Pengertian Istilah Hindu Purba ‘dvīpa’ Dan ‘bhūmi’

OLEH: Abu Zabag

*Pengertian istilah Hindu purba ‘dvīpa’ dan ‘bhūmi’ yang sering disalah-mengertikan*

Sesetengah (atau kebanyakan?) orang memahami bahawa istilah ‘dvīpa’ merujuk kepada sebuah pulau, maka secara deduksi logik, pada anggapan mereka kontrasnya istilah ‘bhūmi’ merujuk kepada lokasi tanah besar (mainland). Justeru, pada pandangan mereka sebagai contoh, nama “Suvarṇadvīpa” mesti merujuk kepada sebuah pulau dan ini biasanya disamakan dengan pulau Sumatera sekarang. Manakala nama “Suvarṇabhūmi” mesti merujuk kepada sebuah kawasan geografi di tanah besar dan ini biasanya disamakan dengan lokasi geografi yang mengunjur dari Myammar sekarang hingga ke Semenanjung Tanah Melayu. Ini adalah satu pemahaman yang salah.

Satu lagi pemahaman salah yang ketara ialah dengan menganggap “Suvarṇadvīpa” dan “Suvarṇabhūmi” ada zon kawasan yang tetap yang sentiasa berbeza lokasi antara satu sama lain. Ia tidak boleh digeneralisasikan semudah itu. Ia harus dilihat dari konteks ke konteks. Misalnya dalam satu teks, lokasi “Suvarbabhūmi” itu dirujuk pada lokasi di Myammar, manakala dalam teks yang lain ia merujuk kepada lokasi lain. Begitu juga dengan lokasi “Suvarṇadvīpa”, dalam satu teks ia hanya dirujuk pada Semenanjung Tanah Melayu dan pulau Sumatera, manakala dalam teks yang lain ia merujuk kepada Kepulauan Melayu amnya. Dalam banyak kes, lokasi “Suvarṇadvīpa dan “Suvarṇabhūmi” itu bertindih antara satu sama lain. Ini memang agak kompleks.

Istilah ‘dvīpa’ sebenarnya bermaksud ‘tanah yang dikelilingi air (laut) di kedua-dua sisinya’. Maka, ‘dvīpa’ tidak semestinya merujuk kepada sebuah pulau. Ia juga merujuk kepada sebuah semenanjung, bahkan ia juga merujuk kepada sebuah benua termasuk sebuah gugusan kepulauan yang banyak. Manakala istilah ‘bhūmi’ secara umum bermaksud tanah atau sebuah wilayah. Maka, ia tidak boleh dihadkan kepada lokasi di tanah besar sahaja, namun ia juga boleh merujuk kepada satu wilayah di sebuah pulau.

Jika istilah ‘dvīpa’ diandaikan merujuk kepada sebuah pulau, maka nama-nama yang digunakan oleh orang Hindu purba seperti ‘Kaṭāhadvīpa’ (Kedah yang disebut dalam Purāṇa) atau ‘Jambudvīpa’ (sebuah benua dari tujuh benua yang disebut dalam Purāṇa) adalah sesuatu yang aneh. Manakala jika istilah ‘bhūmi’ diandaikan merujuk kepada sebuah kawasan geografi di tanah besar, maka nama ‘Suvarṇabhūmi’ yang dirujuk oleh sebuah inskripsi purba kepada sebuah wilayah di Sumatera adalah sesuatu yang aneh.

Justeru, kita tidak boleh semena-mena menyalahkan orang-orang purba, tanpa memahami dengan betul istilah ‘dvīpa’ dan ‘bhūmi’.


___________________________
~ Abu Zabag ~
Sahabat PENA

Comments