Sejarah Kerajaan Syiah Fatimiyah

OLEH: Saufy Jauhary

Khomeini dan Khameinei dianggap penerus daulah Syiah Fatimiyah era moden

1. Gerakan Golongan Syiah

          Kerajaan Fatimiyah lahir di waktu  Kerajaan Abbasiyah menempuh zaman kegelapannya. Nama Fatimiyah diambil bersempena dengan nama Fatimah puteri Rasulullah dan isteri kepada Sayyidina Ali bin Abu Talib, Khalifah ar-Rasyidin yang keempat. Kerajaan ini dibangunkan oleh Ubaidullah Al-Syi'i untuk menegakkan kedaulatan generasi Ali yang lebih terkenal dengan nama golongan Syiah. Mereka ini berkeyakinan bahawa jawatan khalifah hanya untuk keturunan Ali sahaja. Khalifah ar-Rasyidin, Khalifah Bani Umayyah dan Khalifah Bani Abbasiyah telah mencabul dan merampas hak mereka sebagai khalifah.

          Kejatuhan kerajaan Umayyah yang berpusat di Damsyik pada tahun 750 Masihi adalah hasil daripada gerakan bawah tanah yang telah diusahakan bersama oleh golongan Abbasiyah dan golongan Syiah. Orang Syiah tidak benasib baik dengan kejatuhan itu. Hasil usaha mereka telah digunakan oleh golongan Abbasiyah untuk menubuhkan kerajaan mereka yang berpusat di Iraq. Orang Syiah semuanya dijadikan musuh yang ketat dan terpaksa ditindas menyebabkan mereka menanggung derita dan malapetaka yang sangat dahsyat. Pengikut-pengikutnya berselerak di sana sini mencari bumi yang subur tempat menyemaikan fahaman Syiah untuk menegakkan kerajaan mereka.

          Setelah sekian lama mereka hidup terdesak dan bertaburan di sana sini, maka pada akhirnya mereka berjaya juga mendapatkan tapak perjuangan di Maghribi (Morocco). Hal ini ialah kerana usaha yang bersungguh-sungguh dan bijaksana dari pendakyah (Mubaligh) mereka yang bernama Ubaidullah al-Syi'i dari keturunan Fatimah anak Rasulullah (namun nasab keturunan mereka disandarkan kepada keturunan Fatimah diragukan oleh para ulama Ahlussunnah seperti Imam as-Suyuthi). Kerajaan ini berpunca dari kebencian penduduk daerah itu kepada gabenor-gabenor Bani Abbas yang  membebankan mereka dengan cukai-cukai yang berat. Apatah lagi daerah itu terletak jauh dari pusat pemerintahan Abbasiyah di Baghdad.

          Perkembangan fahaman Syiah pada akhirnya  lahirlah apa yang dikatakan kerajaan Fatimiyah pada tahun 909 Masihi bersamaan dengan tahun 297 Hijrah. Setelah berjaya mengalahkan kerajaan Bani Aghlab di Tunisia, Abu Ubaidullah (nama sebenar Abu Muhammad Abdullah -Ubaidullah- al-Mahdi billah) telah ditabalkan sebagai khalifah yang pertama dan kota Tunisia dirasmikan sebagai pusat pemerintahan dan pentadbiran mereka. Dari sini pengaruh dan kekuasaan Syiah meluas ke utara Afrika sehingga hampir sekalian kabilah-kabilah yang mendiami daerah itu tertakluk di bawah kekuasaannya. Beberapa kali dia mencuba hendak menakluki Mesir tetapi tidak berjaya hingga dia wafat pada tahun 323 Hijrah (935 Masihi).

Peta wilayah kekuasaan kerajaan Syiah Fatimiyah

2. Kelahiran Kerajaan Syiah Fatimiyah Di Mesir

          Setelah beberapa lama kemudian, iaitu di zaman pemerintahan al-Muizzul Lidinillah (342 - 365 Hijrah), cucu Ubaidullah pengasas kerajaan tersebut, lahir seorang panglima yang gagah berani bernama Jawahar al-Siqili yang berasal dari Sicily. Dengan keberaniannya beliau telah berjaya mengepalai satu angkatan tentera dan menyerang negeri Mesir. Pada tahun 355 Hijrah, beliau menguasai negeri Mesir setelah melalui beberapa pertempuran yang kecil. Sebagai lambang kemenangan, beliau mendirikan ibu kota yang baru yang bernama al-Qahirah yang beerti Gagah Perkasa

          Faktor utama kejayaan kerajaan Fatimiyah di negeri Mesir ialah kerana pada waktu itu Mesir dalam keadaan huru hara oleh kelemahan Khalifah Bani Abbas yang telah ditekan oleh panglima-panglima bangsa Turki di Baghdad. Kelemahan ini berkesan secara langsung kepada kelemahan gabenor-gabenor, panglima-panglima tentera dan pegawai-pegawai pentadbiran yang memerintah di wilayah-wilayah takluknya termasuk negeri Mesir sendiri. Sebelum ini pemerintahan negeri Mesir mewah dan makmur di bawah pemerintahan kerajaan Touloniyah yang diasaskan oleh Ahmad Toulon (245-292 Hijrah / 868-905 Masihi). Walaupun pada awalnya Ahmad bin Toulon dihantar oleh pemerintahan Abbasiyah ke Mesir untuk menjadi gabenor Abbasiyah di sana,tetapi beliau telah membebaskan diri dari kerajaan pusat di Baghdad dan mengisytiharkan kerajaan Touloniyah di Mesir. Tetapi kerajaan Touloniyah dapat dirampas kembali oleh Khalifah Abbasiyah al-Muktafi.

Bab al-Futuh, Tinggalan pintu kota Dinasti Fatimiyah di Kaherah, Mesir

          Dalam saat yang genting inilah  maka orang Syiah yang berpusat di Tunisia merebut peluang menakluki negeri Mesir untuk dijadikan pusat penyiaran fahaman mereka dan untuk dijadikan pengkalan melancarkan dakwah dan pengaruh ke negeri-negeri sebelah timur, kerana negeri Mesir adalah berhampiran dengan kota-kota Islam yang besar seperti Madinah, Damsyik dan Baghdad sendiri. Pemerintahan Abbasiyah di Mesir tidak dapat mempertahankan kedudukan mereka kerana tentera Abbasiyah waktu itu terpaksa menghadapi angkatan perang Byzantine yang sedang memasuki wilayah-wilayah Abbasiyah yang lain.

3. Kemajuan Kerajaan Fatimiyah

          Selama lebih kurang 240 tahun kerajaan Fatimiyah memerintah negeri Mesir dan negeri-negeri di sekitarnya yang meluas dari lautan Atlantik di Barat dan Laut Merah di Timur dengan seramai tiga belas orang khalifah yang memegang tampuk pemerintahan kerajaan tersebut, terdapat begitu banyak kemajuan dan pembangunan negara yang dapat menandingi kerajaan Abbasiyah di Baghdad dalam bidang ketenteraan, ekonomi, pendidikan, kesenian dan lain-lain lagi.

          Dalam bidang ketenteraan misalnya mereka mempunyai angkatan darat dan laut yang kuat. Khalifah Muiz pernah mendirikan sebuah kilang pembuat kapal. Adalah dianggarkan bahawa kerajaan ini mempunyai 600 buah kapal perang yang sentiasa melakukan hubungan di antara pelabuhan-pelabuhan Dimyat, Iskandariah, Uka, Tyrus dan Askalona. Kekuatan ketenteraan ini membolehkan mereka menguasai seluruh persisiran Afrika Utara, Palestin, Syria, Hijaz, pulau-pulau di kawasan Laut Mediterranean seperti pulau-pulau Bakaria, Sardania, Corsica, Malta, Sicily dan lain-lain. Mereka juga berjaya menguasai semenanjung Calabaris, Lembahan Lombardy, Bandar Geno yang masing-masing di Italy. Mereka juga pernah menguasai beberapa tempat di Sepanyol dan Perancis. Keadaan ini semua adalah kerana khalifah-khalifah mereka seperti al-Qaim, al-Muiz dan al-Aziz adalah panglima-panglima perang yang terhandal.



          Selain dari itu, khalifah Fatimiyah juga telah memainkan peranan penting dalam ekonomi. Mereka berusaha menambah dan memperbanyak hasil dan pendapatan negara hingga dapat menandingi kerajaan Abbasiyah. Mereka berjaya memajukan pertanian, perdagangan dan perusahaan. Di waktu pemerintahan al-Aziz (365-386 Hijrah / 975-996 Masihi) misalnya, kerajaan ini telah berjaya menggali beberapa terusan, membuat jambatan-jambatan dan memperbaiki pelabuhan.

          Dalam bidang kesenian pula, khalifah Fatimiyah telah berjaya memajukan perusahaan tangan yang bernilai tinggi seperti bertenun, mengukir dan menyulam dalam pelbagai jenis. Antaranya tikar permaidani, pakaian, pelana kuda dan lencana-lencana kebesaran dari logam. Khalifah Muiz sendiri iaitu Khalifah pertama Fatimiyah di Mesir pernah mendirikan mendirikan sebuah kilang tenun tempat membuat pakaian pegawai-pegawai kerajaan yang digunakan untuk musim panas dan musim sejuk. Di situ juga dibuat kiswah (kelambu) Kaabah yang megah sekali. Padanya dilukiskan dua belas bulan sabit daripada emas. Ayat-ayat al-Quran juga ditulis dengan zamrud yang berwarna biru, kemudian dibungai pula dengan permata-permata yang mahal harganya.

Piring seramik zaman Fatimiyah

          Kerana kekayaan negara yang melimpah ruah juga terdapat di zaman pemerintahan Fatimiyah beberapa istana yang indah-indah, megah dan cantik ukirannya sebagai lambang keindahan kesenian pada waktu itu yang masih dapat dilihat hingga hari ini.

          Dalam bidang pendidikan, Khalifah Fatimiyah telah dapat melahirkan satu pusat pendidikan yang terkenal dengan nama Jami' al-Azhar (Universiti al-Azhar). Nama al-Azhar itu adalah bersempena dengan nama gelaran bagi nama anak Rasulullah Fatimah al-Zahra. Panglima ulung mereka yang bernama Jauhar adalah orang yang bertanggungjawab  mendirikan al-azhar itu pada tahun 359 Hijrah. Walaupun tujuan utama didirikan untuk memperluaskan ajaran Syiah sahaja, tetapi perkembangan kemudiannya hingga kepada zaman Khalifah al-Aziz, al-Azhar telah bertukar menjadi pusat pengajian tinggi Islam di mana mahasiswa dari berbagai negeri datang ke situ untuk mempelajari berbagai ragam ilmu dan kebudayaan. Khalifah al-Aziz seorang pujangga yang menggemari ilmu pengetahuan memperuntukan harta wakaf secukup-cukupnya untuk membiayai para pelajar dan mahaguru. Selain daripada itu Khalifah Fatimiyah juga berusaha mendirikan kutubkhanah-kutubkhanah di sekitar kota Kaherah sebagai tempat mendalami dan membahas bermacam-macam ilmu pengetahuan selain daripada tempat simpanan buku-buku pelajaran. Di antara khutubkhanah yang terkenal hingga ke hari ini ialah kutubkhanah Darul Hikmah yang didirikan oleh Khalifah al-Hakim (996-1020 Masihi).

Masjid al-Azhar, Mesir



          Pada zaman pemerintahan Khalifah Fatimiyah ini juga kita dapati banyak perkara baru yang telah diusahakannya. Usaha-usaha ini adalah untuk menarik hati rakyat. Umpamanya di zaman pemerintahan al-Aziz (nama sebenar Abu Mansur Nizar al-Aziz billah), beliau memperbanyakkan anugerah dan hadiah kepada mereka yang patut menerimanya. Beliau juga mengadakan perayaan dan upacara untuk mengenangkan hari-hari kebesaran Islam. Di hari raya Aidilfitri dan Aidiladha diadakan jamuan secara besar-besaran. Seluruh rakyat dari berbagai tingkatan dan golongan dijemput menghadiri jamuan itu. Khalifah Fatimiyah juga mengadakan jamuan dan perayaan-perayaan besar di hari Maulid Nabi (perayaan Maulid Nabi pertama dalam sejarah umat Islam), di hari kelahiran Hussein dan Fatimah, di hari kelahiran Khalifah, di beberapa malam Bulan Ramadhan, di permulaan dan di pertengahan bulan Rejab dan Sya'ban. Di hari-hari perayaan itu masjid-masjid dihias dengan perhiasan yang indah, gendang-gendang dibunyikan dan ayat-ayat al-Quran dilagukan dengan suara yang merdu. Di waktu inilah seluruh rakyat diberi peluang mengadap khalifah.

4. Kejatuhan Kerajaan Fatimiyah

          Sebelum al-Hakim (386-411 Hijrah / 996-1020 Masihi) menjadi khalifah, kerajaan Fatimiyah telah sampai kemuncak tamadun dan kemajuan yang boleh dibanggakan. Tetapi apabila tiba sahaja zaman al-Hakim (nama sebenar Abu Ali al-Mansur al-Hakim bi-Amrullah), keadaan yang penuh dengan kemajuan berubah kepada zaman kegelapan. Kegelapan dan kemerosotan ini berlaku kerana politik al-Hakim sudah tidak berperi kemanusiaan lagi. Banyak peraturan yang menekan kehidupan rakyat terutamanya dari golongan Sunni, Yahudi dan Nasrani telah dilaksanakan. Akibatnya mereka yang terlibat menanggung penderitaan yang pedih sekali.

Lakaran wajah al-Hakim bi-Amrullah

          Selain dari itu, al-Hakim sendiri mendakwa bahawa dirinya mempunyai sifat-sifat ketuhanan. Ia menyatakan bahawa Tuhan berada dalam dirinya. Ramai antara rakyat terpengaruh dengan dakwaan itu dan mendakwa bahawa tangan al-Hakim terletak hidup dan mati seseorang.

          Setelah itu khalifah-khalifah yang datang selepasnya terlalu lemah dalam pentadbiran. Mereka dilantik menjadi khalifah dalam usia muda, dan ada pula yang dilantik dalam usia yang terlalu tua. Umpamanya pengganti al-Hakim sendiri iaitu al-Zahir (411-427 Hijrah / 1021-1035 Masihi) dikhalifahkan ketika berusia 16 tahun, manakala penggantinya iaitu al-Mustansir (427-487 Hijrah / 1035-1094 Masihi) diangkat menjadi khalifah pada usia 7 tahun. Keadaan seperti ini telah menyebabkan pengendalian pemerintahan dimainkan oleh pemangku khalifah atau menterinya. Akibat daripada itu, lahirlah rasuah dan mementingkan diri sendiri. Contohnya Khalifah al-Mustansir sendiri merupakan pemerintah yang paling kaya sekali dalam senarai pemerintah Fatimiyah. Kekayaan itu telah digunakan untuk kepentingan diri sendiri. Beliau menggunakan kekayaannya untuk membina istana, tempat-tempat hiburan dan berbagai-bagai lagi yang kebanyakannya merugikan rakyat dan negara.

          Hal-hal tersebut telah menggelisahkan rakyat. Akibatnya antara rakyat sesama mereka berpecah belah. Orang Islam, bukan Islam, penganut-penganut Syiah, Sunni dan Khawarij, masing-masing bersengketa sesama sendiri. Peristiwa buruk yang sedemikian itu bertambah buruk lagi kerana timbulnya perbalahan di kalangan tentera Bangsa Sudan yang menjadi tulang belakang kepada khalifah telah dapat diusir oleh tentera Turki hingga ke Iskandariah. Peluang ini telah digunakan oleh tentera Turki untuk merampas dan menyamun dalam Kota Kaherah.

Lakaran pertempuran zaman Fatimiyah di Mesir

          Di samping itu dalam tahun 1048 Masihi air sungai Nil telah susut mengakibatkan bidang pertanian terganggu, perbendaharaan negara menjadi kosong dan bahan-bahan makanan berkurangan. Berikutnya pula penyakit taun telah merebak dan menjadi-jadi dengan hebat sekali. Akibatnya berlaku pencurian, perompakan dan pembunuhan dengan tidak terkawal lagi. Daerah-daerah takluknya pula mula memerdekakan diri. Yaman merdeka pada tahun 1081 Masihi dan Pulau Sicily pula pada tahun 1091 Masihi. Dalam keadaan huru hara begini pemerintah yang akhir yang bernama Syawir lari ke Syria meminta bantuan Sultan Nuruddin Muhammad Zanki. Dewasa itu Perang Salib sedang berlaku antara orang Islam dan Umat Nasrani Eropah Barat. Akhirnya pemerintahan Mesir telah diambil alih pula oleh panglima besar Salahuddin al-Ayyubi. Dengan itu tamatlah sejarah kerajaan Syiah Fatimiyah dan diganti pula kerajaan Ayyubiah di bumi Mesir.

5. Celaan Para Ulama Ahlussunnah Wal Jamaah Terhadap Daulah Syiah Fatimiyah

          Para ulama Ahlussunnah tidak menggelarkan kerajaan Syiah ini dengan kerajaan Fatimiyah, sebaliknya mereka cukup memanggil dengan nama Bani Ubaidiyah sahaja kerana menyandarkan pada nama pengasasnya iaitu Ubaidullah al-Mahdi Billah. Hal ini adalah kerana penyandaran nasab Ubaidullah kepada Fatimah binti Ali tidak diiktiraf oleh mereka.

          Imam Jalaluddin as-Suyuthi rahimahullah dalam kitabnya Tarikh Khulafa' telah memberikan nama Daulah Khabitsah (negara busuk) kepada golongan Fatimiyyin. As-Suyuthi berkata, "Aku tidak mencantumkan seorang pun Khulafa' Ubaidiyyin (Fatimiyah) kerana Imamah mereka tidah sah kerana beberapa alasan. Di antaranya mereka bukan dari Quraisy. Yang menamakan mereka Fatimiyyin adalah orang-orang awam yang bodoh. Datuk mereka adalah Majusi. Al-Qadhi Abdul Jabbar al-Basri berkata, nama datuk para khulafa Misriyin (khalifah Mesir) adalah Sa'id, bapanya adalah orang Yahudi, seorang pandai besi yang membuat panah."

Simeon I utusan dari Bulgaria berunding dengan Khalifah Ubaidullah al-Mahdi dengan harapan untuk mewujudkan satu pakatan yang membolehkan kaum Bulgaria menggunakan tentera laut Arab yang berkuasa.


          Al-Qadhi Abu Bakar al-Baqilani berkata: "al-Qaddah datuk kepada Ubaidullah yang dijuluki sebagai al-Mahdi adalah orang Majusi. Ubaidullah masuk ke Maghribi dan dia mengaku bernasab kepada Ali bin Abi Talib r.a, padahal tidak seorangpun ulama nasab yang mengetahuinya. Orang-orang bodoh menamakan mereka Fatimiyyin."

          Ibnu Khallikan berkata: "Majoriti ahli ilmu tidak mensahihkan nasab al-Mahdi Ubaidullah, Datuk Khalifah Mesir (al-Ubaidiyyun). Hingga al-Aziz Billah Ibnu al-Muiz (Khalifah Fatimiyah yang ke-5) pernah naik mimbar pada hari Jumaat di awal pemerintahannya, lalu beliau melihat secarik kertas di situ yang bertuliskan,

Kami mendengar nasab yang mungkar,
Dibaca di atas mimbar Masjid Jami',
Jika kamu benar dalam apa yang kamu dakwakan,
Maka sebutkan nama bapa setelah bapa ketujuh,
Jika kamu ingin kebenaran apa yang kamu katakan,
Maka sebutkanlah nasabmu kepada kami seperti orang yang taat,
Atau biarkanlah nasab tersembunyi,
Masukkanlah kami ke dalam nasab yang luas,
Sesungguhnya nasab Bani Hasyim,
Tidak dapat diraih dengan ketamakan orang yang tamak.

          Al-Aziz kemudian menulis surat kepada al-Umawi penguasa Andalusia, yang berisi hinaan dan cacian kepadanya, lalu Umawi membalas, "Amma ba'du, kamu mengetahui kami, maka kamu menghina kami. Kalau kami mengetahuimu nescaya kami meneladanimu." Iaitu dia adalah orang gelap yang tidak diketahui kabilahnya. Betapa bagusnya apa yang dikatakan oleh cucu Mu'iz, penguasa Kaherah yang ditanya oleh Ibnu Thabathaba tentang nasab mereka, lalu dia menarik setengah pedang dari sarungnya sambil berkata, "Ini nasabku." Dan dia melempar emas kepada para umara dan hadirin sambil berkata, "Ini keturunanku."

          Imam as-Suyuthi berkata lagi: "Kebanyakan dari mereka adalah orang-orang zindik yang terkeluar dari Islam. Di antara mereka ada yang mencaci para Nabi secara terang-terangan, ada yang menghalalkan khamar (arak), ada yang memerintahkan bersujud kepadanya. Yang terbaik dari mereka adalah orang Rafidhah (syiah) yang busuk lagi buruk kerana mengajak kepada mencaci sahabat radhiallahu 'anhum. Tidak sah bai'at dan tidak sahih Imamah (kepimpinan) orang seperti mereka."

Lakaran tentera Syiah Fatimiyah

          Al-Qadhi Abu Bakar al-Baqillani berkata: "Al-Mahdi Ubaidullah adalah seorang beraliran (Syiah) Batiniyyah, keji, berusaha melenyapakan Islam, dia membunuh para ulama dan fuqaha agar dapat menyesatkan manusia. Anak-anak (mereka) hadir dengan cara bapanya. Mereka menghalalkan khamar, zina dan menyebarluaskan fahaman Rafidhah."

          Imam Az-Zahabi berkata: "al-Qaim bin al-Mahdi lebih buruk dari bapanya, seorang zindik yang dilaknat, mencaci para Nabi dengan jelas." Az-Zahabi  berkata lagi, "Ubaidiyyun lebih buruk bagi agama Islam daripada orang-orang Tartar."

          Abu al-Hassan al-Qabisi berkata: "Yang dibunuh oleh Ubaidullah dan anak-anaknya daripada kalangan ulama dan ahli ibadah mencapai empat ribu orang demi mengembalikan mereka kepada kebencian kepada para Sahabat, tetapi para ulama itu memilih mati."

          Al-Qadhi Iyadh berkata: "Abu Muhammad al-Qairuwani al-Kizani salah seorang ulama Malikiyyah telah ditanya tentang orang yang dipaksa oleh Bani Ubaid di Mesir untuk masuk ke dalam seruan (ajaran) mereka atau dibunuh, maka beliau menjawab, (lebih baik) memilih dibunuh. Tidak ada alasan bagi seseorang dalam perkara ini kerana keadaannya berada di tempat di mana penduduknya diminta untuk mengingkari syariat dan hal tersebut tidak dibenarkan."

          Ibnu Khalikan berkata, "Mereka mengakui ilmu-ilmu ghaib, berita-berita tentang mereka masyhur, bahkan suatu hari al-Aziz naik mimbar, dia melihat secarik kertas tertulis,

Jika kamu diberi ilmu ghaib,
Jelaskan kepada kami penulis kad (La ilaha illallah),
Kami rela dengan kezaliman dan ketidakadilan,
Tapi tidak dengan kekufuran dan kedunguan.

          Imam as-Suyuthi berkata lagi: "Diantaranya adalah bai'ah kepada mereka terjadi sementara Imam abbasi (Bani Abbasiyah) masih tegak berdiri dan telah dibai'at sebelumnya, jadi bai'at mereka tidak sah, kerana bai'at yang satu tidak sah untuk dua imam pada waktu yang sama. Yang sah adalah yang lebih dahulu."

          Kerajaan Syiah Fatimiyah membangunkan Universiti al-Azhar sebagai tempat penyebaran fahaman Syiah Rafidhah, mereka memaksa kaum Muslimin memeluknya. Ketika Salahuddin al-Ayyubi rahimahullah menamatkan kerajaan mereka, beliau membatalkan semua hal tersebut dan menetapkan Mazhab Syafi'i sebagai gantinya.

SUMBER
[1] Ikhtisar Perkembangan Islam, Haji Dusuki Haji Ahmad, cetakan 1978, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.
[2] Meluruskan Sejarah Menguak Fitnah Sejak Rasulullah SAW Wafat hingga Bani Umayyah (Judul asal Al-Awashim Min Al-Qawashim Fii Tahqiq Mawaqif Ash-Shahabah Ba'da Wafat An-Nabi), Al-Imam al-Qadhi Abu bakar Ibnu Arabi, Cetakan 2010, terbitan Pustaka Sahifa, Jakarta.
[3] Tarikh Khulafa', Imam as-Suyuthi, cetakan ketujuh 2010, terbitan Pustaka Al-Kautsar, Jakarta Timur.

___________________________
~ Saufy Jauhary ~
Lajnah Sejarah Dan Tradisi
_____________________________

Comments