Pendirian Syeikh Muhammad Bin Abdul Wahab Dalam Persoalan Menentang Daulah Al-Khalifah Uthmaniyyah

OLEH: Halim Abdurrahman



Pendirian al-Syeikh al-Imam Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab Dalam Persoalan Menentang Daulah Al-Khalifah

Menerusi perutusan beliau kepada penduduk Qasim, al-Syeikh al-Imam menjelaskan seperti berikut:

Aku meyakini kewajipan mendengar serta mentaati para pemimpin kaum muslimin. Ia sama ada di kalangan pemimpin yang salih mahu pun yang buruk akhlaknya. Ini selagi mana mereka tidak memerintahkan perkara kemaksiatan terhadap Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Ketaatan ini ditujukan terhadap sesiapa sahaja yang dilantik sebagai khalifah yang dipersetujui lantikannya oleh orang ramai yang meredhai kepimpinannya. Ini walaupun dia memperolehi kekuasaan khalifah melalui paksaan, menjadi suatu kewajipan mentaatinya dan dilarang melakukan penentangan terhadapnya.

[ Majmu’ah Muallafat al-Syeikh, Jil. 5, hlm. 11. ]


Al-Syeikh al-Imam menambah:

Usul ketiga: Antara perkara yang menyebabkan sempurna kehidupan ialah mendengar serta mentaati sesiapa yang memimpin kita walau pun dia seorang hamba berkulit hitam. Allah Subhanahu Wa Ta’ala menyatakan perkara ini meneruskan penjelasan yang diketahui umum serta mencukupi… Namun ia mula dilupakan kebanyakan yang mendakwa dirinya berilmu. Maka bagaimana ianya dapat dipraktikkan?

[Majmu’ah Muallafat al-Syeikh, Jil. 1, hlm. 394.]



Jawapan Para Pemimpin Dakwah al-Salafiyyah



Jawapan para pemimpin merangkumi tiga persoalan

berikut:

1. Negeri Najd tidak pernah terletak di bawah

pemerintahan kerajaan Uthmaniyyah.

2. Al-Syeikh al-Imam tidak menentang kerajaan Turki

Uthmaniyyah.

3. Golongan yang menentang Inggeris digelarkan

sebagai Wahabi.


1.      Negeri Najd Tidak Pernah Terletak Di Bawah Pemerintahan Kerajaan Uthmaniyyah

 Pertama: Dr Salih ‘Abud.



Beliau mengulas isu ini seperti berikut:

Tiada bukti menunjukkan bahawa negeri Najd pernah tertakluk di bawah penguasaan atau autoriti kerajaan Uthmaniyyah. Selain itu tidak pernah wujud mahu pun sebuah batalion atau markaz ketenteraan kerajaan Uthmaniyyah di sana. Ini sebelum lahirnya pergerakan dakwah al-Syeikh al-Imam. Sebaliknya menerusi fakta kukuh berdasarkan kepada dokumen kerajaan Turki Uthmaniyyah yang direkodkan oleh Yamen Ali Effendi (1018H/1609M) bertajuk “Qawaniyyin Aali Uthman Mudomin Daftar al- Diwan” ternyata kerajaan Uthmaniyyah terbahagi kepada 32 buah negeri atau wilayah. 14 daripadanya merupakan negeri-negeri tanah Arab. Namun negeri Najd tidak termasuk di dalamnya.

[Aqidah al-Syeikh Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab wa Atharuha fi al-‘Alam al-Islami, tidak dicetak, Jil. 1, hlm. 27.]



Kedua: Dr. ‘Abd. Allah al-Uthaymin.



Beliau mengulas seperti berikut: Negeri Najd tidak pernah berada di bawah penguasaan kerajaan Uthmaniyyah sebelum lahirnya pergerakan dakwah al-Syeikh al-Imam. Selain itu, ia juga tidak pernah disatukan di bawah satu pemerintahan yang kuat dalam jangka masa yang lama. Ini sama ada ketika sebahagian dari wilayahnya berada di bawah penguasaan Bani Jabr atau pun Bani Khalid. Ia disebabkan suasana peperangan yang silih berganti antara wilayah mahu pun kabilah negeri Najd yang terdiri dari pelbagai jenis puak sehingga agak sukar untuk disatukan keseluruhannya.

[Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab Hayatuhu wa Fikruhu, hlm. 11.]



Ketiga: Dr. ‘Ajil al-Nasymi.



Beliau mengulas:

Negeri Najd serta kawasan sekitarnya tidak membawa apa-apa kepentingan serta keuntungan material kepada kerajaan Uthmaniyyah. Walau pun buminya luas, para pemimpinnya bercakaran antara satu sama lain manakala dari sudut lain berlaku perkelahian silih berganti antara pelbagai puak dengan golongan Badwi.

[Majalah al-Mujtami’, bilangan 509, 32 Safar, 1401H. Apa yang menarik, antara bukti menunjukkan bahawa al-Syeikh al-Imam tidak sama sekali menentang daulah al-Khilafah bahkan seruan dakwahnya tidak tidak ada hubungkait untuk mendirikan daulah al-Khilafah ialah risalah perutusannya kepada Ali Mazid, seorang penguasa di wilayah Syam, di mana al-Syeikh al-Imam berkata:

Hakikatnya, apa yang mereka ingkari ke atasku, membenci ke atasku, memusuhiku disebabkan apabila mereka bertanya kepada keseluruhan para ilmuwan Syam atau Yaman atau selainnya nescaya mereka akan menjawab bahawa apa yang dibawanya (merujuk al-Syeikh al-Imam) adalah kebenaran, merupakan agama Allah serta Rasul-Nya. Namun setiap dari kalangan mereka akan mengatakan bahawa daku tidak berupaya untuk menzahirkannya ditempatku disebabkan kerajaan]


2.      Al-Syeikh al-Imam Tidak Menentang Kerajaan Turki Uthmaniyyah.

Pertama: al-Syeikh ‘Abd. al-‘Aziz bin ‘Abd. Allah Ibn Baz.



Ketika menjawab kekeliruan ini, beliau berkata seperti berikut:

Sepanjang pemerhatian serta keyakinanku, al- Syeikh al-Imam tidak sekali-kali menentang kerajaan Turki Uthmaniyyah. Ini terbukti di mana negeri Najd tidak pernah terletak di bawah kepimpinan atau kekuasaan kerajaan Turki. Sebaliknya negeri Najd dikuasai pelbagai wilayah pemerintahan sendiri yang kedudukannya berselerakan di sana sini. Setiap wilayah mahupun daerah walau sekecil mana sekali pun diperintah secara bebas oleh seorang ketua. Selain itu wujud pertelingkahan serta peperangan antara satu wilayah dengan wilayah lainnya.

Dalam konteks ini, al-Syeikh al-Imam tidak menentang daulah al-Khilafah, namun yang ditentanginya adalah kerosakan yang berlaku di negerinya. Dengan kesungguhan beliau berusaha dengan penuh kesabaran sehingga tersebar cahaya dakwah al-Salafiyyah ini sehingga melampaui sempadan negerinya.

[Kenyataan beliau ini diambil ketika seminar Tajdid al-Fikr al- Islami yang diadakan di Universiti Imam Muhammad Sa‘ud pada tahun 1402H.]


Kedua: Al-Syeikh Muhammad Nasib al-Rifa’i.



Ketika menjawab dakwaan kononnya pergerakan dakwah al-Salafiyyah merupakan gerakan revolusi yang bermatlamat menumbangkan kerajaan Turki Uthmaniyyah, beliau mengulas:


Tidak pernah terlintas sama sekali di hati sanubari al-Syeikh al-Imam untuk menjatuhkan seorang khalifah Islam. Sebaliknya para individu yang melingkungi khalifah di kalangan golongan tarikat kesufian telah menyelewengkan perkara sebenar supaya khalifah mengambil tindakan memerangi golongan Wahabi. Ini dilakukan dengan andaian seolah-olah pergerakan Wahabi merupakan satu gerakan bagi menjatuhkan khalifah, atau satu gerakan untuk mewujudkan kembali khalifah Arab. Namun pegangan al-Syeikh al-Imam merupakan keyakinan Islam sejati yang mentaati khalifah selagi mana dia tidak melakukan perbuatan kufur yang jelas. Dalam konteks ini, al-Syeikh al-Imam tidak pula melihat sesuatu yang memungkinkan beliau untuk mengambil tindakan sehingga menjatuhkan khalifah. Bahkan walaupun khalifah melakukan sesuatu perbuatan fasik, selagi mana ia tidak melakukan kefasikan yang sampai kepada kategori kufur yang jelas, maka tidak diharuskan untuk menguling mahu pun menentang pemerintahannya. Peraturan syara’ tidak setuju dalam urusan melawan penguasa kecuali dalam perkara yang melibatkan kekufuran yang jelas.

[al-Syubhat allati Athirat Hawla Da’wah Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab (disertakan tujuh perbahasan al-Syeikh, namun tidak dicetak), hlm. 9-10.]


Ketiga: Dr. ‘Ajil al-Nasymi.

Beliau menegaskan:

Kami dengan pasti menyatakan bahawa dalam hasil penulisan al-Syeikh al-Imam, tidak ada ketetapan yang secara jelas mengarahkan penentangan kepada daulah al-Khilafah.

Beliau menambah:

Kami tidak menjumpai apa-apa ketetapan (fatwa) al-Syeikh al-Imam yang mengkafirkan kerajaan Turki Uthmaniyyah. Secara reliti keseluruhan ketetapan (fatwa) yang dikeluarkannya hanya memberi perhatian kepada golongan Badwi yang berada di kawasan sekitarnya, atau kepada mana-mana individu yang perbuatannya jelas membawa kepada kekufuran.

[Majalah al-Mujtama’, bilangan 506, 17 Muharam, 1401H.]


Menurut Dr. ‘Ajil al-Nasymi lagi, sikap yang ditunjukkan al-Syeikh al-Imam terhadap kerajaan Turki Uthmaniyyah adalah sikap menasihati urusan secara baik serta mengingkari perkara yang bertentangan dengan peraturan syara’ tanpa mengangkat senjata. Ini jelas dilihat menerusi sikap beliau terhadap syarif-syarif (ketua) yang menguasai negeri Hijaz di atas nama kerajaan Uthmaniyyah. Di sini Dr. ‘Ajil al-Nasymi turut menyebutkan beberapa peristiwa sejarah yang berlaku di zaman al- Syeikh al-Imam. Ia bagi menunjukkan sikap beliau menghormati serta menyatakan simpati terhadap kerajaan Turki Uthmaniyyah.

[Majalah al-Mujtama’, bilangan 509, 23 Safar, 1401H dan bilangan 510, 30 Safar, 1401H.]

Dr. ‘Ajil al-Nasymi mengulas:

Sikap politik al-Syeikh al-Imam terhadap negeri Hijaz bukanlah menentang, memusuhi mahupun seruan memeranginya. Ini disebabkan persepsi perbuatan tersebut boleh disalah tafsirkan sebagai menentang daulah al-Khilafah. Ini walau pun di saat kerajaan Uthmaniyyah mengadakan pelbagai bentuk provokasi terhadapnya, namun beliau tetap menghadapinya dengan penuh kesabaran.

[Majalah al-Mujtama’, bilangan 510, 30 Safar, 1401H.]


Keempat: Sulayman bin Khalil al-‘Anzi.

Bagi memperjelaskan lagi perkara ini, seorang sejarawan Turki bernama Sulayman bin Khalil al-‘Anzi mengulas seperti berikut:

Para perwakilan yang tiba di Istanbul menerusi perutusan Syarif Mekah melaporkan kewujudan seorang mulhid (ateis) bernama Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab yang muncul dari arah Timur. Dia konon melakukan pemberontakan di sana sini serta secara tipu muslihat mengadakan paksaan terhadap penduduk wilayah Timur supaya patuh kepada dirinya.

[Dipetik dari al-Wahabiyyun al-Awa’il, yang ditulis Ghubad al- Bari ‘Abd. al-Baqi, hlm. 5.]

Kelima: Mahmud Mahdi al-Istanbuli.

Adapun terhadap dakwaan al-Zalum yang mengatakan bahawa pergerakan dakwah al-Syeikh al-
Imam merupakan salah satu penyebab kepada kejatuhan al-Khilafah serta kononnya kerajaan Inggeris turut memberi bantuan kepada golongan Wahabi bagi menjatuhkan kerajaan Turki Uthmaniyyah, maka Mahmud Mahdi al-Istanabuli menjawab kekeliruan ini seperti berikut:

Semestinya penulis yang menyatakan demikian membawa bukti-bukti terhadap kenyataannya.

Sehubungan ini seorang penyair pernah berkata:



Sekiranya dakwaan tidak disertakan bukti-bukti Maka ia sesuatu yang diterbangkan angin Berdasarkan fakta sejarah, terbukti pihak Inggeris memusuhi pergerakan dakwah al-Salafiyyah sejak kemunculannya disebabkan takut ia akan tersebar di seluruh dunia Islam.

[al-Syeikh Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab fi Mar’ah Ulama’ al- Syarq wa al-Gharb, hlm. 62.]

ِِAl-Istanbuli menambah:

Sesuatu yang ganjil sehingga diketawakan orang adalah tuduhan Ustaz Zalul bahawa pergerakan dakwah al-Syeikh al-Imam merupakan salah satu penyebab kejatuhan kerajaan Turki Uthmaniyyah. Diketahui umum pergerakan ini muncul sekitar 1811 masihi, manakala Kerajaan Turki Uthmaniyyah jatuh sekitar 1922M.

[al-Syeikh Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab fi Mar’ah Ulama’ al- Syarq wa al-Gharb, hlm. 64.]


3. Golongan Yang Menentang Inggeris Digelarkan Sebagai Wahabi.


Antara bukti menunjukkan pihak Inggeris memusuhi pergerakan Wahabi ialah mereka mengutuskan Kapten Foster Sadler bagi mengucapkan tahniah kepada Ibrahim Basha di atas kejayaan beliau menentang pergerakan Wahabi. Ini merujuk kejayaannya menawan daerah al-Dari’iyyah. Secara realiti, peristiwa ini menunjukkan berlakunya kerjasama kukuh antara Ibrahim Basha dengan kerajaan Britain bagi menumpaskan pergerakan golongan Wahabi di Teluk Arab.


[al-Kabitan Furster Sadler, Rihlah ‘Abr al-Jazirah al-‘Arabiyah Khilal ‘Am 1819M. Ia diterjemah ke dalam bahasa arab oleh Anas Rifa’iserta dicetak dengan bantuan Sa’ud al-‘Ajmi, cetakan kedua, al-Safah, Kuwait, 1403H, hlm. 7. al-Syeikh Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab fi Mar’ah Ulama’ al Syarq wa al-Gharb, hlm. 156-157.]



Mawlana al-Syeikh Muhammad bin Manzur al- Nu’mani, seorang tokoh ulama’ India mengulas seperti berikut:



Pihak Inggeris mengeksploitasi isu al-Syeikh al- Imam Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab di negara India. Mereka mengelarkan setiap individu yang melakukan penentangan terhadap Inggeris dengan gelaran Wahabi. Dalam konteks ini pihak Inggeris turut mengelarkan para ulama’ Deobandi dengan gelaran al-Wahabiyyin disebabkan penentangan kuat mereka terhadap empayar Britain.

[Di’ayat Mukhatafah Didd al-Syeikh Muhammad bin ‘Abd. al- Wahhab, hlm. 105-106, secara ringkas. Sehubungan ini Paderi Zwemmer mengatakan bahawa golongan Wahabi di negara India tidak mengisytiharkan kepada umum pemikiran mereka. Ini memberi suatu dorongan kepada mereka untuk melakukan penentangan kuat terhadap kerajaan Inggeris yang menjajah India. Sila lihat Majalah al-Muqattaf, hlm. 295.]





Sumber:


[Abdul Aziz bin Muhammad bin Ali al-Abd. Al-Lathif, Membersihkan Salah Faham Terhadap Dakwah Syaikh Muhammad bin Abdul Wahab m/s 395-406, Terbitan Perniagaan Jahabersa 2009]


___________________________
~ Halim Abdurrahman ~
Sahabat PENA

Comments