OLEH: Abu Amru Radzi Othman
Sebelum ini kita menyangkakan bahawa Syeikb Abdul Ghaffar adalah orang pertama yang membawa masuk kamera ke Semenanjung Arab. Namun yang lebih awal adalah Muhammad Sadiq Bey (1832 - 1902), juruukur tanah dan jurutera Tentera Mesir diandaikan sebagai insan pertama yang mengambil gambar foto Haramain pada kurun ke 19M.
Dia menuju ke Tanah Arab beberapa kali dan untuk kali pertama adalah pada 1861 bersama kamera 'wet-plate collodion'. Pada tahun 1880, sekali lagi Muhammad Sadiq datang ke Hijaz lalu mengambil gambar banguna-bangunan di Haramain termasuklah gambar panorama Masjid Al Haram. Pada 1881, dia menerbitkan Mash‘al Al Mahmal. Kemudiannya pada 1896 dia meluncurkan buku Dalil Al Hajj. Kedua-dua buku ini memuatkan gambar-gambar miliknya
Jika Muhammad Sadiq Bey telah membawa kamera pada 1861, manakala Christiaan Snouck Hurgronje membawa kamera ke Jeddah pada 1884. Dia mengambil gambar jamaah haji dari Jawa, Sumatera dan lain-lain jajahan Syarikat Hindia Timur Belanda.
Keinginan dia untuk masuk ke Makkah membuak-buak namun dia terhalang lantaran dia bukan seorang Muslim. Hanya umat Islam sahaja yang diberi kebenaran untuk masuk ke Tanah Haram.
Pada akhir 1884 atau di awal 1885 dia mengistiharkan masuk Islam di hadapan Qadi Isma'il Agha. Lalu pada 16 Januari 1885, dia berkhitan lantas berujar "Christiaan Snouck Hurgronje tak ada lagi". Yang ada kini adalah "Abd Al Ghaffar Al Laydini".
Tidak lama kemudian dia memasuki Kota Makkah dengan menumpang karavan sahabatnya, Raden Aboe Bakar Djajadiningrat seorang Sunda yang menetap di Makkah. Di sinilah dia bertemu dengan Syeikh Ahmad Zaini Dahlan lalu berguru kepadanya.
Snouck Hurgronje menerbitkan buku The Bilder Atlas-zu Mekka pada tahun 1888 dan Bilder aus Mekka pada 1889. Dalam bukunya pertamanya terdapat sekitar 75 gambar termasuklah gambar-gambar penduduk Makkah dan Jeddah, Othman Pasha yang merupakan Gabenor Uthmaniyyah di Hijaz , keluarga- keluarga penting di Makkah termasuk anak-anak penjaga tempat suci, Bani Shayba, dan jamaah-jamaah haji dari seluruh dunia Islam.
Catatan:
(1)
Syeikul Islam Muhammad Abdul Wahhab meninggal dunia pada tahun 1792, sekitar 70 tahun sebelum masuknya kamera ke tanah Arab.
Kamera dengan imej kekal hanya dihasilkan pertaka kali pada 1825 oleh Nicéphore Niépce. Bermakna Syeikh wafat sekitar 33 tahun awal sebelum imej dapat dirakam secara kekal.
(2) Gambar-gambar yang disertakan adalah diambil oleh Muhammad Sadiq Bey.
___________________________
~Abu Amru Radzi Othman~
Lajnah Sejarah Dan Tradisi
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________





Comments
Post a Comment