DITERJEMAH OLEH: Jaber Soh
Dia seorang Ulama yang soleh lagi warak, dan zuhud terhadap nikmat dunia. Dia setia dengan kebenaran, dan akan berpuasa selang sehari, seperti puasa Nabi Daud.
Dia Ulama yang mahir dalam bidang fiqh dan hadith, dan dia antara Ulama Hadith yang paling hebat pada zamannya, di mana dia mengambil riwayat dari At-Tabarani dan Ibn Qutaybah. Antara murid-muridnya adalah Ad-Daraqutni, Ali ibn Umar Al-Halabi dan lain-lain.
Kisah Abu Bakr An-Nablusi masyhur kerana dia giat melawan Kerajaan Syiah Fatimiyyah di Mesir.
Abu Bakr An-Nablusi lari ke Damsyik apabila Kerajaan Syiah Fatimiyyah bawah pimpinan Al-Mu'iz Ad-Dinillah menawan Palestine, Kerajaan Syiah Fatimiyyah memaksa penduduknya mencaci Para Sahabat di atas mimbar, melarang orang ramai Solat Tarawih dan Solat Dhuha, dan juga memaksa rakyatnya berdoa qunut pada Solat Zohor.
Abu Bakr An-Nablusi sangat benci dengan kesesatan dan kejahatan Kerajaan Syiah Fatimiyyah sehingga dia sering berkata:
"Jika aku ada 10 tombak, aku akan lemparkan 1 tombak kepada Orang-orang Rom, dan aku akan lemparkan 9 tombak kepada pemerintah Fatimiyyah yang kejam ini."
Ditakdirkan pula Kota Damsyik jatuh ke tangan Kerajaan Syiah Fatimiyyah. Abu Bakr An-Nablusi ditangkap dan dihantar ke Mesir.
Sampai di Mesir, Abu Bakr An-Nablusi dihadapkan kepada Al-Muiz Li Dinillah. Al-Mu'iz Li Dinillah berkata kepada Abu Bakr An-Nablusi:
"Aku telah dikhabarkan bahawa kamu pernah berkata jika seseorang itu mempunyai 10 tombak, dia harus melemparkan 1 tombak kepada Orang-orang Rom dan 9 tombak kepada kami!"
Abu Bakr An-Nablusi menjawab:
"Aku tidak pernah berkata demikian!"
"Jadi, apakah kenyataan kamu sebelum ini?"
"Jika seorang lelaki mempunyai 10 tombak, dia harus melemparkan 9 tombak kepada kamu, dan juga melemparkan tombak yang ke sepuluh kepada kamu juga!"
Al-Mu'iz Li Dinillah terkejut dan berkata:
"Mengapa?"
"Kerana kamu mengubah agama Umat ini, kamu membunuh Orang-orang Soleh, kamu cuba memadamkan cahaya kebenaran, dan kamu merampas harta yang bukan milik kamu!"
Maka Abu Bakr An-Nablusi dibawa keluar. Dia disebat pada keesokan harinya dan pada hari Ketiga, dia disalib.
Seorang pemotong daging beragama Yahudi dipanggil - kerana tiada penjual daging Muslim yang sanggup - untuk mengupas/siat kulitnya.
Pemotong daging itu siat kulit Abu Bakr An-Nablusi bermula dari kepalanya sehinggalah ke mukanya, dan sepanjang proses kulitnya disiat, Abu Bakr An-Nablusi terus berzikir dan mengulangi ayat Al-Quran:
كَانَ ذَٰلِكَ فِي الْكِتَابِ مَسْطُورًا
Yang demikian itu telah tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuzh).
[Surah Al-Isra, ayat 58]
Orang-orang ramai yang menyaksikan kejadian itu menyatakan bahawa suara bacaan Al-Quran dapat didengari dari mayat Abu Bakr An-Nablusi.
Ibn Ash-Sha'sha Al-Misri meriwayatkan bahawa dia berjumpa dengan Abu Bakr An-Nablusi di dalam mimpinya setelah kematiannya. Abu Bakr An-Nablusi kelihatan sangat indah dan gembira. Maka Ibn Ash-Sha'sha Al-Misri bertanya kepada Abu Bakr An-Nablusi:
"Apakah yang Allah telah lakukan pada anda?"
"Rabb' aku telah mencintai aku dengan kemuliaan yang kekal. Dia telah mendekatkan aku pada-Nya dan menjadikan aku wali-Nya.
Dan Dia (Allah) berfirman:
"Bergembiralah dengan kehidupan yang kekal di samping Aku."
[Ringkasan dari Al-Bidayah wa An-Nihayah, 11/241]
___________________________
~ Jaber Soh ~
Lajnah Sejarah Dan Tradisi
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________
Comments
Post a Comment