OLEH: A. Muziru Idham
Kalau kita bayangkan seorang Munshi Abdullah hidup pada abad ke-21, lalu menulis sesuatu seperti yang kita baca dalam hikayatnya itu di media sosial, agak-agak apakah respon netizen yang dia akan terima?
Saya rasa kita sendiri sudah dapat meneka-neka jawapannya. Sebab respon yang diterima oleh sesiapa saja yang cuba mengkritik bangsa sendiri ini telah lama diterima oleh Munshi Abdullah sekitar hampir 200 tahun yang lalu daripada masyarakatnya sendiri.
Dalam Hikayat Abdullah itu sendiri sudah dicatit olehnya bahawa masyarakatnya menganggapnya sebagai barua orang putih dan kerja-kerja intelektualnya dalam terjemahan dan tulisan sampai mendapat gelaran "Abdullah Paderi". Dia dikecam dan ditohmah tapi dalam masa sama masyarakatnya sendiri mengabaikan kepentingan ilmu, lebih-lebih lagi sangat sedikit yang menguasai Bahasa Melayu yang merupakan bahasa ilmu yang sangat penting pada kurun ke-19 itu.
Itu memang perangai bangsa mana-mana sekalipun yang lebih rela untuk berapologetik dan menyorok-nyorok kekurangan dan kelemahan mereka kerana merasakan bahawa semua itu hanyalah sekadar melemahkan bangsa. Kita dapat fahamlah kalau cara fikir begitu wujud dalam kalangan masyarakat kurun ke-19 yang mana Munshi Abdullah telah nukilkan betapa mundurnya masyarakat Melayu ketika itu dalam hal-hal keilmuan, tidak seperti mana kurun-kurun sebelumnya.
Jadi mereka tidak dapat menghargai bagaimana soal kritikan bangsa ini dapat memberi kebaikan kepada peningkatan nilai ilmu. Tetapi amat hairan sekali kerana cara fikir masyarakat kurun ke-19 ini masih wujud dalam kalangan masyarakat kurun ke-21 ketika segala-gala akses ilmu lebih mudah untuk didapati dan ramai orang yang terpelajar. Mengkritik bangsa itu dilihat sebagai menghina bangsa. Alangkah ganjil.
Ada beza antara menghina bangsa dan mengkritik bangsa; tapi bagi orang-orang yang terlalu nasionalis, kedua-duanya hampir tidak ada bezanya di sisi mereka. Kalau ada pun bezanya, mereka akan menetapkan pelbagai macam syarat dan kerenah supaya segala-galanya mesti kena dengan naratif yang mereka inginkan walaupun mereka sendiri pun tidak sedar bahawa mereka juga melakukan perkara yang sama (bahkan adakala lagi teruk!).
Selagi mereka tidak berpuas hati, selagi itu orang yang berbeza dengan mereka akan dibunuh karakternya dengan segala macam labelan yang negatif atau direndah-rendahkan dengan segala macam sindiran.
Saya tidaklah pula hendak bermuluk-muluk dengan Mushi Abdullah pula kerana ada juga sisi-sisi kurangnya beliau yang boleh dikritik, tetapi masalahnya imbangan antara kritikan terhadapnya dan perbincangan wacana-wacana kritiknya itu tidak seimbang. Ketidakseimbangan ini menyebabkan banyak perbincangan yang baik telah ditutup kerana satu pihak yang terlalu dominan dalam menerapkan naratifnya kepada masyarakat.
Setelah hampir 200 tahun beliau telah meninggal dunia, dan saya percaya sekian lama karya-karyanya hampir disampah-sampahkan oleh ramai sarjana dan mentohmah-tohmahnya, sekarang ini barulah muncul sedikit bibit-bibit untuk buah fikiran seorang Munshi Abdullah itu ditaakul semula, dikaji, dan diwacanakan secara akademik.
Setidak-tidaknya, orang mula nampak bahawa karya-karya Munshi Abdullah itu, terutamanya Hikayat Abdullah dan Kisah Pelayaran Abdullah itu terdiri sebagai sebuah karya travelog yang terhidang pemikiran yang tinggi berserta kritikan sosial yang tajam untuk renungan masyarakat kini. Setidak-tidaknya, orang mula membahaskan pemikirannya secara wajar.
Tidak kisahlah sama ada bersetuju atau tidak dengan apa yang ditulisnya, tetapi kesetujuan dan ketidaksetujuan itu dibahaskan dengan baik tanpa perlu lagi hendak melemparkan kejian dan makian yang terlalu kuno cara berfikir itu. Tapi, masih, semua itu adalah masih sangat sedikit sedangkan perjalanan sejarah kita hari ini bergerak dengan sangat cepat dan kita memerlukan suatu anjakan paradigma yang sangat luas jika hendak menginginkan suatu perubahan yang lebih baik.
Bayangkan, apa yang Munshi Abdullah impikan agar tulisannya itu dapat membetulkan generasi masa hadapan itu hanya mula mendapat perhatian setelah 200 tahun ia ditulis. Betapa perangai hendak merubah nasib bangsa itu bukanlah suatu usaha yang sekejap. Pertempuran wacana itu akan sentiasa wujud.
Di sebalik suatu kelompok mengambil sikap berani untuk membongkar sisi-sisi gelap bangsa, terdapat pula kelompok yang kebiasaannya lebih dominan dan lebih diterima masyarakat untuk merendam dan mendiamkan kesemua itu kerana hanya hendak tampilkan yang muluk-muluk saja dalam perihal sejarah dan kebudayaan bangsa ini.
Itu adalah suatu perkara yang biasa. Pertempuran wacana itu adalah sesuatu yang menyihatkan akal dan menyegarkan fakta. Tetapi ia menjadi luar biasa kalau pertempuran wacana itu sampai melibatkan usaha-usaha untuk membunuh karakter seseorang atau apa jua usaha agar lawan hujah dilihat buruk dalam mata masyarakat. Itu yang bahaya, tidak menyihatkan, keji, dan zalim.
Itulah yang telah berlaku terhadap sosok Munshi Abdullah yang ditohmah dan dikeji selama hampir 200 tahun kerana menyentuh sisi-sisi sensitif bangsa Melayu. Mereka tidak dapat terima perkara tersebut sekalipun kajian-kajian akademik luar banyak membuktikan peristiwa-peristiwa yang dicatatkan oleh Munshi Abdullah itu benar-benar berlaku.
Barangkali ada silap dan salah di sana sini sedikit sebanyak daripada tulisannya, tetapi tetap tidak dapat hendak mengatakan bahawa Munshi Abdullah itu menulis dongeng-dongengan seperti yang terdapat dalam kebanyakan hikayat Melayu yang lain.
Setiap orang punya jalur fikir yang berbeza. Seperti yang saya kata tadi, ada sepihak yang lebih berani untuk mendedahkan sisi-sisi gelap bangsa atas dasar kejujuran ilmu dan juga membetulkan nasib bangsa. Ada sepihak lagi lebih selesa memaparkan sisi-sisi manis bangsa dengan harapan bangsa dilihat sebagai kuat dan dominan dalam sejarah kebudayaan dunia.
Tetapi satu persoalan kita perlu utarakan: Sampai bila kita hendak bermuluk-muluk dengan sejarah kebudayaan kita sendiri ketika segala-gala perihal gelap yang terjadi pada hari ini hanyalah sekadar mengulang-ngulang apa yang telah berlaku ratusan tahun lampau dan dicatat kemas dalam hikayat-hikayat bangsa?
Ketika kita seringkali mencanang-canang bahawa perlunya untuk belajar sejarah agar kita tidak mengulangi sejarah lampau, tetapi kenapa ketika tiba pada sejarah kita sendiri, banyak perkara ingin kita diamkan? Bilakah kita dapat belajar daripada kekurangan dan kelemahan sejarah kita untuk membina suatu sejarah baharu kita sendiri yang lebih kuat dan matang?
Persoalan-persoalan sebegitulah yang wajar kita renungkan, dan kenapa perlu lebih ramai orang yang seberani Munshi Abdullah untuk meneliti semula apa-apa yang ada dalam khazanah peninggalan bangsa dan mempersoalkan semula segala-galanya secara kritis sebagai proses pembinaan sebuah ketamadunan baharu yang lebih kuat.
Kita tidak akan belajar apa-apa melainkan sekadar beromantisme sahaja dengan pencapaian nenek moyang kita dahulu lalu sejarah seperti telah menjadi candu untuk kita leka dan bersedap-sedapan dengan fakta-fakta yang menyeronokkan. Tetapi ketika kita sedap dan seronok dengan fakta-fakta muluk itu, tanpa sedar kita telah membiarkan para oportunis yang sedang bekerja di belakang untuk membuatkan kita terus khayal sebegitu supaya kita tidak sedar bahawa tamadun dahulu pernah jatuh asbab sikap kebudayaan yang sebegini.
Kalau boleh saya sebut sedikit tentang buah fikiran almarhum Syed Hussein Alatas daripada bukunya Rasuah: Sifat, Sebab Dan Fungsi sebelum saya tamatkan tulisan saya ini, sudi saya ingatkan bahawa Alatas telah menghuraikan dengan panjang lebar tentang perangai dan pembudayaan korupsi dalam tamadun Cina dan Rom sehingga menyebabkan kepada keruntuhannya sampai menyembah bumi. Dan budaya korupsi itu membumi daripada peringkat elit atasan sehingga turut menjadi budaya masyarakat lalu lama-kelamaan tamadun pun boleh musnah akibat daripadanya. Kalau Alatas tidak membicarakan perihal itu, sampai sekarang pun kita tidak akan sedar bahawa apa yang Alatas bicarakan tentang perihal korupsi dalam tamadun Cina dan Rom itu turut berlaku perkara yang sama jika kita kaji secara kritis dalam hikayat-hikayat Melayu.
Dan itulah yang Munshi Abdullah telah lakukan. Dia telah melakukan kerjanya dengan baik dan mencatatkan apa-apa yang dia rasakan penting untuk merubah nasib generasi masa hadapannya. Apa yang ditulisnya itu adalah khazanah untuk kita, yang melorongkan pula kita kepada pembacaan kritis terhadap hikayat-hikayat sebelumnya seperti Sulalatus Salatin, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Raja-Raja Pasai, Hikayat Merong Mawangsa, dan sebagainya. Jadi, apa peranan kita pula?
Apakah kita pada hari ini masih lagi hendak bermuluk-muluk dengan sejarah kebudayaan kita lalu bersikap tidak jujur dengan ilmu, sedangkan segala korupsi yang sedang berlaku hari ini hanyalah sekadar pengulangan sejarah yang telah lama nenek moyang kita catatkan dalam hikayat-hikayat bangsa?
[Legasi Pemikir - LEKIR]

Comments
Post a Comment