OLEH: Dr Sahul Hamid Mohamed Maiddin
Sekian lama saya berpegang bahawa dalam dunia ini, selepas kuasa Tuhan, yang menentukan perjalanan hidup dan nasib manusia adalah kuasa politik. Saya percaya dan saya pertahankan sampai bergaduh-gaduh.
Tetapi, akhirnya saya menukar pendirian tersebut.Rupanya, seperti yang dibangkang awalnya, ada satu kuasa yang lebih besar daripada kuasa politik, itulah kuasa pendidikan. Pendidikan di sini bukan bermaksud pendidikan yang bersifat formal semata-mata, tetapi apa-apa proses pencerahan yang disertai oleh maklumat dan pengetahuan yang benar bagi mengubah pemikiran dan tingkahlaku manusia. Informal juga.
Pendidikan adalah proses awal penerokaan manusia. Jika tidak masakan ayat Quran yang pertama turun menjurus kepada pendidikan. Iqra'. Bacalah. Membaca adalah jambatan kepada pengetahuan, suluh kepada pencerahan, senjata kepada kemerdekaan.
Dalam sejarah manusia yang terjajah misalnya, walaupun pendidikan formal dikuasai oleh penjajah, anak negeri yang mendapat pendidikan melalui proses informal, melalui pembacaan, akhirnya bangkit menggugah dan menggempur kuasa penjajah yang jauh lebih berkuasa dari sudut politik dan ekonominya. Akhirnya kuasa politik tumpas kepada kuasa pendidikan.
Ya, kuasa politik penting. Tetapi jika tiada kuasa politik sekalipun, kita harus menggerakkan kuasa pendidikan bagi mengubah pemikiran masyarakat yang akhirnya akan mengubah kuasa politik, daripada politik jahil kepada politik ilmu.Justeru, sediakanlah pendidikan dan akses kepada pembacaan kepada anak-anak kita sedaya yang boleh. Harta yang kita kumpul tak akan menjamin kemerdekaan anak-anak kita daripada kuasa politik. Yang akan membebaskan kita dan anak cucu kita kelak adalah pendidikan. Jiwa yang sarat berilmu akan sentiasa merdeka. Sedang jiwa yang dibelenggu kuasa akan sentiasa terjajah.
Berikut saya petik mesej daripada Ahmad Boestamam dalam Testamen Politik A.P.I. 1946,
"Kita harus mengetahui bahawa kita pemuda Malaya sama ada Melayu, Cina atau India atau lainnya tidaklah ada perbezaannya - tidak ada lebih kurangnya. Kita adalah sama-sama pemuda anak tanah jajahan yang hidupnya terbiar, yang pelajarannya tidak dipentingkan, dan sangat sedikit yang mendapat peluang melanjutkan pelajarannya dan memetik buah pelajaran yang tinggi-tinggi, yang hanya digalakkan menjadi perkakas dan berkuli... "
___________________________
~ Dr Sahul Hamid Mohamed Maiddin ~
Unit Sejarawan
Unit Sejarawan
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________
Comments
Post a Comment