Siapakah Yang Membentuk Gagasan Sheikh Muhammad Bin Abdul Wahab?

OLEH: Abu Amru Radzi Othman

Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab sedari balita (kanak2) sehingga mencapai umur 20 tahun, berada di bawah asuhan kaum keluarganya yang merupakan para ulama dalam mazhab Hanbali di Uyainah.

Datuk beliau iaitu Sulaiman bin Ali bin Musyarraf merupakan ulama besar dalam mazhab Hanbali dan kitabnya dijadikan rujukan dalam bidang Manasik Haji oleh kaum Hanabilah.

Pada waktu ini beliau telah menguasai kitab besar dalam mazhab Hanbali seperti:

- Asy Syarhul Kabir
- Al Mugni
- Al Inshof
- Al Muntaha
- Al Iqna'


Pada usia 20 tahun ini, beliau telah menjadi ulama hebat sehingga dikagumi oleh ayahnya, seorang Qadi Mazhab Hanbali. Namun ketika ini, pemahaman yang beliau terima belum membulat dalam hatinya. Oriantasi pembelajaran yang beliau terima lebih bersifat Ahli Fiqh.

Lantas setelah menunaikan Haji pada usia 20 tahun, beliau menuju ke Madinah dan bermulalah zaman pembentukan gagasan pemurnian yang akhirnya di istilahkan sebagai Gerakan Wahabi oleh kaum penentang.

Tokoh yang mula-mula mencetuskan gagasan ini adalah seorang ulama hadis ulung mazhab Hambali di madinah, iaitu Syeikh Abdullah bin Ibrahim Al Saif yang mendapat sanad dari ulama agung Damsyik di zamannya iaitu Syeikh Abu Mawahib Al Hanbali.

Satu ketika, Syeikh Abdullah bin Ibrahim membawa muridnya ini ke dalam perpustakaan peribadinya lantas berkata: "Inilah senjata yang telah aku persiapkan untuknya", iaitu persediaan kepada Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab dalam menjalankan misi dakwah. Sebuah perpustakaan yang penuh berisi pelbagai khazanah islam, kitab-kitab besar dan buku-buku karangan ulama mu'tabar.

Setelah memperoleh sanad hadis dalam kitab2 thurats maka Syeikh Abdullah bin Ibrahim menyuruh Syeikh Muhammad menyambung pelajaran hadis dengan lebih mendalam kepada temannya, iaitu Ketua Hakim Madinah, Syeikh Muhammad Hayat As Sindi Al Hanafi.

Dengan Ketua Hakim Madinah inilah, beliau lama bermulazaman sehingga ulama Hadis ulung Madinah ini menjadi tokoh panutan yang sangat membekas di hati dan perasaan Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab. Syeikh Hayat As Sindi selalu mendorong Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab untuk menegakkan Islam versi yang tulen dari Nabi.

Pernah sekali Syeikh Muhammad Hayat mengajak Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab memerhatikan perbuatan syirik yang dilakukan oleh kaum muslimin yang meminta pertolongan kepada kubur Nabi (rujuk : 'Unwan Al Majd).

Lalu akhirnya setelah selesai menuntut ilmu kepada kedua guru utama ini, Syeikh Muhammad menuju Bashrah untuk menuntut kepada ulama Hadis Bashrah; Syeikh Muhammad Al Majmu'i Al Bisri. Syeikh Muhammad Al Majmu'i memiliki kepakaran dalam bidang aqidah sehingga Syeikh Muhammad menekuni bidang ini dengan sangat mendalam.

Malah Syeikh Muhammad Al Majmu'i mengangkat Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab sebagai tenaga pengajar di tempatnya, sehingga anak Syeikh Muhammad Al Majmu'i turut menjadi murid kepada Syeikh Muhammad Abdul Wahhab.Di Bashrah inilah, Syeikh Muhammad Al Majmu'i memberikan kebenaran kepada Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab untuk mempraktikan dakwah secara praktikal, lantas Syeikh pun mula keluar ke lapangan untuk menyeru kepada mentauhidkan Allah secara murni.

Kesannya penduduk Bashrah yang kebanyakannya Syiah bangun menentang sehingga mereka menghalau Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab ke wilayah Al Zubair, serta memberikan tekanan kepada Syeikh Muhammad Al Majmu'i.

Tidak berapa lama tinggal di Al Zubair, Syeikh Muhammad menuju ke Huraimla untuk bertemu dengan ayahnya yang menjadi Qadi di daerah tersebut pada tahun 1152H dalam umur 37 tahun. Ini bermakna selama 17 tahun beliau menuntut ilmu hadis dari pelbagai ulama di pelbagai negeri dan wilayah.Pada tahun tersebut juga, beliau mengarang kitab aqidahnya yang dianggap magnum opus iaitu Kitab Tauhid.

Kitab ini sengaja disusun sebegitu, hanya memuatkan kalam allah dan Hadis nabi, serta sedikit catatan kaki oleh beliau. Ini kerana beliau ingin membuktikan bahawa dengan Al Qur'an dah Hadis, sudah mencukupkan buat manusia, dan bahawa beliau tidak membawa mazhab baharu sehinggakan perkataannya terlalu sedikit dalam kitab tersebut. Kitab ini siap ditulis ketika ayah beliau masih hidup.

Sesungguhnya ketiga-tiga ulama Hadis inilah yang telah mempersiapkan murid utama mereka, dan merawisi semangat juang mereka. Malah melalui ketiga-tiga ulama hadis ulung inilah yang menyebabkan Syeikh Muhammad berubah "pandangan sarwajagat" nya daripada kerangka ahli fiqh kepada paradigma Ahli Hadits.

Natijahnya, ketiga-tiga ulama inilah yang membentuk gagasan Syeikh Muhammad lalu melahirkan Gerakan Al Muwahhidun. Semoga Allah memberi pahala dan ganjaran yang besar kepada mereka semua.



___________________________
Abu Amru Radzi Othman




Dapatkan buku Kemunculan Misteri Pemuda Bani Tamim Di Akhir Zaman! Untuk keterangan lanjut sila KLIK DI SINI .

Comments