Pendapat Berkaitan Gelaran Duli Yang Maha Mulia (DYMM)

OLEH: Dr Sahul Hamid Mohamed Maiddin


Kebetulan YDPA letak jawatan ni saya nak berkongsi pendapat berkenaan gelaran DYMM. Ada dua tiga status sahabat fb yang saya lihat beberapa hari ini membincangkan gelaran tersebut.

Benarkah Yang Maha Mulia itu merujuk kepada Allah Yang Maha Mulia? Duli adalah debu. Jadi pendapat yang saya baca tersebut menyimpulkan gelaran tersebut merujuk kepada kedudukan Raja sebagai debu Allah. Simbolik katanya. Walau bagaimanapun saya tak bersetuju dengan pendapat tersebut. Bagaimana kalau gelaran Duli Yang Teramat Mulia? Apakah merosot darjatNya? Maha Suci Allah daripada sebarang kekurangan. Tidak. Yang Maha Mulia atau Teramat Mulia tidak merujuk kepada Allah. Begitu pendirian saya.

Pandangan saya begini.
Semua manusia adalah Duli. Iaitu debu. Dalam kesemua debu itu, Agong atau Sultan atau Raja merupakan Debu Yang Maha Mulia. Debu yang paling tinggi kedudukannya dalam kalangan manusia. Bagi Duli Yang Teramat Mulia pula, yang biasanya merujuk kepada Raja Muda atau Tengku Mahkota, kedudukannya di bawah sedikit daripada Maha, tetapi masih mulia berbanding debu biasa, iaitu rakyat bawahan.

Begitu asas perbincangannya. Ini hanya merujuk kepada istilah gelaran. Saya tak merujuk kepada sistem feudalisme atau dari sudut kesamarataan status manusia. Itu lain perbincangannya. Jika ada yang merasakan 'Maha' tidak boleh digunakan untuk manusia, maka saya katakan, itu kurang betul (walaupun saya juga pernah berpandangan begitu) . Yang dirujuk di sini adalah 'greatest' dalam kalangan manusia sahaja. Tidak ada kaitan unsut ketuhanan. 'Maha' itu berasal daripada bahasa Sanskrit yang bermaksud 'the greatest'.
Kita biasa menggunakan 'maha' untuk siswa. 'Mahasiswa'. Juga 'mahaguru' untuk guru yang tertinggi. Tidak menjadi masalah.

Ini sekadar pandangan saya. Sekiranya ada bantahan dialu-alukan. Bincanglah dengan laras bahasa yang molek. Terima kasih.

___________________________
Dr Sahul Hamid Mohamed Maiddin ~
Unit Sejarawan
_____________________________

Comments