Empayar Rome Di Puncak Kegemilangan

OLEH: Ahmad Dailami



Empayar Rome di zaman kemuncak kegemilangannya—sebagai kuasa politik dan ketenteraan yang terunggul yang pernah muncul dalam sejarah Eropah. Satu tamadun yang telah meninggalkan pengaruh yang cukup besar dan mendalam ke dalam jiwa dan pemikiran masyarakat Eropah dan kepada aspek-aspek ketamadunan dan halatuju masa depan Eropah.

(Kawasan bertanda merah dan oren kedua-duanya mewakili jajahan empayar Rome. Sebelah merah ialah empayar Rome Barat (Western Roman Empire) dan sebelah oren Rome Timur (Eastern Roman Empire). 'Byzantine' hanya nama lain kepada empayar sebelah Timur).

Apabila anda mempunyai empayar sebesar ini untuk ditadbir, tanggungjawab yang paling getir dan mencabar adalah untuk mengekalkan undang-undang dan arahan (i.e: 'to mantain law and order').

Ini kerana seluruh kawasan atau daerah yang berada dibawah empayar ini diikat oleh satu pentadbiran tunggal yang berpusat di Kota Rome, Italy (pada suatu masa Byzantine atau nama setelahnya, Konstantinopel dijadikan pusat bagi empayar Timur). Pastinya terdapat penduduk di kawasan tertentu yang tidak suka kebebasan mereka dikongkong oleh pentadbiran Rome, mereka tidak berpuas hati dengan arahan atau keputusan tertentu yang dibuat. Pemberontakan dan kekacauan boleh meletus bila-bila masa di mana-mana daerah jajahan dan ia telah berlaku sepertimana yang direkodkan dalam sejarah empayar Rome.

Maka tugas memimpin sebuah empayar sebegini sungguh tidak mudah untuk digalas. Bukan calang-calang orang yang layak memegang jawatan sebegai pemerintah tertinggi Rome—yang bergelar 'augustus' atau 'caesar'—atau dalam bahasa kita disebut maharaja (Roman Emperor).

Ia memerlukan fikiran yang cekap dan pandangan yang matang dalam melihat soal politik dan kuasa serta mengesan masalah-masalah halus yang berakar umbi dalam pentadbiran. Justeru kekuatan terbesar dan salah satu dari perkara yang paling menakjubkan pada ketamadunan Rome ialah kebolehan pentadbiran Rome untuk menguruskan sebuah empayar yang sebegini luas dengan kecekapan yang menakjubkan sekaligus memastikan kestabilan dan keamanannya untuk tempoh waktu yang begitu lama, iaitu sekitar 206 tahun (27 AD—180 AD), mewakili satu tempoh dalam sejarah empayar Rome yang disebut 'Pax Romana' (The Roman Peace).

Orang-orang Rome (atau Romans) terkenal dengan kegeniusan mereka dalam bab politik dan undang-undang hingga mereka bukan setakat berjaya mencipta sebuah empayar, malah mengekalkannya menjadi satu unit kuasa yang berfungsi sebagai 'unifying force of Europe' (kuasa penyatu yang mengikat negara-negara Eropah dibawah satu bendera dan pentadbiran) selama beratus-ratus tahun tanpa negara-negara ini berpecah walaupun setelah dihimpit pelbagai masalah serta ancaman dalaman dan luaran.

Pada hari ini sistem undang-undang yang digunakan di kebanyakan negara-negara dunia ialah 'civil law' yang merupakan sistem undang-undang Roman. Dan negara seperti Amerika Syarikat mengamalkan sistem demokrasi republikan yang amat dipengaruhi oleh sistem politik Rome.

KESAN DAN IMPAK KETAMADUNAN ROME TERHADAP HALA TUJU DAN PEMIKIRAN EROPAH


Mengapa Rome dan ada apa dengannya?

Mengetahui sejarah ketamadunan Rome terlalu penting bagi memahami jiwa dan pemikiran masyarakat Eropah. Kita ummat Islam sedang memikul tanggungjawab ini. Kenapa? Kerana mendekatkan diri kita dengan jiwa masyarakat Eropah menjadikan kita lebih mesra dengan mereka sekaligus memudahkan kita untuk menyampaikan Islam kepada mereka.

Selain itu, memahami sejarah empayar Rome juga membantu kita untuk memahami konflik yang berlaku di antara kuasa Islam dan kuasa Rome Timur (Rome Byzantine). Setelah perluasan kuasa Islam ke sebelah Barat yang berlaku sepanjang pemerintahan Khulafāʼ ar-Rāsyidīn, dinasti ʻUmaiyyah dan seterusnya dinasti ʻAbbasiyah, ummat Islam bercampur dan berinteraksi dengan masyarakat yang menetap di negara-negara yang berada dibawah jajahan Rome. Kita ingin mengetahui bagaimana ummat Islam dipengaruhi oleh pemikiran dan kebudayaan Rome, apakah sisi-sisi positif dan negatif pengaruh tersebut, apa yang patut diteruskan dan dikekalkan daripada contoh-contoh yang baik dan apa pula yang mesti ditinggalkan.

Rome bukan setakat telah berjaya menjadi kuasa besar Eropah dan membina sebuah empayar, malah mereka juga telah berjaya memastikan keutuhan, kestabilan, kemajuan, keamanan, evolusi dan penstukturan empayar itu berjalan selama ratusan tahun hingga meninggalkan suatu kesan yang cukup hebat dan mendalam terhadap identiti, pemikiran dan jiwa masyarakat Eropah. Ketamadunan Rome telah menjadi contoh (template) dan lambang bagi keunggulan kuasa, politik dan undang-undang yang tetap dipuja dan diikuti dengan begitu megahnya oleh negara-negara Eropah meskipun setelah beratus-ratus tahun berlalu semenjak keruntuhannya.

Perkara ini akan dapat dilihat apabila kebanyakan empayar-empayar lain yang telah muncul di Eropah selepas kemusnahan Rome mengambil Rome sebagai sumber inspirasi dan contoh ikutan mereka. Ini seperti empayar Charlemagne (dinasti Carolingian) dan empayar Britan—yang pernah menjajah negara-negara Asia termasuk tanah Melayu.

Charlemagne (774—814 AD) raja orang-orang Franks—yang mana negara mereka pada hari ini dipanggil France/Perancis—yang dianggap sebagai pemerintah Eropah Barat yang paling ulung selepas kemusnahan Rome Barat pada 476 AD. Beliau telah melaksanakan percubaan untuk mewujudkan semula empayar Rome dengan memimpin tenteranya keluar dari France dan menawan sebahagian kawasan-kawasan yang pernah berada dibawah jajahan Rome Barat seperti German, beberapa kawasan di Sepanyol, Italy dan Hungaria. Beliau berpendirian setelah kejatuhan Kota Rome, kedudukan sebagai maharaja Rome kekal kosong dan belum pernah diisi oleh sesiapa dan beliaulah individu yang berhak mengisinya. Lalu pada tahun 800 AD, beliau ditabalkan sebagai 'emperor' oleh ketua gereja Kristian Katolik ketika itu, Pope Leo III, sekaligus menghidupkan semula gelaran 'emperor' ketika zaman Rome dulu dan mewujudkan apa yang dinamakan 'Holy Roman Empire'—yang sebenarnya merupakan satu percubaan dari Charlemagne untuk menghidupkan kembali dan menyambung kegemilangan empayar Rome.

Tradisi Holy Roman Emperor diteruskan oleh para pengganti Charlemagne yang memerintah 'Rome ciptaan semula' di Eropah Barat yang disebut Holy Roman Empire ini selama beratus-ratus tahun setelah itu sehinggalah pembubarannya pada tahun 1806 AD oleh pemimpin France, Napoleon Bonaparte. Raja-raja atau maharaja yang memerintah negara-negara Eropah (seperti Sepanyol, Perancis dan German) dikatakan telah cuba meniru pakaian maharaja Rome dan ciri-ciri serta kebudayaan mereka. Kemudian pentadbiran dan undang-undang yang digunakan di Eropah masih lagi mengkuti corak Rome, dengan bahasa jati orang-orang Rome, yakni Latin, menjadi bahasa penulisan akademik dan undang-undang serta bahasa rasmi gereja Kristian Katolik yang pemegang kuasa yang dominan di Eropah Barat.

Kemudian aspek-aspek pentadbiran Rome di zaman ketika mana ia mengamalkan sistem pemisahan dan pembahagian kuasa berstuktur yang disebut 'Republik' (Roman Republic) telah ditiru oleh negara-negara seperti Amerika Syarikat sewaktu penubuhannya pada tahun 1777 AD. Dan sistem politik Amerika Syarikat pula menjadi contoh dan model bagi sistem politik yang diamalkan di seluruh dunia selepas itu.

Pendek kata, untuk tempoh waktu yang sebegitu lama meskipun setelah empayar Rome tidak lagi wujud, masyarakat Eropah tidak berhasil memadamkan nama 'Rome' dari fikiran mereka. Mereka hidup bersama-sama adat, kebudayaan dan kesenian Rome, falsafah dan pemikiran orang-orang Rome, serta undang-undang yang disusun oleh Rome. Mereka masih lagi terbayang-bayang zaman ketika mana hala tuju hidup mereka ditentukan oleh para pemimpin Rome.

___________________________
 Ahmad Dailami ~
Lajnah Makalah Sejarah 
Telegram:  https://t.me/rmb_slf
_____________________________




Dapatkan buku Menangkis Fitnah Yang Terpalit Pada Bani Umayyah! Untuk keterangan lanjut sila KLIK DI SINI .



Comments