OLEH: Ahmad Dailami
Semenanjung tanah Italy (Italian peninsula) merupakan sebuah negara yang berbentuk seperti sepatu, bersambung dengan benua Perancis (France) dan terjulur keluar ke sebelah tenggara. Dari sebelah utaranya bermula jalur pergunungan Apennines, bergerak hingga ke selatannya, membahagikan Italy menjadi dua bahagian dan menyebabkan Italy terpecah menjadi dataran-dataran yang berbeza.Di sebelah barat jalur pergunungan Apennines, ada dataran Etruria, tempat di mana ketamadunan silam yang paling hebat dan gemilang di semenanjung tanah Italy, iaitu ketamadunan Etruscan, bermula. Di atas dataran ini terletaknya kota-kota yang didiami oleh bangsa Etruscan. Estruscan merupakan tamadun yang telah mendahului kewujudan Rome sebagai tamadun yang dominan di Itali semenjak sekitar 200 tahun sebelum Rom ditubuhkan. Dikatakan Rome sendiri amat dipengaruhi oleh kesenian dan kebudayaan Etruscan. Malah tiga orang raja terakhir yang memerintah Rome sewaktu era kerajaan Rome (Roman Kingdom) adalah dari bangsa Etrusan.
Jauh ke selatan Etruria, terdapat pula dataran Latium, tempat di mana terletaknya kota Rome dan segagasan kota-kota lain yang pada suatu masa membentuk satu perikatan yang disebut liga Latin. Konflik yang berlaku antara kota Rome dengan kota-kota lain yang berada dalam liga Latin inilah yang mewarnai perajalanan Rome sebagai kuasa Republik sebelum ia berjaya menawan seluruh tanah Itali, menjadi kuasa yang dominan di Mediterranean, berjaya menjadi empayar yang menyatukan majoriti Eropah di bawah pentadbirannya, di atas nama Senat dan Orang-orang Rome (Latin: Senatus Populusque Romanus, Eng: The Senate and the People of Rome).Di sebelah Selatan lagi ada dataran Campania. Campania dikira telah termasuk dalam had kawasan selatan Itali yang disebut Magna Graecia (Eng: Great Greece, My: Greece Besar). Kawasan ini diduduki oleh orang-orang Greek yang bermigrasi ke Italy sewaktu berlakunya migrasi besar-besaran akibat daripada bencana alam dan faktor perdagangan [1].
Adapun di sebelah Timur jalur pergunungan Apennines, terdapat kawasan yang disebut Umbria, tempat tinggalnya orang-orang Umbri, satu suku kaum dari kalangan penduduk jati tanah Italy. Orang-orang Umbri ini bermusuhan dengan bangsa Etruscan dan setelah Rome berjaya menakluki dataran Etruria dan menghapuskan pengaruh Etruscan, mereka membantu pula orang-orang Samnite untuk menentang Rome.
Kemudian ada Samnium, tempat di mana orang-orang Samnite, yang juga terlibat dengan tiga siri konfrontasi ketenteraan yang bersejarah dengan Republik Rome yang disebut Samnites Wars, iaitu Perang Samnite Pertama (The First Samnite War, 343-341 BCE), Kedua (The Second Samnite War, 326-304 BCE) dan Ketiga (The Third Samnite War, 298-290 BCE).
___________________
[1]. Hal ini akan dibincangkan dalam topik Sejarah Ketamadunan Greek, yang juga akan saya cuba sediakan di masa akan datang Insya-Allah. Ini kerana ketamadunan Greek silam mempunyai kaitan yang cukup penting dan rapat dengan ketamadunan Rome. Orang-orang Rome dikatakan amat menyanjungi falsafah, pemikiran, hasil seni dan kebudayaan Greek. Mereka memeliharanya dengan tekun dan menerapkannya ke dalam ketamadunan mereka.
___________________________
~ Ahmad Dailami ~
Lajnah Sejarah Dan Tradisi
Telegram: https://t.me/rmb_slf
Twitter: https://www.twitter.com/rmb_slf
Instagram: https://www.instagram.com/rmb_slf
Web Site: 🖥 http://revolusimelayubaru.blogspot.com
_____________________________

Comments
Post a Comment