OLEH: Muhamad Hazim
Matematik sewaktu Era Uthmaniyah
- Elbattani, menemukan ‘plane and spherical’ trigonometri.
- Tuslu Nasiruddin, yang mengasaskan konsep pertama untuk geometri ‘noneuclidean’.
- Harzemli Mehmet bin Musa, yang menulis buku El-cebr ve Mukabele. Buku tersebut telah diterjamah ke dalam Bahasa Itali sebenarnya serta dijadikan rujukan oleh pakar Matematik Itali seperti Fibonacci, Cardan dan Ferrai untuk mendalami algebra.
Bukan sahaja pada era Abasiyah, malahan juga pada zaman Uthmaniyah, sains dan kajian saintifik dianggap begitu penting. Sultan sangat menyokong dan menghormati para sarjana dalam bidang ini sehinggakan pada suatu ketika, mereka layak memberi komentar terhadap kerajaan selepas Sultan dan Sheikhul-Islam, iaitu penasihat agama dan Mufti kerajaan Uthmaniyah. Hal ini berlaku pada era pemerintahan Sultan Yıdırım Beyazit dan Sultan Murat I.
Rakyat Uthmaniyah juga tidak ketinggalan dalam menabur bakti yang begitu besar khususnya dalam dua aspek ini, iaitu pengkajian matematik dan yang keduanya, pendidikan matematik.
Sehingga kurun ke-16, ahli matematik dalam tamadun Uthmaniyah ini mendalami bidang astronomi dan teologi Islam, tetapi setelah kurun tersebut, mereka mula mempelajari bidang kejuruteraan dan sains natural di samping matematik.
Malangnya, pada awal penubuhan kerajaan Uthmaniyah, pengkajian berkenaan matematik agak mundur kerana ramai daripada tokoh sarjana Uthmaniyah lebih terpengaruh serta menetap di pusat sains islam di Baghdad, Khurasan dan Samarkand. Misalnya, salah seorang Ahli Matematik agung Uthmaniyah, Molla Mehmet oğlu Selahaddin Musa atau lebih dikenali dengan nama Kadızade Rumi, telah berkelana ke wilayah Khurasan setelah menamatkan pengajiannya di Bursa di dalam bidang matematik dan kosmologi. Kemudian beliau telah mendapat penghormatan besar dari Sultan Uluğ Bey untuk mengajar di istana di sana.
Setelah pembukaan Kota Konstantinopal oleh Sultan Muhammad Al-Fatih pada tahun 1453, baginda mula menubuhkan pusat sains di Istanbul. Di dalam perpustakaan khas baginda, telah dimuatkan kesemua naskhah salinan berkaitan perubatan, geometri, aritmetik, dan kosmologi yang telah diterbitkan di negara lain sewaktu zaman baginda.
Baginda kemudiannya telah menjemput ahli matematik yang masyhur di Samarkand, Ali Kuşçu, untuk bekerja di Istanbul dan yang menariknya, beliau merupakan antara anak murid terhebat Kadzıade Rumi dan telah berjaya menyiapkan zeyçi (peta kosmologi dan jadual bintang) yang terbaru milik gurunya itu. Perginya Kadızade ke Khurasan dahulu, digantikan dengan ‘Kadızade’ yang lebih hebat untuk Uthmaniyah.
Ali Kuşçu akhirnya menerima jemputan sultan dan membawa keluarganya ke Istanbul pada 1472 serta menetap di sana. Beliau telah menyambung pengajian serta pengkajiannya di madrasah milik Sultan Al-Fatih. Ali Kuşçu telah menulis dua karya penting, Muhammediye berkaitan aritmetik dan Fethiye berkenaan kosmologi. Kedua-kedua buku ini telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa dan diberi kritikan serta komentar oleh ramai sarjana kemudiannya. Mirem Çelebi, murid serta cucu Ali Kuşçu, telah menyambung legasi beliau dengan karya utamanya, Düsturül’ amel ve Tashihülcetvel, Risaleütlcamia dan Risale Firub’ilmücib . Kebanyakan daripada karya beliau ditulis di dalam Bahasa Parsi.
Pengkajian matematik diteruskan berabad-abad tanpa henti. Pada kurun ke-18, Uthmaniyah dianugerahkan seorang tokoh besar matematik yang dinamakan Gelenbevi Ismail Efendi. Beliau dilahirkan di Gelenbevi pada 1737 di dalam keluarga yang mempunyai tokoh-tokoh yang masyhur. Beliau mengajar matematik di Sekolah Kejuruteraan dalam Perkapalan yang telah ditubuhkan oleh Sultan Hamit I. Kemudian, Gelenbevi menulis Musellesat di dalam Bahasa Turki Uthmaniyah dan kemungkinan besar mampu difahami oleh insan pada masa kini.
Beliaulah ahli Matematik Uthmaniyah yang terakhir melakarkan karya-karyanya dengan cara ketimuran. Selepas Kalfazade (yang mula-mula mengenalkan ‘logarithm’ ke dalam Uthmaniyah) dan Gelenbevi, para sarjana telah meninggalkan style Matematik timur dan mula ‘memandang’ ke arah Barat. Beberapa sarjana Uthmaniyah mula menghantar anak mereka belajar di negara-negara barat dan ada juga yang bekerja di sana untuk beberapa ketika.
Episod matematik ini diakhiri dengan ahli terakhir ‘sekolah matematik’ Uthmaniyah iaitu Salih Zeki. Beliau yang dilahirkan pada 1863 di bandar Cibali dan telah mendapat pendidikan di dalam kejuruteraan elektrik di Paris. Setelah beberapa waktu berlalu, beliau mula meninggalkan kerjayanya sebagai jurutera dan fokus 100% dalam mengajar subjek ini serta dikatakan beliau juga merupakan ahli sejarah sains. Karya-karya utama beliau;
- Kamusu Riyazat, ensiklopedia matematik.
- Hikmeti Tabiiyeyi Umumiye, berkerkaitan fizik.
- Mizanı Tefekür, buku penting dalam logik algebra.
Gelenbevi penuntup bagi era matematik timur manakala Salih Zeki pula mengakhiri era matematik barat seterusnya menutup tirai bagi kegemilangan serta pengkajian matematik buat peradaban Uthmaniyah.
Bidang ini sudah tidak mampu dibangunkan serta dimajukan oleh rakyat Uthmaniyah lagi setanding dengan negara-negara Eropah sejak kurun ke-18 dan mula berkubur ditelan zaman. Semoga kajian lebih mendalam tentang matematik pada era Uthmaniyah ini diteruskan kerana terlampau sedikit yang mengkaji disebabkan keterbatasan bahasa, tulisan dan kurangnya pembacaan lanjut. Uthmaniyah kaya dengan kajian sains, perubatan, matematik dan macam-macam lagi yang bukan hanya untuk dibanggakan tetapi untuk ditelaah kembali dan dijadikan teladan serta sempadan.
Rujukan:
- Mathematics in Ottoman Empire, Prof. Dr. Mehmet H. Oryan.
*Buku El-cebr ve Mukabele boleh didapatkan sekarang di dalam Bahasa Melayu yang diterbitkan oleh ITBM
___________________________
~ Muhamad Hazim ~
Lajnah Makalah Sejarah
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________
Dapatkan buku Menangkis Fitnah Yang Terpalit Pada Bani Umayyah! Untuk keterangan lanjut sila KLIK DI SINI .


Comments
Post a Comment