Ibrah : Kejatuhan Kesultanan Melayu Indonesia

OLEH: Taufiq Tuah


Kita mengenangkan peristiwa pahit Revolusi Sosial pada 1946 yang mana telah menghapuskan terus institusi diraja Melayu di Indonesia. Sepatutnya institusi diraja di Indonesia itu wujud sebagai pemerintah dan ketua adat dan agama. Namun hari ini, walaupun ada darah-darah waris kesultanan itu dikenal pasti, mereka tidak lah lagi menjadi pemerintah. Kerana semenjak awal tertubuhnya Republik Indonesia, Soekarno Hatta lah yang menjadi pemerintah.

Pada pasca awal kemerdekaan Indonesia, kuasa ketua agama (yang telah dihapuskan) seolah-olah telah diberikan oleh Soekarno Hatta kepada Majlis Persatuan-Persatuan Islam Indonesia (Masjumi). Majalah Soeloeh Merdeka pada 12 dan 13 Mac 1946 pernah mengeluarkan kenyataan,

"...Meskipun jawatan ketua agama dihapuskan, ulama menegaskan bahawa memandangkan Presiden Sukarno merupakan ketua negeri yang sah, kuasa keagamaan diletakkan padanya, dan memandangkan Sukarno telah menurunkan kuasanya kepada Masjumi tempatan, Sjihab kini berkuasa menyingkirkan kadi lama dan melantik yang baru..."

Hal ini menunjukkan kesultanan Melayu di Indonesia sememangnya telah tiada kuasa sama sekali. Kecuali adanya beberapa darah keturunan diraja yang menyertai dunia politik Indonesia sedarjat dengan rakyat biasa.

Perlu ditegaskan bahawa yang memiliki kuasa seluruhnya itu hanyalah Allah yang Maha Kuasa. Allah lah yang memilih seseorang itu naik atau seseorang itu jatuh. Dia menaikkan pemimpin yang adil dengan kehendak-Nya dan menaikkan pemimpin yang zalim juga dengan kehendak-Nya. Sehingga apabila Allah berkehendakkan pemimpin kita zalim, maka bersabarlah kerana itu ialah susunan daripada Allah.

Dunia politik kita ini mempunyai pelbagai cara dan kaedah. Cara Rasulullah Salallahualaihiwasalam ialah dengan Majlis Syura. Namun adanya muncul sistem-sistem lain seperti monarki (ketuanan pada darah), demokrasi (pilihan raya) dll. Apa sahaja kaedah yang muncul, kita akan tetap menyanjung Majlis Syura ajaran nabi walaupun kita tidak mampu menjalankannya pada hari ini di negara masing².

Kembali kepada keadaan selepas Revolusi Sosial, kita dapat melihat bahawa Allah berkehendak agar semua keturunan diraja Melayu di Indonesia itu agar diturunkan takhtanya. Sehari sebelum peristiwa itu, tiada siapa pun yang menyangka bahawa kesultanan Melayu Sumatera Timur akan tamat. Malah ada diantara sultan yang baru sahaja selesai mesyuarat dan berbincang tentang kedudukan mereka di dalam Republik Indonesia.

Namun apa yang berlaku ini tidak disangka kerana Allah berkehendak. Walaupun kita tidak bersetuju dan marah kepada sebahagian rakyat Sumatera Timur sendiri yang sanggup berbuat makar kepada sultan mereka. Malah mereka sebenarnya telah berbuat dosa dalam menzalimi pemerintah sendiri. Tetapi halnya telah berlaku dan kita perlu menerimanya dan mengambil pengajaran.

Ini sebenarnya menjadi bukti bahawa pakailah apa pun sistem politik, walaupun sistem itu tidak mengikut ajaran Islam tetapi jika Allah berkehendak untuk menaikkan dan menurunkan seseorang, Allah boleh lakukan dengan kuasa-Nya.

Adapun saya masih berasa berat hati untuk membiarkan kesultanan Melayu itu jatuh. Malah saya rasa semua pembaca juga agak 'sayang' dengan apa yang berlaku. Namun di sana ada hikmah yang yang kita juga tidak sangka. Jika Allah berkehendak untuk menaikkan kembali kesultanan Melayu di sana, maka Allah akan lakukan juga malah mungkin dengan cara yang juga tak disangka-sangka.

Ketika Allah menaikkan Sultan Abdul Aziz di dalam Bani Umayyah, tiada siapa pun yang sangka itu akan berlaku di dalam monarki. Malah kerabat baginda juga ada yang sangsi. Namun lihat lah Allah telah memilih sebaik-baik raja ketika itu

Sebagaimana Allah juga telah melantik Prabowo Subianto yang melawan Joko Widodo di dalam pemilu (pilihan raya) sebagai Menteri Pertahanan. Walaupun Prabowo telah kalah ditangan Jokowi, takdir telah memilih Prabowo sebagai salah seorang yang dihormati pada waktu lawannya (Jokowi) memerintah. Ini ialah perkara yang jarang berlaku di dalam negara republik tetapi telah berlaku di Indonesia dengan takdir dan kehendak Allah.

Di Malaysia juga dengan kehendak-Nya telah jatuh pemerintahan Pakatan Harapan dan telah naik Perikatan Nasional tanpa sebarang pilihan raya dan tanpa sebarang pertumpahan darah. Ini hal yang hampir saja mustahil di dalam demokrasi tetapi kehendak Allah itu telah melangkaui segalanya.

Kembali kepada pasca Revolusi Sosial, bahawa bukan kehendak kita namun itulah kehendak Allah. Persoalan lebih besar adalah jika kesultanan Melayu Indonesia belum tamat, maka apa yang akan berlaku dengan negeri² Melayu ini? Saya percaya pihak Republik Indonesia akan teruskan juga merayu dan meminta agar sultan-sultan ini turun. Kerana isu permintaan kesultanan di Sumatera Timur ketika itu ialah orang-orang Sumatera Timur terjaga. Maka hanya orang Sumatera Timur sahaja yang boleh menjadi pemerintah di Sumatera Timur. Namun pihak Republik Indonesia tidak bersetuju dengan syarat ini kerana telah bercanggah dengan prinsip 'Bangsa Indonesia' iaitu tiada lagi semangat kesukuan dan kenegerian.

Lambat laun, kesultanan Melayu di sana akan tetap didesak dan kita tidak tahu berapa lama lagi konflik politik ini akan berlarutan membuatkan Indonesia tidak boleh fokus dalam menyelesaikan masalah lain. Apatah lagi dengan adanya ancaman luar dan Indonesia tidak mempunyai tentera sekutu yang mampu menjaga keselamatan Indonesia sebagaimana tentera Australia membantu menjaga keselamatan Malaya selepas awal-awal waktu kemerdekaan. Tambahan pula ancaman komunis di dalam Indonesia juga yang masih wujud di waktu itu. (Malah komunis lah yang menjalankan Revolusi Sosial). Hikmahnya banyak dan kita tidak tahu melainkan Allah yang Maha Tahu.

Semoga semua keturunan waris kesultanan Melayu di Indonesia yang masih hidup di hari ini dapat memberikan manfaat kepada masyarakat. Semoga mereka semua diberikan umur panjang yang bermanfaat. Semoga juga Indonesia akan sentiasa aman makmur. Wallahualam

___________________________
Taufiq Tuah 

Comments