OLEH: Haziq Azhar
Istana Tanjung Balai
Kesultanan Asahan merupakan salah satu kerajaan Melayu yang terletak di Tanjung Balai, Sumatera Timur. Kerajaan ini diasaskan oleh Raja Abdul Jalil, putera Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam. Asal usul nama Kesultanan Asahan berasal daripada tempat beristirehat rombongan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam. Manakala pusat pemerintahan Kesultanan Asahan, Tanjung Balai dikatakan Sultan Iskandar Muda membina satu balai disebuah tempat yang dinamakan “Tanjung” dimana lama – kelamaan tempat tersebut menjadi sebuah perkampungan. Puteranya, Raja Abdul Jalil ditabalkan sebagai Sultan Asahan yang pertama pada tahun 1630.
Kesultanan Asahan seperti kerajaan – kerajaan Melayu di Sumatera Timur turut berada dibawah pemerintahan V.O.C. Walaubagaimanapun, Kesultanan Asahan juga mempunyai peranan dalam menegakkan syariat Islam dimana Asahan juga menjadi pusat tumpuan para ulama untuk menyebarkan agama Islam. Oleh itu, tidak menghairankanlah apabila lahirnya tokoh – tokoh ulama seperti Syaikh Isma’il Abd Al-Wahhab, H. Mohd. Thahir Abdullah, Syaikh Haji Abd al-Rahman, Syaikh Zahr Al-Din Usman Asahan, dan Tuan Marzuqi Panjaitan.
Sultan Muhammad Husain Rahmad Shah II
Sultan Shaibun Abdul Jalil Rahmad Shah III antara pemerintah Kesultanan Asahan yang agak terkenal. Walaupun tidak banyak melakukan perubahan dalam beberapa dasar pemerintah sebelumnya, Sultan Shaibun Abdul Jalil Rahmad Shah III dikatakan amat dicintai oleh rakyat jelata. Selain itu, Baginda Sultan juga merupakan pemerintah yang bijaksana dan begitu ramah sekali dengan rakyat jelata. Kesultanan Asahan juga makmur dengan kekayaan ekonomi hasil kerajasama dengan pemerintah Belanda dimana Sultan menerima royalti atas konsesi ladang perkebunan. Selain itu, pelabuhan juga antara penyumbang kepada kekayaan Kesultanan Asahan.
Pada tahun 1946, Kesultanan Asahan juga antara kerajaan – kerajaan monarki Melayu yang turut menerima tempias ancaman Revolusi Sosial dimana kebangkitan kaum petani yang dihasut oleh Partai Komunis Indonesia untuk bangkit menentang Sultan dan kaum bangsawan kerana dianggap tali barut penjajah Belanda. Sultan Shaibun Abdul Jalil Rahmad Shah III berjaya melarikan diri daripada ditangkap oleh pihak komunis dan memohon perlindungan dengan pihak Jepun. Semenjak peristiwa Revolusi Sosial, Sultan Asahan dan kaum bangsawan tidak lagi berkuasa dan menjalani hidup seperti rakyat jelata. Kesultanan Asahan kini menjadi sebahagian daripada Republik Indonesia. Kesultanan Asahan hanyalah menjadi institusi adat dan kebudayaan masyarakat Melayu Asahan.
Rujukan:
1. Haryani, R. (2014). JEJAK ISLAM DI KOTA TANJUNGBALAI (Doctoral dissertation, UNIMED).
2. Perkembangan Islam Di Kesultanan Asahan. (Januari 28, 2018). Retrieved from:
3. https://www.asahansatu.com/perkembangan-islam-di-kesultanan-asahan/
4. Manurung, H. (2017). SULTAN SYAIBOEN DI KESULTANAN ASAHAN (1933-1946) (Doctoral dissertation, UNIMED).
___________________________
~ Haziq Azhar ~
Lajnah Makalah Sejarah
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________
Dapatkan buku Menangkis Fitnah Yang Terpalit Pada Bani Umayyah! Untuk keterangan lanjut sila KLIK DI SINI .



Comments
Post a Comment