OLEH: Taufiq Tuah
Tajuk penulisan kali ini ialah antara ungkapan lazim dikeluarkan oleh orang Melayu yang beremosi bila melibatkan isu konflik negara Islam.
Terutamanya isu Palestin, mereka berkata negara² Arab tak bantu langsung Palestin. Kemudian mengutuk maksiat² yang berlaku di negara Arab. Kononnya tiba² ada konsert di Arab ketika isu konflik ini tak menjaga sensitiviti. Sedangkan di Malaysia, setiap minggu konsert disiarkan sekurang-kurangnya 4 kali seminggu.
Saya nak mengajak para pembaca untuk adil dalam berfikir dan mengenepikan emosi untuk lihat isu dengan baik.
Ada orang Melayu yang sering guna alasan, Arab bukan kaum yang mulia kerana hadith yang dinilai hassan daripada Imam Ahmad, Imam Baihaqi, Tirmizi dll yang bermaksud, "Tiada kelebihan orang arab ke atas ‘ajam (yang bukan arab)..."
Jadi mereka dengan sewenang-wenangnya mengutuk Arab bertubi-tubi sampai ke tahap mereka juga menyebut "Melayu lagi bagus dari Arab". Sedangkan pada sambungan hadith tersebut ialah,
"....atau ‘ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan....”
Menunjukkan bahawa tiada kaum yang lebih baik dari kaum lain. Hanya takwa individu yang membezakan.
Emosi sering membuat kita mendesak negara² Arab untuk menghantarkan tentera terus menyerang Israel tanpa memikirkan maslahat dan mudharat.
Sedangkan negara² Arab telahpun melalui beberapa siri peperangan bersama Palestin bagi menentang Israel. Maka mereka tahu apa yang sesuai untuk dilakukan oleh negara mereka dari semasa ke semasa.
Sementara bantuan makanan, perubatan, keperluan yang lain yang dihantar ribuan tan oleh negara² Arab ke Palestin pada konflik kali ini tidak digembar-gemburkan. Begitu juga bantuan setiap tahun walaupun tanpa konflik turut dihantar namun tidak pernah diambil kira sebagai kebaikan di mata orang Melayu.
Orang kita sepatutnya berhati-hati dalam menuding jari kepada Arab. Hakikatnya maksiat yang berlaku di Arab telah pun lama berlaku di Nusantara malah dinormalisasi pula. Maka jika dikirakan maksiat, cermin lah negara kita sendiri.
Jika Malaysia ialah sempadan Palestin, adakah kita akan jadi lebih baik? Jangan berangan! Saudara Melayu kita di sempadan Thailand saban hari dizalimi namun orang Melayu di Malaysia tidak pernah berkempen sebesar kempen untuk Palestin. Malah ramai pula yang tak tahu langsung keperitan saudara Melayu kita di Thailand.
Ketika Bangsamoro di Filipina ditindas, kita juga yang buat tak tahu. Tiada apa-apa kempen, bendera dan 'talk' kesedaran untuk isu konflik Muslim di sempadan kita.
Maka berhati-hati ketika menuding jari.
[Legasi Pemikir - LEKIR]
Comments
Post a Comment