OLEH: Iskandar Zulqarnain
Tidak dapat dinafikan, menara condong yang terletak di Teluk Intan, Perak adalah satu ikon penting buat Teluk Intan. Ia menjadi mercu tanda bandar Teluk Intan lebih 100 tahun lamanya. Keunikan menara condong ini adalah ia menyerupai menara Pisa di Itali.
Menara condong Teluk Intan ini dibina pada tahun 1885 dan ia memiliki ketinggian setinggi 85 kaki serta terdapat 110 buah anak tangga. Biarpun telah berusia lebih 100 tahun, ia masih berdiri kukuh walaupun keadaannya hari ini agak senget dan sedikit tercondong.
Menara condong asalnya tidaklah condong sebagaimana keadaannya sekarang. Orang yang bertanggung jawab dalam membina menara jam di Teluk Intan ini ialah individu yang bernama Leong Choon Cheong atau lebih mesra dengan nama Ah Cheong. Beliau mendapat ilham untuk membina menara Teluk Intan dengan reka bentuk demikian berdasarkan bangunan pagoda di negara China.
Pada tahun 1895 iaitu lebih kurang 10 tahun ia dibina, malangnya telah berlaku banjir besar di Teluk Intan sehinggakan menara ini tenggelam. Banjir yang berlaku dengan bebanan air yang berat inilah dipercayai punca menara ini mula mendap dan tercondong sedikit ke arah Barat.
Berbalik kepada cerita berkenaan dengan jam yang ada pada menara Teluk Intan ini. Seperti semua sedia maklum, terdapat sebuah jam yang besar dan mengeluarkan bunyi yang lantang. Ianya masih berfungsi dengan baik sehingga ke hari ini sejak ia dipasang pada badan menara tersebut.
Mesin jam untuk menara condong Teluk Intan sebenarnya adalah hasil sumbangan daripada penduduk tempatan. Kontribusi terbesar dibuat oleh Leong Choon Cheong yang juga merupakan artikek untuk menara Teluk Intan itu. Mesin jam menara condong Teluk Intan dibeli oleh beliau sendiri dari pembuat jam abad ke 19 yang amat terkenal iaitu James Wilson Benson di Ludgate Hill, London.
Mesin jam menara condong Teluk Intan ini akan diservis setiap bulan. Hal ini kerana jam ini menggunakan sistem manual yang memerlukan bahagian-bahagian mekanikalnya diputar mundur dalam masa tertentu untuk menjadikannya berfungsi seperti biasa.
Kini mesin jam dan menara condong ini telah pun mencecah usia lebih 133 tahun. Pernahkah anda datang dan melihat sendiri keunikan yang ada di dalam menara condong Teluk Intan ini? Jika anda berkesempatan, datanglah lihat sendiri keunikannya.
[Legasi Pemikir - LEKIR]
Comments
Post a Comment