Perkenalkan Sudut Sebenar Bosnia-Herzegovina

OLEH: Erkan Mesut

Penjelasan ini ditulis oleh seorang warga Malaysia yang sudah menetap di Bosnia-Herzegovina selama setahun dan telah pun melakukan banyak pengkajian tentang negara ini.


Adakah Bosnia masih berperang dan miskin?

Sebut sahaja Bosnia-Herzegovina, apa yang terlintas di fikiran kebanyakan warga Malaysia? Sudah tentu ‘peperangan’ dan 'kemiskinan'. Benar. Bahkan faktor peperangan ini jugalah merupakan titik pertemuan di antara bangsa Melayu dan bangsa Bosniak itu. Seperti yang anda semua sedia maklum bahawa tahun 90 an merupakan tahun malang bagi umat Islam Bosniak apabila mereka dihentam dan diserang oleh pihak musuh dari kalangan Serb dan Croat sehingga terjadi banyaknya peristiwa pembunuhan beramai-ramai seperti di Srebrenica, Prijedor dan perkampungan Ahmici.

Kemasukan ribuan tentera pengaman Malaysia sehingga terbunuhnya beberapa anggota petugas menunjukkan betapa seriusnya bantuan Malaysia ke atas Bosnia-Herzegovina. Selain bantuan ketenteraan, Malaysia juga telah pun membantu Bosnia dalam pelbagai aspek. Tidak perlulah saya menceritakan dengan lebih lanjut memandangkan kebanyakan dari anda semua sudah pun mengetahuinya.

Cumanya di sini saya ingin menjernihkan salah faham dan menjawab beberapa persoalan rakyat Malaysia yang sering bertanyakan kepada saya.


Adakah Bosnia-Herzegovina masih lagi berperang?

Tidak sama sekali. Peperangan telah pun tamat sepenuhnya selepas perjanjian Dayton ditandatangani pada tahun 1995. Semenjak itu, tidak ada lagi peperangan atau apa-apa konflik yang berlaku. Bahkan kini Bosnia-Herzegovina merupakan salah sebuah negara yang aman di Eropah.



Adakah Bosnia-Herzegovina merupakan sebuah negara yang miskin?

Benar. Bosnia-Herzegovina merupakan salah sebuah negara yang termiskin di Eropah. Akan tetapi, mereka tidak sebegitu miskin sekiranya dibandingkan dengan kemiskinan rakyat Malaysia sehingga ke tahap papa kedana. Kehidupan rakyat Bosnia-Herzegovina jauh lebih baik daripada kehidupan kebanyakan rakyat Malaysia. Maka bantuan atau sumbangan berupa wang ringgit sangat tidak digalakkan.

___________________________
 Erkan Mesut
Sahabat PENA

Comments