Rekod & Sejarah : Hubungan Sultan Mansur Shah I dengan Portugis – 1787

OLEH: Izmal Karim

Rekod & Sejarah : Hubungan Sultan Mansur Shah I dengan Portugis – 1787

Deskripsi :

1733 Engku Tuan [Ku Tanang] Mansur [Tuan Dalam] yang merupakan putera ke enam Sultan Trengganu telah di masyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Kechil  berikutan kemangkatan Sultan Zainal Aibidin I. Ini kerana usianya yang masih terlalu muda , kekanda sulung sebapa Engku Tuan [Ku Tanang] Wangsa telah memangku dan memerintah Kesultanan Trengganu dari tahun 1733 sehingga 1741. 26 Feb 1741 baginda ditabalkan oleh Sultan Sulaiman Badr ul-'Alam Shah (Johore Lama) dengan gelaran Sultan Mansur Riayat Shah Zillu'llah fi al-'Alam Sultan Trengganu  Darussalam yang kedua di Kuala Trengganu.

1641 Belanda dan Kesultanan Johore Lama berjaya menewaskan Portugis di Melaka. 1786 Inggeris berjaya mendapatkan hak dari Sultan Kedah bertapak di Pulau Pinang melalui Kapitan Dewa Raja Francis Light.  Lewat kurun ke 17 dan awal kurun ke 18, berlaku persaingan yang kuat di kalangan pedagang - pedagang Eropah di Asia Tenggara dalam monopoli serta menguasai perdagangan lada hitam dan bijih timah.

1754 dilaporkan pedagang Belanda dari Dutch East Indian Company (VOC) di Melaka cuba ke Pelabuhan Kuala Trengganu namun perancangan ini terpaksa di batalkan berikutan musim tengkujuh melanda akibat dari tiupan angin monsun di pantai timur menyebabkan ombak besar dan berisiko kepada kapal –kapal dagang.

1787 Pedagang Portugis mula sampai ke Kuala Trengganu dan menjalinkan hubungan dengan Sultan Mansur bagi mendapatkan hak monopoli lada hitam dan bijih timah. Pada masa yang sama baginda maklum hubungan erat yang terjalin antara pedagang Portugis dengan kerajaan Siam semenjak pengguasaan mereka di Melaka. Sultan Mansur berjaya mendapatkan khidmat pedagang Portugis sebagai perantara ketika wakilnya mengadap Raja Rama I di Bangkok.

Namun tidak informasi lengkap apakah yang berlaku di antara Sultan Mansur Riayat Shah I Trengganu dengan pedagang Portugis selepas itu. Jika di perhatikan bagi tempoh masa 1750an – 1790an Pedagang-pedagang dari Perancis, Inggeris, Belanda serta Portugis sudah mula mensasarkan pelabuhan Kuala Trengganu sebagai destinasi penting di Tanah Melayu.

Berdasarkan kajian Barbara Watson Andaya (1976) di jangkakan masih terdapat rekod-rekod penting sama ada dalam bentuk laporan, log-log pelayaran,catitan peribadi pedagang ataupun utusan warkah di antara Sultan Trengganu dengan pedagang ataupun wakil Portugis yang tersimpan di Arkib Portugis samada di Lisbon, Macau ataupun Goa. Setakat ini belum ada pihak tempatan samada dari Malaysia ataupun Terengganu menjalankan kajian lanjut.



Rujukan :
1.An Examination of Sources Concerning the Reign of Sultan Mansur Syah of Terengganu (1741-1793), With Special Reference to the Tuhfat Al-Nafis. Barbara Watson Andaya. JMBRAS, Vol. 49, No. 2 (230) (1976), pp. 80-106.
2.Disertasi - Perubahan Bahasa Dalam Warkah Diraja Melayu: Suatu Kajian Mengenai Surat-Surat Kepada Gabenor Dalam Tahun 1786-1794 Dan 1886-1894.Noor Suraya Binti Adnan Sallehudin. Fakulti Bahasa Dan Linguistik. Universiti Malaya. Kuala Lumpur April 2008.
3.The Indian Saudagar Raja (The King's Merchant) In Traditional Malay Courts. Barbara Watson Andaya .JMBRAS, Vol. 51, No. 1 (233) (1978), pp. 12-35.
4.Trengganu. The Bendahara Dynasty Genealogy – Trengganu3 – Royalark Website.


___________________________
~ Izmal Karim ~
Sahabat PENA

Comments