OLEH: Muhamad Hazim
Seperti mana yang diketahui, kurun ke-16 merupakan era keemasan buat Kerajaan Uthmaniyah dan juga rakyatnya. Pada kurun tersebut juga telah berjaya dilahirkan saintis yang hebat-hebat yang jarang diketengahkan kepada penuntut ilmu di bidang sains apatah lagi masyarakat umum. Antara contoh utama bagi bidang sains yang telah diterokai serta dijalankan kajian-kajiannya ialah bidang matematik, astronomi serta geografi. Tetapi kebanyakan daripada kajian dalam bidang-bidang ini tidak diuji sepenuhnya daripada kaca mata sejarah saintifik, juga daripada pandang sisi sejarah saintifik Islam.
Mari kita menelusuri salah seorang saintis yang paling bernilai dan penting pada kurun ke-16, mungkin juga yang terulung untuk seluruh zaman pemerintahan Kerajaan Uthmaniyah, iaitu Takiyuddin ibn Maruf (1526-1585). Takiyudin dilahirkan di Damsyik, Syria. Beliau telah menelaah dan mempelajari agama dan sains, kemudiannya beliau mula bekerja sebagai pegawai kerajaan. Beliau juga bekerja sebagai profesor di universiti dan juga merupakan kadi (iaitu gabenor kawasan atau jajahan sesebuah bandar) untuk pelbagai bandar bagi Kerajaan Uthmaniyah.
Kepakaran beliau adalah pada bidang matematik, astronomi dan juga fizik atas keghairahan beliau dalam mendalami bidang-bidang tersebut. Tetapi, dengan kecerdikan beliau yang luar biasa, beliau telah menulis lebih dari 90 buah buku yang juga merangkumi bidang kejuruteraan, mekanik dan optik, selain bidang-bidang yang sememangnya beliau mahir. Bagaimana boleh wujudnya saintis sebegini hebat?
Sebelum kepulangan beliau ke Istanbul pada 1570, beliau sebenarnya telah pun menabur bakti dalam bidang astronomi dan Matematik di Mesir, Damsyik dan Palestin sebagai tenaga pengajar. Kemudian pada tahun 1571, beliau telah dilantik sebagai ketua ahli astronomi, menggantikan Mustafa b. Ali al-Muwaqqit. Seterusnya, Takiyuddin telah menulis dan menghasilkan teori-teori berkaitan pembuatan serta pembaik pulih bagi alat pemerhati, jam dan alat-alat automatik. Yang menariknya, beliaulah yang pertama menulis buku Uthmaniyyah berkaitan mesin automatik. Luar biasa bukan? Kita baru lihat inovasi mesin dan alatan automatik sekarang tetapi beliau sudah mengkaji 500 tahun dahulu.
![]() |
| Gambar Sextant |
-Sextant, alat mengukur ketinggian matahari.
-Jam Astronomi
Balai cerap ini juga bukan hanya untuk seorang bekerja tetapi terdiri daripada 16 orang staf- 8 pemerhati atau pengkaji, 4 kerani dan 4 pembantu. Balai cerap ini juga antara yang terbesar dalam sejarah Islam serta setanding dengan balai cerap Uranienborg milik Tycho Brahe (1546-1601) dari segi keluasan dan juga kecanggihan alat-alat yang terdapat dalam kedua-duanya. Kebanyakannya hampir sama tetapi tidak serupa bahkan sebahagian alatan dalam balai cerap Takiyuddin lebih besar dan tepat.
“Discover the force of the skies O Men: once recognised it can be put to use.”
― Johannes Kepler, Epitome of Copernican Astronomy and Harmonies of the World.
Dunia Islam tidak pernah ketinggalan dalam kemajuan bagi pengkajian selain aspek agama kerana mereka bangga dengan hasil mereka sendiri. Kesedaran pemimpin dalam bidang-bidang semisal ini sangat penting bahkan akan menyebabkan sesebuah negara atau tamadun itu membangun dengan pesat bukan sekadar ‘copy & paste’ dari tamadun lain tanpa kajian lanjut.Tiga zics (buku jadual astronomi/ books of astronomical tables) telah dihasilkan berdasarkan hasil pemerhatiannya, iaitu Sidre muntaha el-Efkar fi Melekut el-Felek el-Devvar, Teshil Zic el-A’shari el-ShehinShahi Sani Ashara fi Devlet el-Osmaniyye el-Muradiyye dan Ceride el-Durer ve Haride el-Fikr. Kajian ini juga digabungkan sekali dengan hasil kajian dan pemerhatiannya di Balai Cerap Istanbul. Hasil kajian beliau ini merupakan antara yang paling luar biasa dan sangat penting dari kaca mata sejarah saintifik Uthmaniyah. Ini telah membuktikan sehebat mana tahap keilmuan rakyat Uthmaniyah dalam bidang matematik dan astronomi sewaktu kurun ke-16. Astronomi yang bukan sahaja mahir terhadap bidangnya malahan juga mempunyai asas yang kukuh dalam kefahaman agama.
___________________________
~ Muhamad Hazim ~
Lajnah Sejarah Dan Tradisi
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________


Comments
Post a Comment