyataan bahawa Hang Tuah tercatat dalam sumber Jepun sesungguhnya satu pembohongan. Tetapi pembohongan ini seolah-olah dinafikan oleh mereka yang kurang berfikiran sejarah. Sikap mempercayai tahyul ini turut dikongsi oleh blogger “Progerak” yang memetik kata-kata Dr. Rohaidah Kamaruddin di atas. Inti dakwaannya ialah sumber ‘Jepun’ itu wajar dijadikan asas pembuktian kewujudan Hang Tuah [sic]. Sumber yang dimaksudkan sebetulnya berasal daripada dokumen berbahasa Mandarin iaitu apa yang dikenali sebagai surat-surat Ryukyu. Sumber ini telah dijadikan “bukti” bagi mereka yang mendakwa bahawa sumber “Rekidai hoan” (dokumen berharga bagi generasi turun-temurun) yang berupa kompilasi beberapa dokumen (yang SELURUHNYA ditulis dalam bahasa Cina), khusus berkaitan dengan hubungan kerajaan Ryukyu dengan kerajaan-kerajaan China, Korea, dan delapan buah atau lebih kerajaan Asia Tenggara (jika diambil kira juga beberapa kota pelabuhan pada zaman antara tahun 1424 dan 1867).
Dalam koleksi dokumen-dokumen itu terdapat 16 surat-surat yang ditulis oleh pihak kerajaan Ryukyu dan juga Melaka antara tahun 1463 dan 1481. Juga terdapat dalam koleksi itu ialah dokumen dalam bentuk “certificate” bertarikh 1509, 1510 dan 1511. Semua dokumen mengenai hubungan Ryukyu-Melaka ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Jepun beserta dengan anotasinya oleh Profesor Atsushi Kobata, dari Universiti Kyoto, (termasuk anotasi tambahannya). Terjemahannya ke dalam bahasa Inggeris pula telah dilakukan oleh Mitsugu Matsuda, sarjana yang juga menyemak terjemahan dalam bahasa Jepun itu. Nama-nama orang yang dari negeri-negeri Laut Selatan (termasuk Melaka) telah ditulis dalam bahasa Mandarin. Buku ini telah diterbitkan pada tahun 1969 oleh Profesor Kobata sendiri.
Dengan tujuan untuk membuka pintu berfikir kepada para rakan di FB, maka saya mengambil inisiatif menyiarkan petikan tiga pucuk surat yang telah diterjemahkan ke bahasa Inggeris, iaitu berkaitan dengan Melaka sekitar tahun 1480/1481. Surat-surat itu terdiri daripada dokumen 39, no. 10) dan 39 no. 15 di mana terdapat catatan perkataan “Lo-tso-ma-na”, serta dokumen 39 no. 9 yang tarikhnya tidak jelas (hanya tahunnya sahaja diberi iaitu 1480) tetapi dipercayai juga datang dari Laksmana Melaka, sekalipun surat itu berakhir hanya dengan ungkapan, “On behalf of the king”. Pembaca yang tidak kritis mungkin akan terpengaruh dengan catatan nota kaki penterjemah (Kobata) pada dokumen 39, No. 10 yang mengemukakan andaiannya, “This is understood to refer to the Lassamane (Laksamana), that is, the famous Huang [sic] Tuah who is prominent in Malaysian traditions”. Tetapi ini hanyalah agak-agakan Kobata. Tidak ada pun di mana-mana di dalam mana-mana dokumen itu nama Laksamana Melaka disebutkan.
Dengan tersiarnya dokumen-dokumen ini pembaca FB bolehlah membuat tafsiran sendiri bagi menentukan sejauh mana benarnya mereka yang mendakwa perihal nama “Hang Tuah” [sic] itu memang betul-betul sahih atau hanya agak-agakan sahaja --- yang sebetulnya menyalahi kaedah membuat research dalam disiplin ilmu Sejarah.
Suatu perkara lagi yang saya dapati sering diungkapkan mereka yang bersikap “jahil sejarah” (“a-historical”) ialah mengenai nama kapal di dalam “Hikayat Hang Tuha” ---- iaitu “Měnděm Brahi” (yang ditulis ‘Mendam Berahi’). Kata Kawi “Měnděm” apabila digabungkan dengan kata Jawa Baru “Brahi” membawa erti “Mabuk Asmara”. Mereka yang percaya bahawa kapal ini memang wujud sebenarnya sangat keliru kerana pengarang bijaksana “Hikyat Hang Tuha” telah merekayasa nama kapal yang berstatus fiksyen ini sebagai mengambil sempena hajat Sultan Mansur Syah (yang dalam HHT dikatakan sedang mabuk asmara) untuk meminang puteri Jawa yang dimitoskan (kerana ia adalah watak dalam Cerita-Cerita Panji) iaitu Raden Galuh Candra Kirana yang dalam cerita Panji merupakan tunangan Raden Inu Kertapati, putera Raja Daha. Bukan sahaja nama “Měndem Běrahi” yang direka oleh pengarang tetapi juga tiga buah pegangkutan lagi, masing-masing bernama “Kumbang Nuri” (yang kemudianya diganti namanya oleh Sultan kepada “Genta Sagara”) yang bererti genta di laut, déndang “Sir al-Alamain” (ertinya perjalanan yag selamat) dan “Wal-marat al-Safa” (ertinya laluan yang terbuka). Inilah tiga buah kenaikan laut yang digunakan oleh Laksamana, Raja Melaka dan seluruh anggota delegasi diraja yang pergi ke Majapahit.
Suatu hal yang juga sering diterima tanpa fikiran kritis oleh mereka yang sangat mudah menganggap mitos dan dongeng sebagai sejarah ialah bahawa Laksamana Melaka telah pergi ke benua Kalinga, benua China, benua Rum (Istanbul) dan tempat-tempat lain. Kesemua kunjungan ini sebenarnya khayalan pengarang “HHT” sahaja iaitu dengan menjiplaknya motifnya daripada karya-karya lain, khasnya “Sejarah Melayu”. Tersesatnya mereka yang menganggap kembara Laksamana Melaka di dalam “HHT” itu sebagai peristiwa yang benar-benar berlaku ialah kerana karya agung sastera orang Melayu ini telah dianggap sebagai “buku sejarah”. Pada hal seperti karya-karya Shakespeare yang menggunakan latar belakang sejarah (contohnya karya Macbeth, Julius Caesar, Henry VIII, Anthony and Cleopatra, Hamlet, dan beberapa yang lain lagi), mereka yang membacanya tidak pernah menganggap karya Shakespeare itu sebagai karya sejarah tetapi sebaliknya sebagai karya sastera. Pengarang sastera boleh sahaja menganyam penceritaannya berdasarkan imaginasi bebasnya dan menggunakan sebaik mungkin daya berfikir kreatifnya untuk merekayasa sesuatu kisah yang indah dan seronok dibaca.
Terakhir, ada dakwaan dalam kalangan beberapa orang yang tidak faham kaedah mengkaji sejarah yang cuba mengaitkan keris yang dikatakan kini tersimpan dalam simpanan Jepun sebagai keris “Hang Tuah” atau keris dari Melaka. Sekali lagi mereka ini berbicara degan berasaskan fantasi atau angan-angan. Jika mereka betul-betul membaca dokumen Ryukyu itu tentulah mereka akan mengetahui bahawa selain perhubungannya dengan Melaka, kerajaan Ryukyu juga menjalin hubungan dengan Palembang, dan tempat-tempat lain di Sumatera, serta pulau Jawa. Menurut prinsip menulis sejarah, semua dakwaan memerlukan bukti. Bayangkan jika sebuah pedang dari Portugal dijumpai di Sungai Melaka, maka bolehkan sesiapa mendakwa itu adalah pedang Afonso Dalboquerque?
Berikut ini dilampirkan dokumen-dokumen Ryukyu yang telah dijadikan asas bagi pembohongan yang mengatakan Laksamana Melaka itu bernama atau bergelar “Hang Tuah”
___________________________
~ Prof. Emeritus Sejarah Ahmat Adam ~
Ahli Sejarah
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________
Dapatkan buku Menangkis Fitnah Yang Terpalit Pada Bani Umayyah! Untuk keterangan lanjut sila KLIK DI SINI .








Comments
Post a Comment