Tular: Imam Mahdi Memberi Mandat Kepada Ulama Melayu


OLEH: Taufiq Tuah



Telah ditularkan (viral) oleh beberapa penulis blogger di mana seorang Tok Guru telah bermimpi tentang Imam Mahdi. Kemudian mereka membuat andaian di mana ini merupakan tanda di mana Imam Mahdi telah memberi mandat kepada ulama Melayu untuk perjuangan akhir zaman.

Dengan rasa tanggungjawab, RMB perlu merungkai isu hangat ini.

1. Mimpi tidak boleh menjadi dalil dalam agama. Ini jelas kerana Rasulullah SAW hanya mewariskan kita Al-Quran dan Sunnahnya. Segala bentuk mimpi yang kelihatan 'islami' adalah bukan dalil untuk sesuatu syariat dalam Islam. Tidak sekali-kali boleh menjadi dalil dalam hal agama. Juga tidak boleh menjadi petunjuk dalam cara hidup kita.

2. Mimpi berjumpa Imam Mahdi sangat berkaitnya dengan akhir zaman. Namun kita tidak boleh mengatakan jika mimpi Imam Mahdi memberi tugas kepadanya bermakna dia telah dilantik di alam rialiti. Hal ini kerana mimpi manusia biasa ialah permain tidur. Otak manusia akan berfungsi kepada kecenderungan ia berfikir pada waktu itu bagi membentuk visual mimpi. Ada juga pandangan mengatakan bahawa roh kita keluar (secara tidak keseluruhan) seketika untuk merayau dan apa yang roh nampak itu lah mimpi. Juga ada sebahagian mimpi yang hanyalah permainan dari syaitan untuk menganggu tidur. Maka boleh disimpulkan, Tok Guru itu tidur dalam kecenderungan memikirkan hal akhir zaman menyebabkan mimpi itu berlaku.

3. Jika kita bermimpi Sultan melantik kita menjadi bendahara, adakah kita juga dilantik sebagai bendahara di alam rialiti? Sudah tentu tidak. Sama lah juga halnya dengan mimpi Imam Mahdi. Apa sahaja yang berlaku di alam mimpi tidak boleh sewenang-wenangnya dikaitkan dengan alam rialiti.

4. Wahyu daripada mimpi hanyalah untuk para nabi dan para rasul. Adapun ulama atau tok guru atau tok kiai walau sesoleh mana pun dia, mimpi mereka tetap tidak boleh menjadi wahyu. Jika dibenarkan mimpi mereka menjadi wahyu, maka Islam ini menjadi agama yang bersandarkan ilmu tidur ulama sahaja. Tidak perlu susah-susah belajar Al-Quran dan hadis kerana semuanya telah pun boleh diterima melalui mimpi..Nauzubillah minzalik.

5. Imam Mahdi ada rentetan secara jelas cara kemunculannya. Tidak perlukan mimpi untuk kita berbaiat padanya kelak. Samada kita bermimpi ataupun tidak bermimpi tentang Imam Mahdi, membaiat baginda ialah kemestian semua Muslim.

6. Mungkin sahaja tok guru yang dimaksudkan di dalam cerita itu hanya bercerita sesama kenalannya dan tidak berniat untuk tularkan hal ini. Dan mungkin juga tok guru berkenaan tidak berniat untuk mengatakan apa-apa tentang kaitan mimpinya dengan rialiti dirinya. Tidak juga menjadikan mimpi tersebut sebagai tanda kesolehannya. Kita berhusnuzon dalam bab ini.

Namun harap para penulis blog yang menceritakan kisah ini tidak lah berlebih-lebihan dalam menghuraikannya. Tidak adapun istilah "Mandat Imam Mahdi Kepada Melayu" untuk dimegah-megahkan.  Istilah seperti ini hanyalah istilah taksub kepada bangsa sendiri yang mana ketaksuban berlebihan seperti ini perlu dibendung.

Wallahualam
___________________________
~ Taufiq Tuah ~
Lajnah Makalah Sejarah
_____________________________




Comments