OLEH: Muhamad Hazim
Era pemerintahan Sultan Suleyman Kanuni (1520-1566) pada kurun ke-16 ini begitu gah dan cukup ramai yang mengenali baginda. Zaman baginda merupakan zaman kegemilangan buat Daulah Uthmaniyyah yang juga telah melahirkan ramai tokoh-tokoh luar biasa di dalam bidang sains dan kesenian di samping bidang-bidang lain.
Di antara mereka, terdapat seorang insan yang mempunyai multi-dimensi, personaliti yang pelbagai dan juga sangat menarik untuk ditekuni, iaitu Matrakçı Nasuh. Nama beliau telah begitu sinonim dalam bidang matematik, sejarah, geografi, topografi (ilmu pemetaan), kesateriaan, kaligrafi dan kejuruteraan bagi Uthmaniyyah. Penguasaan beliau dalam pelbagai ilmu ini dimanfaatkan sebaiknya untuk Daulah Uthmaniyyah.
Sebelum pergi lebih jauh, perlu difahami (untuk elakkan kekeliruan) bukan hanya satu sahaja ‘Nasuh’ yang wujud, bahkan juga ada yang lain seperti;
- Attarzade Nasuh Çelebi (Edirne) yang meninggal pada tahun 968/1533.
- Müderris Nasuh (Ankara) yang meninggal pada tahun 972/1564-65.
- Kethüda Nasuh (Ümera) meninggal pada tahun 971/1564.
Siapakah Matrakçı Nasuh?
Sewaktu era pemerintahan Sultan Selim I (1512-1520) pula, beliau telah menamakan dirinya sebagai sateria. Kehebatan beliau turut dinyatakan sendiri dalam surat pada tahun 1529, yang dikeluarkan oleh Sultan Suleyman, iaitu, baginda sendiri memuji beliau kerana telah menjadi pahlawan yang begitu mahir sehingga tidak dapat diatasi di seluruh kawasan Uthmaniyyah. Usaha dan pendidikan yang beliau peroleh digunakan sebaiknya, serta tidak merasa cukup dengan ilmu yang ada, beliau telah ke Mesir pada tahun 1520 iaitu di saat pemerintahan Gabenor Hayr Bey (1517-1522), bagi meneruskan pembelajaran beliau serta telah menyertai pertandingan pertempuran yang diadakan di sana. Dengan kelincahan serta kemahiran beliau yang luar biasa, kesemua pahlawan termasuk yang masyhur juga telah kalah ditangannya. Nasuh juga dikatakan memang sudah terbiasa bermain permainan perang ini di Mesir. Hayr Bey juga telah memujinya dengan mengatakan “Wira yang paling berani yang telah melenyapkan para musuh”.
Dalam bidang sejarah pula, beliau telah mula menterjemah kitab yang sangat masyhur, Tarikh At-Tabari yang asalnya di dalam Bahasa Arab ke Bahasa Turki, pada tahun 1520. Nasuh bukan sahaja menterjemah karya agung itu, bahkan juga, telah menulis sambungan bermula dari tahun akhir yang dinyatakan di dalam Tarikh At-Tabari, iaitu 302/915, kemudian disambung oleh beliau hingga ke tahun 958/1551. Hasil karya beliau ini telah diberi tajuk “Mecma’u’t-Tevarih” tetapi juga dipanggil sebagai “Tuhfetu’l-Muluk” pada salinan jilid yang pertama yang terdapat di Vienna.
Ketidakpastiaan tarikh terakhir sebenar yang ditulis, beserta wujud atau tidak jilid keempat bagi buku ini, adalah disebabkan, “This copy of the third volume covers up to the period of the establishment of Ottoman state. We do not have a possible 4th volume of the work which might have covered up to the time he (Nasuh) lived. However, there are some manuscripts covering the various periods of Ottoman history and possibly belonging to that volume.”
(Prof. Dr. Hüseyin Gazi Yurdaydin, Mantrakci Nasuh: The Famous Knight Scientist and Artist of the Period of Suleyman The Magnificient)
Jika diteliti, nama asal tokoh yang sedang dikaji ini ialah Nasuh, tetapi kenapa wujudnya nama ‘Matrakçı’ di hadapannya?
Nama panggilan ‘Matrakçı’ ini sebenarnya adalah disebabkan sebuah permainan berlandaskan konsep peperangan yang telah dicipta olehnya dan dinamakan sebagai Matrak. Sememangnya permainan ini dicipta adalah khusus untuk latihan perang dan alat yang digunakan adalah kayu yang dipanggil labut atau tongkat kayu (cudgel) atau pun rapier.
Tokoh yang sedang dibicarakan ini bukan sahaja mahir dalam teknik peperangan, tetapi juga berkhidmat di dalam bidang kejuruteraan yang dikhususkan pada aspek pengeluaran dan penghasilan senjata. Di samping itu, beliau juga telah menunjukkan bakat beliau sebagai pereka teknikal (technical builder) bagi mesin dengan membina dua kota berkubu yang bergerak menggunakan kertas keras bagi sambutan berkhatan buat putera-putera Sultan Suleyman; Mustafa, Mehmed dan Selim di At Meydani pada Jun 1529. Yang menariknya, beliau sekali lagi mendapat surat dari Sultan Suleyman yang bertarikh Jun 1529 sewaktu berakhirnya Jun 1529 sewaktu berakhirnya sambutan tersebut, yang beliau perlu diangkat sebagai ‘master’ dan pemimpin dalam perihal berkaitan ketenteraan dan kesaterian ini di bumi Uthmaniyyah.
Kejayaan beliau tidak terhenti sekadar itu sahaja, pada tahun 1529 juga, Nasuh telah berjaya menyiapkan karyanya yang mengandungi sebanyak 5 bahagian, Tuhfetu’l-Guzât, yang berkaitan dengan seni penggunaan serta membuat senjata. Beliau juga telah melukis sendiri gambar kedua-dua kota berkubu yang telah beliau bina di dalam karya ini. Seterusnya, terkandung juga di dalam karya tersebut tentang beberapa senjata perang serta dikongsikan ilmu olehnya berkaitan taktik ketenteraan dan kesateriaan.
Pada 1533, semakin terserlah ketokohan beliau dengan munculnya karya beliau yang kedua bagi bidang matematik, Umdetu’l-Hisab. Sebenarnya, tulisan kedua ini telah menjadi penambah baik serta revisi kepada karya pertama beliau bagi bidang ini. Karya ini telah dipecahkan kepada 2 bab. Tajuk yang pertama ialah ‘Kepelbagaian Fasal’ yang terdapat dalam 22 bahagian, manakala yang kedua ialah ‘Perihal Masalah’ yang diterangkan penyelesaian bagi 50 masalah.
Matrakçı Nasuh juga merupakan figura penting dalam lapangan geografi. Buku pertama yang sangat mustahak baginya dalam bidang ini ialah Beyan-ı Menazil-i Sefer-i Irakeyn-i Sultan Suleyman Han. Karya ini wujud dalam bentuk koleksi peta jalan darat yang memberikan maklumat berkaitan bandar-bandar dan juga laluan bagi kurun ke-16 di Anatolia, Iran Barat dan Iraq.
Menzil mengetengahkan peta bagi laluan darat manakala Kitab-ı Bahriye oleh Piri Reis pula mengumpulkan koleksi peta laut yang menunjukkan pulau, teluk dan pelabuhan di Mediterranean serta beberapa kawasan yang lain. Matrakçı telah membuat lukisan dokumentari berkaitan laluan yang telah dilalui askar-askar yang dimulakan dengan laluan Istanbul ke Tabriz, dari Tabriz ke Baghdad, dari Baghdad pula ke Tabriz-Derguzin dan terkahirnya dari Tabriz-Diyarbakir ke Aleppo dan ke Istanbul. Semua laluan ini telah dibahagikan kepada beberapa fasa oleh Nasuh agar lebih mudah dan teliti. Inilah salah ‘travelog’ yang seterusnya bagi Uthmaniyyah.Sebagai salah seorang ahli pentadbiran, Nasuh sering bersama dengan Sultan Suleyman dalam menyertai peperangan dan ekspedisi, serta mencatat peristiwa yang berlaku dan menggambarkan bandar-bandar dan pelabuhan yang ditawan oleh Uthmaniyyah dengan begitu teliti.
Beliau telah meninggal sewaktu memegang jawatan sebagai ketua pejabat kethüda-yi bargir (kethüdây-i istabl-i ‘âmire) pada April 1564. Walaupun begitu, tarikh kelahiran dan pemergian beliau masih dibincangkan dan dikaji serta tiada tarikh yang tepat berkenaan ini. Tetapi, jasa dan pengorbanan beliau akan sentiasa termaktub di dalam sejarah.
![]() |
| Permainan Matrak |
Matrak Moden
Rujukan:
- Mantrakci Nasuh: The Famous Knight Scientist and Artist of the Period of Suleyman The Magnificient, Prof. Dr. Hüseyin Gazi Yurdaydin.
- History of Mathematical Literature during the Ottoman Period, diedit oleh
Dr. Ekmeleddin Ihsanoglu.
- Osmanli Klasik Muhasebe Matematik Eserleri Üzerine Bir Degerlendirme, Prof. Dr. İhsan Fazlıoğlu.
___________________________
~ Muhamad Hazim ~
Lajnah Makalah Sejarah
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________


Comments
Post a Comment