Suria, Pertiwi Dan Bumi

OLEH: Abu Amru Radzi Othman




SURIA, PERTIWI DAN BUMI

Sebuah ingatan perlu ditancapkan terlebih dahulu: lemparkan logika yang kalian miliki saat membaca segala kisah dalam mitologi Hindu lantaran umat Islam memang tidak akan dapat memahami. Sungguh kita tidak akan mampu memikirkan segala cerita tentang alam metafizik dalam agama Hindu-Buddha.

Selepas membuang nalar itu maka bacalah kisah-kisah tersebut sekadar untuk mengetahuinya sebab ada terkait dengan budaya Melayu kerana leluhur kita sempat menganut agama Hindu-Buddha ini untuk beberapa kurun lamanya. Pengetahuan yang baru itu akan berguna untuk menyikapi hidup yang sedang kita jalani ini - hidup seorang Muslim.

Sesungguhnya sedikit sebanyak agama dan bahasa dari wilayah Indus telah menyerap dalam budaya kita sesudah bangsa kita berislam. Mungkin terbawa dari dahulu tanpa sempat di'tasfiyah'kan (dibersihkan). Justeru inilah persoalan yang perlu dirungkaikan oleh cerdik pandai kita alias para ulama umat.

Tulisan ini hanya akan membicarakan tentang tiga kata: suria, pertiwi dan bumi.


[Kata Pertama]

Kata suria yang kita ketahui selama ini adalah merujuk kepada bola matahari. Namun kata suria juga mempunyai makna lain termasuklah menunjuk kepada sosok Dewa Matahari itu sendiri. Inilah yang diyakini oleh sebahagian dari penganut agama Hindu dari zaman dahulu sehingga hari ini. Termasuklah kaum Nusantara yang masih kekal dengan agama ini di Pulau Bali. Mereka lebih selesa dipanggil Gama Bali atau lebih dikenali sebagai Mazhab Hindu Bali.

Adalah seringkali ditemukan kata dewa dewi dalam agama Hindu hingga kita tertanya-tanya apakah atau siapakah dewa dewi itu. Sebenarnya ia adalah berupa makhluk suci, makhluk supernatural, malaikat dan manifestasi Brahma (Tuhan Yang Esa).

Kembali kepada Dewa Suria dalam kebudayaan Indus; dia dianggap sebagai sumber kehidupan. Malah dalam beberapa pandangan, dia dianggap 'Dewa Tertinggi', duduk diatas sebuah kerusi atau kereta - dipanggil 'Aruna' - yang ditarik oleh 7 ekor kuda lalu mengelilingi angkasa setiap hari.

Dan Aruna itu bukan sekadar kerusi sebaliknya putera kepada Dewi Winata dan Bagawan Kashyapa. Aruna adalah putera cacat yang tidak sempurna kejadiannya. Manakala Dewa Suria pula adalah putera kepada Bagawan Kashyapa dengan pasangannya yang lain, Dewi Aditi. Sedangkan Kashyapa merupakan cucu kepada Brahma, Tuhan Tunggal. Kenyataan diatas menandakan Suria dan Aruna adalah adik beradik kandung atau terkadang dipanggil adik beradik sebapa. Mereka berdua adalah cicit kepada Tuhan Yang Tunggal.

Berbalik kepada pembuktian yang Suria adalah sang Dewa dan bukannya merujuk kepada bola Matahari, maka Gama Bali membawakan hujah dari kitab Veda tentang hal ini, malah membuktikan betapa Suria merupakan Dewa Tertinggi:

"lihatlah menjulang tinggi di angkasa, cahaya yang terang benderang mengatasi kegelapan telah datang, ia adalah Dewa Suria, Dewa dari seluruh Dewata, cahayanya yang terang itu betapa indahnya" (Sloka Reg Veda 1.50.10)



[Kata Kedua Dan Ketiga]

Jika kata 'suria' mempunyai banyak makna sehingga salah satunya merujuk kepada Dewa Matahari yang berada di angkasa manakala kata 'bumi' dan 'pertiwi' juga begitu iaitu punya banyak makna, yang salah satunya merujuk kepada Dewi Bumi (Bhumi) alias Dewi Pertiwi (Prithvi).

Dewi Bhumi ini adalah isteri kepada Dewa Varaha yang merupakan jelmaan ketiga Dewa Vishnu dan dia (iaitu Dewi Bumi) memiliki berapa nama selain Pertiwi, seperti Bhudevi, Bhuma Devi, Dhitram Dharti, Dharti dan Dhrithri. Semua nama ini merujuk kepada "yang memegang segalanya".

Nampaknya dalam Mitologi Hindu, para dewa dewi itu memiliki pasangannya (berkahwin), malah kadangkala memiliki isteri yang ramai. Mereka juga mendapat anak dan punya zuriat keturunan. Konsep ini turut ditemukan dalam agama ardhi (kebalikan dari agama samawi) yang lain terutama dalam agama Yunani-Romawi.


[Bahasa Serapan]

Sesungguhnya bahasa Sanskrit itu seperti Bahasa Arab yang lazimnya sebuah kata memiliki banyak makna. Bukan sekadar 3 atau 4 makna malah ada kata yang memiliki maksud yang lebih dari 10 pengertian.

Sangat jelas bahawa kata 'suria' (surya), 'pertiwi' (prithvi) dan 'bumi' (bhumi) itu diceduk dari kebudayaan Indus alias Bahasa Sanskrit. Kata ini tetap dipakai walaupun Islam menjadi agama umat Melayu, cumanya maksud kata-kata tersebut hanya menjurus kepada perkara yang fizikal, yang dapat dilihat oleh mata kepala. Tidak lagi terkait dengan pengertian agama Hindu alias metafizik.

Kerana itulah Kamus Dewan memberi takrifan kata 'suria' adalah kata lain bagi matahari, 'pertiwi' sebagai tanah air sendiri. Manakala 'bumi' adalah dunia sebagai imbangan langit.

Hanya sahaja Kamus Besar Bahasa Indonesia masih memberi makna 'pertiwi' sebagai Dewi yang menguasai bumi disamping makna 'tanah tumpah darah'. Ini mungkin kerana masih tersisa agama Hindu pada suku Bali.

Sebagai tandaan, suku Bali itu bukanlah suku Melayu sebaliknya mereka memiliki kekerabatan dengan suku Jawa. Pendek kata Bahasa Indonesia itu menyerap lebih banyak kata berbanding Bahasa Malaysia, sehingga mereka mempunyai tambahan makna atau tambahan kata dalam perbendaharaan bahasa mereka.


[Persoalan]

Setelah kita mengetahui yang kata suria, pertiwi dan bumi itu pada zaman dahulu turut merujuk kepada nama para dewa dewi - lantaran kata-kata dalam bahasa Sanskrit itu bersifat multimakna - namun selepas kita berislam sejak dari zaman Samudera - Pasai sehingga zaman Melaka, ketiga-tiga kata ini telah diluruskan maknanya agar bersesuaian dengan agama kita. Sehingga umat Melayu pada umumnya tidak mengetahui kewujudan para dewa dewi ini.

Maka bagaimana hendaknya kita pada hari ini untuk mengambil tindakan?

Apakah meng'hazaf'kan ketiga-tiga kata ini dari pengucapan kita - ya, kita tidak dapat memaksa orang lain untuk berhenti menggunakan sesebuah kalimat tapi kita bisa untuk melaksanakannya atas diri sendiri.

Kerana ada seruan untuk melarang penyebutan kata ini sama ada kerana memang mereka fahami bahawa kata-kata tersebut hanya merujuk kepada dewa dewi Hindu, atau yang dikehendaki adalah langkah berjaga-jaga agar umat tidak tergelincir.

Atau kita tetap boleh memakainya lantaran makna yang terkandung dalamnya sudah bertukar. Ibarat kata syurga, neraka, pahala, dosa dan banyak lagi yang semua itu adalah dari bahasa Sanskrit yang makna asalnya berbeza dari pengertian hari ini.

Inilah persoalan yang ligat berputar dibenak sehingga kini.


___________________________
~Abu Amru Radzi Othman~
 Lajnah Sejarah Dan Tradisi 

Comments