OLEH: Abu Amru Radzi Othman
Gerakan Sufi dapat dikatakan sangat marak di Israel. Pertama kali saya mengetahui perkara ini ketika meneliti agama Ahmadiah di Israel 10 atau 11 tahun lepas. Ketika itu Nas Daily belum muncul di dunia maya.
Dari sini diketahui adanya rakyat Israel yang menganut agama Islam. Terus saya teringat cerita guru kami yang berasal dari Singapura yang mengatakan bahawa antara sebab penduduk Arab tidak mahu keluar berhijrah setelah Israel terbentuk adalah kerana tanah dan pohon zaitun. Ya, kerana pohon zaitun! Ini bukan sebarang pohon Zaitun. Pohon Zaitun mereka berusia ribuan tahun hingga ia dianggap khazanah berharga.
A: Sedikit Pengenalan Tentang Sekte Di Israel
Mungkin tidak ramai yang tahu bahawa di Israel itu wujud 'umat Islam' walaupun jumlahnya tergolong sedikit. Data menunjukkan jumlah umat Islam di Israel sekitar 1.7 juta jiwa bersamaan 18.1%, yang di dalamnya dilonggokkan sekali pelbagai ajaran dan mazhab antaranya agama Ahmadian (Qadiyani) yang kafir, Syiah yang sesat dan ada yang kafir, Ikhwanul Muslimin yang bergerak di bawah Israel's Islamic Movement, serta Hizbut Tahrir yang banyak berpusat di Masjidil Aqsa dan sekitarnya.
Gerakan Israel's Islamic Movement ini diasakan oleh Sheikh Abdullah Nimr Darwish (wafat pada 14 May 2017 di Kafr Qasim, Israel) pada 1971. Awalnya ia bermatlamatkan dakwah dan kebajikan seperti mendirikan masjid dan mengadakan kelas Al Quran da pengajian Islam.
Kemudian di akhir 1970-an, beliau tubuhkan pula Usrat al-Jihad (Family of Jihad), sebuah gerakan jihad di dalam Israel yang berhasrat untuk menubuhkan negara Islam di Palestin. Akibatnya dia dan pengikutnya dipenjara dan dibebaskan 1985.
Pengajaran dari dipenjara itulah menyebabkan Gerakan Israel's Islamic Movement mengambil tindakan kontroversi pada 1989 untuk terjun dalam politik parti. Parti ini dikenal sebagai Parti Ra'am.
Sangat menarik apabila Parti Ra'am yang berjiwakan Ikhwanul Muslimin menyertai kerajaan gabungan yang dipimpin oleh Naftali Bennett dan Yair Lapid pada 2021. Pada pilihan raya 2022, Parti Ra'am kembali kepada posisi pembangkang.
Berkenaan dengan Hizbut Tahrir pula, gerakan ini sudah lama bertapak di wilayah Palestin sebelum pembentukan negara haram Israel lagi. Syeikh Taqiyuddin An-Nabhani telah menubuhkan gerakan ini pada 1953 di Baitul Maqdis.
Setelah pendudukan Israel, pengikut Hizbut Tahrir aktif bergerak di dalam negara haram tersebut terutama di Baitulmaqdis Timur dan bandar-bandar Arab Israel seperti Umm al-Fahm.
Pada tahun 2016, Menteri Keselamatan Awam Israel Gilad Erdan menyatakan hasrat untuk mengharamkan Hizb ut-Tahrir kerana ideologi mereka yang radikal dikaitkan dengan ideologi ISIS dan sikap anti-Israel. Namun agensi keselamatan Shin Bet menentangnya hasrat tetsebut kerana beralasan dengan membenarkan organisasi ini beroperasi secara terbuka lebih baik agar mudah dipantau, berbanding jika mereka beroperasi secara rahsia.
(Sebagai catatan berkenaan dengan akidah Hizbut Tahrir, sebenarnya mereka adalah Neo-Mu'tazilah di zaman ini)
Aliran Syiah dan agama Qadiyani a.k.a Ahmadiah itu rasanya tidak perlu kerana hampir semua mengetahui akan keadaan akidah mereka.
(Akan bersambung ke Bahagian B: Sufisme Di Israel)
Catatan:
Gambar di bawah ialah Masjid Mahmood di Haifa, sebuah masjid agama Qadiyahi @ Ahmadiah. Boleh lihat ada tulisan Hebrew di gegantung yang tersangkut di pagar masjid.

B: Sufisme Di Israel
Ada sebab kenapa saya tidak menyatakan tentang ideologi Sheikh Abdullah Nimr Darwish dan Israel's Islamic Movement di bahagian A. Ini kerana mereka adalah aktivis yang mendokong Ikhwanul Muslimin. Dan Ikhwanul Muslimin itu sebuah gerakan Islam modernis dengan nuansa spiritual sufi (khususnya dari warisan Hasan al-Banna).
Bapa Hasan al-Banna yang bernama Sheikh Ahmad bin Abdul Rahman As-Sa’ati merupakan ulama sufi sehingga Al-Banna membesar dan tumbuh dalam lingkungan tarikat. Di Damanhur, Hasan al-Banna mengambil Tariqah Al-Husofiyyah As-Syaziliyyah pada 4 Ramadan 1342 dari Sheikh Abdul Wahab Al-Husofi.
Hasan al-Banna ingin melahirkan 'Sufi Askari'. Oleh itu beliau beberapa unsur sufi dalam gerakannya. Penggunaan gelar 'mursyid' yang sinonim dengan Sufi dipakai oleh Ikhwanul Muslimin dengan Hasan al-Banna menjadi Mursyidul Am pertama.
Jika Ikhwanul Muslimin terbentuk di benua Afrika (Mesir), maka sebuah gerakan sufi yang pada hari ini dapat dikatakan paling terbesar muncul di Anak Benua Asia (India), itulah Jamaah Tabligh. Namun kaedah dan metodologi dakwah mereka berbeza sama sekali dengan Ikhwanul Muslimin. Ini kerana Tabligh memusatkan perhatian kepada dakwah individu & pembaikan iman-amal. Dan juga Tabligh hanyalah cabang dari sebuah gerakan yang lebih besar. Sementara Ikhwanul Muslimin pula adalah induk gerakan dengan lahirnya banyak gerakan dibawahnya.
Induk kepada Jamaah Tabligh adalah Darul Ulum di Deoband, India. Berawal dari matlamat menyebarkan ilmu dan mendidik umat, maka dari Darul Ulum itu lahir tiga gerakan:
- Dakwah: Jamaah Tabligh
- Politik: Jamiat Ulema-e-Hind / Jamiat Ulema-e-Islam (JUI)
- Jihad: Taliban, Hizb-i Islami, Al-Qaedah, dan lain-lain
Kegigihan Jamaah Tabligh dalam berdakwah sangat tinggi. Boleh dikata tidak ada tempat yang mereka tidak akan masuk termasuklah Israel. Pemerintah Israel membenarkan Tabligh membuka banyak markaz di negara haram tersebut. Dianggarkan terdapat 24 markaz Tabligh di beberapa tempat termasuk di Hebron dan Lod - tidak jauh dari Ben Gurion International Airport. Namun Tabligh tidak membuka markaz di Baitulmaqdis kerana tidak mahu menyinggung perasaan umat Yahudi.
Harus kita ketahui aktiviti sufi telah ada di di Israel sebelum negara itu terbentuk. Aktiviti sufi hampir terhapus ketika Perang 1948, kemudian sebahagiannya kembali pulih selepas terjalinnya semula hubungan antara rakyat Palestin di Israel dan di Tebing Barat serta Gaza. Kemudian sekali lagi terganggu ketika terjadinya Intifada Kedua (juga dikenali sebagai Perang Oslo alias Intifada Al-Aqsa (2000–2005)).
Untuk saling mengenal dan meraikan antara umat Yahudi dan Muslim agar keamanan tercipta di Israel maka harus dicari satu titik persamaan antara kedua umat ini. Akhirnya dipilih jalan mistik sebagai wadah penyatuan. Gerakan Derekh Avraham juga disebut Tariqat Ibrahimiyya mula muncul di Israel sekitar tahun 2000, sebagai usaha wawasan baru dalam perhubungan Yahudi–Muslim melalui praktik sufisme bersama. Gerakan ini dipelopori oleh Avraham Elkayam, Roberto Arbib, Khalid Abu Ras, dan Paul Fenton.
Ia merupakan pendirian moden yang mengambil inspirasi daripada tradisi mistik bersama dalam sejarah, khususnya masa Al-Andalus dan Fustāt (Mesir) yang dianggap sebagai warisan bersama Yahudi dan Muslim dalam pengamalan sufisme.
Sementara itu jauh dari penempatan manusia, berlangsung Festival Sufi setiap tahun betmula dari 2012. Selalunya festival ini diadakan beberapa hari di padang pasir yang hening - jauh dari hiruk pikuk. Alunan muzik sufi, zikir, dan amalan spiritual lainnya, deklamasi puisi rohani, mendengarkan karya-karya Al-Rumi, dialog rohani serta tarian dervish yang dipimpin orkestra khas, simbol pencapaian kesatuan rohani.
Festival Sufi ini menjadi ruang inklusif bagi pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira agama, latar belakang, generasi untuk bersama-sama mengalami spiritualitas sufi secara langsung.
Sehingga kini sudah 13 kali para sufi dari pelbagai agama berdansa di gurun Israel.

Comments
Post a Comment