Menelusuri Pantai Zaman: Kejatuhan Melaka (Siri 4)



OLEH: Prof. Emeritus Sejarah Ahmat Adam


"Menelusuri Pantai Zaman: Melaka Tahun 1511” 




Mengapakah Melaka mudah dikalahkan?

Kemenangan besar Portugis lantaran berjaya menakluki kerajaan Melayu Melaka yang begitu masyhur pada zaman itu tentulah ada sebab-musababnya. Walaupun Melaka pernah menghadapi serangan dari orang asing seperti Siam, dan kerajaan Melaka pun pernah menundukkan beberapa kerajaan di tanah semenanjung dan di seberang Selat Melaka, namun pertembungannya dengan bangsa Eropah belum pernah berlaku. Kehadiran orang Portugis di Melaka sejak kali pertama dalam tahun 1509 sesungguhnya tidak disangka-sangka oleh Raja Melaka akan membawa kepada kehancuran sebuah kerajaan. Kejatuhan Melaka juga boleh ditafsirkan sebagai kesan dan akibat daripada pertembungan dua kebudayaan yang berbeza yang jelas membawa nilai-nilai tamadun yang sangat bertentangan.

Kedatangan Dalboquerque ke Melaka bukan sahaja didorong oleh niat untuk menebus malu dan membebaskan orang sebangsanya, tetapi juga untuk mengambil kesempatan merampas sebuah ’lombong emas’ di perairan Selat Melaka. Dengan dibakar oleh semangat keagamaan yang sangat membencikan orang Islam, maka Dalboquerque pun mengulangi  dasar bumi hangusnya yang berjaya dilaksanakan di Goa, India. Maka Kapten-Jeneral Portugis itu pun bertindak sekejam yang mungkin di bumi Melaka, tanpa ada sedikit pun perasaan kemanusiaan yang diajarkan oleh agama Kristiannya. Teknologi perang dan kelengkapan persenjataan yang dimiliki oleh tenteranya telah dimanfaatkan sepenuhnya untuk membunuh rakyat Melaka yang dianggapnya tidak bertamadun.

Tetapi punca kekalahan tidak terletak di bahu Portugis sahaja. Di pihak kerajaaan Melaka sendiri, masalah kepemimpinan orang Melayu juga menjadi sebab utama kekalahan itu. Seorang Sultan yang zalim dan ketiadaan pimpinan yang mampu merancang strategi pertahanan yang berkesan membawa padah yang buruk kepada kerajaan Melaka, yang hanya baru wujud sekitar seratus sebelas tahun. Selain itu, masalah-masalah dalaman kerajaan Melaka yang menyebabkan pembesarnya tidak menyedari wujudnya gunting dalam lipatan juga mendedahkan kelemahan kepemimpinan negeri. Amalan menerima rasuah yang dilakukan oleh sebahagian pembesarnya, termasuk juga Bendahara, menjadi tanda kerendahan akhlak dan kualiti kepemimpinan pada zaman penghujung kesultanan Melaka.
 



Strategi perang yang lemah 

Dari segi strategi pertahanan jelaslah Raja Melaka tidak pernah terfikir bahawa Melaka akan diserang pada suatu hari kelak secara besar-besaran oleh bangsa yang rakus dan biadab. Kelemahan teknologi dalam peperangan dan ketiadaan ilmu pertahanan menjadi faktor penting dalam kekalahan Melaka. Sekalipun seperti yang dilaporkan oleh orang Portugis bahawa di Melaka mereka menemui lapan ribu alat senjata, namun senjata seperti lela dan rentaka, istinggar, peluru timah, lembing, bambu runcing, seligi, panah beracun dan keris serta pedang tidak berkemampuan mencabar keberkesanan senjata api Eropah seperti meriam, senapang, bedil, dan pemuras, dan juga “scimitar” (syamsir atau pedang besar) Portugis. Penggunaan gajah untuk berperang juga bukan langkah yang bijak kerana gajah sukar dikendarai untuk bergerak tangkas. Ketika melihat pengikut Sri Utamaraja yang terdiri daripada orang Jawa enggan berperang, Sultan Mahmud Syah, Raja Melaka, merasa amat keciwa sehingga terpaksa membayar upah kepada mereka untuk menentang Portugis; tetapi ternyata asykar upahan orang Jawa itu pun tidak bersungguh-sungguh menentang Portugis kerana dihalang oleh Sri Utamaraja.




Sri Utamaraja ‘bermain kayu tiga’

Malang bagi orang Melayu Melaka, Sri Utamaraja yang kepada orang Portugis dikenali sebagai Utimutiraja, yang dipercayai oleh Sultan Mahmud, pun bermain kayu tiga dengan kerajaan. Apabila dia mendengar betapa akan berlakunya peperangan yang akan menyaksikan penaklukan negeri Melaka oleh Portugis, Sri Utamaraja telah secara halus berpaling tadah; secara sembunyi-sembunyi dia telah menghubungi Afonso Dalboquerque dan meminta agar dia dan anak isterinya diberikan jaminan dalam bentuk pemberian surat laluan (“surat pas”) agar dia dan ahli-ahli keluarganya mendapat suaka. Permohonannya ini telah dikabulkan oleh Dalboquerque yang licik kerana muslihatnya ialah untuk menjejaskan sokongan terhadap Sultan Mahmud. Pada waktu perang sedang berkecamuk, para lasykarnya yang sepatutnya dikerahkan oleh Sri Utamaraja dari Upih pun gagal menunjukkan perjuangan yang bersungguh-sungguh dalam menentang Portugis. Tetapi selepas Portugis berjaya menakuki Melaka Utimutiraja (atau Sri Utamaraja) dan anak serta menantunya juga dituduh bertindak belot kepada Portugis. Dia telah dihukum pancung oleh Dalboquerque bersama-sama dengan anaknya, menantunya, dan cucunya pada 27 Disember 1511.



Taktik Dalboquerque

Kelicikan Portugis mengatur strategi, bukan sahaja dari segi perancangan ketenteraannya tetapi juga dari sudut diplomasinya terhadap kaum-kaum asing di Melaka, jelas menjejaskan pertahanan Melaka. Sebagai contoh, apabila saudagar Cina di Melaka menyedari bahawa serangan Portugis ke atas negeri Melaka akan menjadi kenyataan dalam masa kira-kira dua minggu selepas kedatangan Afonso Dalboquerque, mereka yang berasa tidak terhutang apa-apa kepada sebuah kerajaan yang tidak bersih, tidak cekap dan bahkan membenarkan rasuah dalam amalan pentadbirannya, telah secara bermain kayu tiga mengkhianati raja Melaka. Dikatakan para saudagar Cina ini pun menaruh dendam terhadap Sultan Mahmud kerana layanan yang buruk yang diterima daripada Raja Melaka yang telah merampas harta perniagaan mereka. Laporan Portugis pun mengakui bahawa orang Cina yang telah dipujuk Portugis telah menawarkan bantuan untuk bersama-sama berperang dengan tentera Dalboquerque. Meskipun Dalboquerque menolak tawaran tersebut, tetapi dia sebaliknya telah meminta orang Cina meminjamkan tongkang mereka demi membantu soldadu Portugis mendarat di bandar Melaka.



Tindakan ‘bumi hangus’ Portugis 

Langkah Dalboquerque mengarahkan dua orang panglimanya dengan masing-masing membawa seratus orang soldadu untuk membakar rumah-rumah di sekitar jambatan besar ternyata telah berjaya menimbulkan suasana panik. Angin yang bertiup kencang telah memarakkan api dan ini menyebabkan bukan sahaja rumah-rumah yang hangus tetapi juga gudang-gudang di mana barang-barang dagangan tersimpan pun mengalami kemusnahan.

Tindakan bumi hangusnya ini benar-benar didorong oleh rasa marah dan benci terhadap orang Islam seperti yang telah dilakukannya semasa di Goa yang menolak rasa peri kemanusiaan. Semasa penaklukan Goa, dengan mengecualikan petani dan sami Hindu, Afonso Dalboquerque dilaporkan telah membunuh sekitar enam ribu orang Islam. Ramai di antara orang Islam itu telah dibawa ke masjid dan dibakar hidup-hidup. Kini di Melaka kezaliman yang sama  dilakukan. Justeru kerana orang Melayu Melaka itu beragama Islam maka dasar membakar rumah dan masjid mereka serta membunuh kanak-kanak, perempuan dan orang tua dan mereka yang tidak bersalah dihalalkan. Akibatnya, ramailah rakyat Melaka yang terkorban dalam dasar bumi hangusnya itu. Seperti yang dilakukannya di Goa, bangunan Masjid Raya yang diperbuat daripada kayu dan batu juga dibakarnya. Turut dijilat api ialah istana Raja Melaka dan astaka berhias diraja yang indah yang dikatakan berdiri atas tiga puluh buah roda yang  berukuran sebesar kamar. Laporan Portugis menyatakan bahawa astaka inilah yang bakal dijadikan kenderaan pengantin diraja pada ketika perkahwinan puteri Sultan Mahmud dengan Raja Pahang [Sultan Mansur] dilangsungkan.



Raja Pahang pulang dan Sultan memperkuat pertahanan

Mengikut sumber-sumber Portugis, ketika bandar Melaka diserang, Sultan Mahmud sebenarnya telah berbalah dengan anaknya Raja Alaudin [sic, Sultan Ahmad] dan bakal menantunya Raja Mansur dari Pahang. Setelah Raja Pahang itu mendapati peperangan telah menyebabkan banyak kematian, dan istana Melaka pun mengalami kebakaran, maka dengan menaiki gajah bersama-sama rombongannya baginda pun kembali ke Pahang dengan memberi alasan bahawa baginda akan kembali membawa bantuan. Tetapi mengikut sumber Portugis juga, selepas pemergiannya itu baginda tidaklah kembali ke Melaka.



Dalboquerque menghasut orang asing 

Sebagai upaya untuk menjejaskan perpaduan penduduk Melaka, Afonso Dalboquerque cuba sekali lagi memujuk orang asing di Melaka. Kali ini dia menghimbau kepada semua orang dagang supaya menyebelahi Portugis. Katanya tindakan membakar rumah-rumah dan gudang-gudang di bandar Melaka bukanlah bertujuan untuk merosakkan perdagangan orang asing. Dia menyatakan bahawa Portugis tidak akan mengganggu mereka kerana peperangan Portugis hanyalah dengan Raja Melaka dan orang Melayu. Jika mereka ingin meninggalkan Melaka mereka dibenarkan tetapi jika mereka ingin berada di bandar itu mereka pun tidak akan diapa-apakan.

Dengan himbauannya ini Afonso Dalboquerque berjaya mempengaruhi para pedagang asing itu. Sebelum berlakunya serangan Portugis itu sudah pun ada di antara pedagang-pedagang utama di Melaka datang mengadap Sultan Mahmud Syah dan meminta agar kerajaan berdamai sahaja dengan Portugis.  Jika wang yang diperlukan untuk mencapai keamanan, mereka menyatakan bahawa mereka pun sanggup memberikan sumbangan yang bererti.



Portugis memujuk Siam

Secara bijak dan lihai juga, Afonso Dalboquerque pun cuba menjalin hubungan dengan Raja Siam dengan menghantar Duarte Fernandes, seorang tukang jahit, sebagai utusan ke negeri Siam. Fernandes pergi dengan menumpang kapal orang Cina yang akan kembali ke negeri China setelah mereka dibantu oleh Dalboquerque. Tujuan Dalboquerque menghantar wakil ke Siam ialah kerana hendak memarakkan semula permusuhan Raja Siam terhadap Melaka. Melalui utusannya itu, Dlboquerque mengalu-alukan orang Siam untuk tinggal di Melaka.

(Bersambung)




___________________________
~ Prof. Emeritus Sejarah Ahmat Adam ~
Ahli Sejarah
_____________________________






Dapatkan buku Menangkis Fitnah Yang Terpalit Pada Bani Umayyah! Untuk keterangan lanjut sila KLIK DI SINI .



Comments