Fakta Sejarah Selalu Ditafsir Berbeza Mengikut Kepentingan Aliran

OLEH: Abu Amru Radzi Othman



Fakta sejarah adalah satu kejadian yang terbukti telah terjadi. Tetapi 'tafsiran sejarah' adalah penceritaan tentang sebab akibat yang berkaitan tentang kejadian yang terjadi.

Contohnya

Fakta: rumah Ahmad terbakar
Tafsiran : kebakaran sebab tidak matikan lilin

Namun terkadang pihak yang terlibat dalam sesuatu fakta sejarah akan mentafsirnya berdasarkan 'kehendak' mereka. Maksudnya adalah pencerita kepada fakta sejarah menggiring orang yang disampaikan fakta tersebut untuk melihat sebab-akibat melalui 'pandangan matanya'. Lalu jadilah sebuah fakta sejarah memiliki banyak varians.

Kerana itu Herodutus pernah berkata "sejarah adalah bagi pihak yang menang' kerana selalunya pihak yang berkuasa akan menjadikan tafsiran sejarah miliknya sebagai 'baku' dan secara langsung tafsiran yang berbeza akan beransur-ansur hilang dan dilupakan.

Saya membaca kisah Aceh menyerbu negara di Semenanjung Tanah Melayu sebanyak 14 kali pada pemerintahan Sultan Iskandar Muda. Masih ingat bagaimana Kedah dilanggar sehingga Sultannya ditangkap dan dibawa ke Aceh. Lalu muncullah Hikayat Puteri Lindungan Bulan!

Begitu pula Pahang, Terengganu, Perak dan Johor yang telah diserang oleh Aceh. Dalam catatan sejarah kita, dikatakan bahawa pada serangan kali terakhir oleh Aceh di Johor, mereka memusnahkan kota raja sehingga ranap.

Selain Sultan Kedah di tangkap dan dibawa ke Aceh, Sultan Pahang dan Sultan Johor juga mengalami nasib yang serupa.

Itulah fakta sejarah. Namun apa yang ditafsir terhadap 14 peperangan yang dilancarkan oleh Sultan Iskandar Muda ini?

Mungkin kita akan mengatakan bahawa kerakusan Aceh untuk menjadi Adi-Negara dan menguasai laluan perdagangan agar Aceh kaya raya dan makmur.

Ini adalah tafsiran negeri yang diserang oleh Aceh. Sebaliknya tafsiran dari sudut pandang bangsa Aceh sangat berlainan.

Aceh menerima pelarian dari Melaka setelah Melaka tewas kepada Portugis. Sementara itu pengaruh ulama' sangat kuat dalam negara Aceh seperti Sulaiman Sumantari dan Ar Raniri.

Dengan alasan menjaga Islam, menghancurkan kaum kafir, membela bangsa Melayu dan mengembalikan Melaka serta negeri Melayu kepada kebebasan, maka Aceh menyerang negeri-negeri yang dijajah atau condong kepada kuasa Kafir.

Setelah berhasil menawan Sultan dan Putera Mahkota, Aceh membawa pulang 'tawanan' ini dengan tujuan:

1) Brainwash supaya membenci penjajah kafir dan Barat
2) Belajar agama dengan ulama' Aceh

Contohnya Sultan Johor adalah kaki mabuk dan dengan pintu inilah baginda dipengaruhi barat tatkala dihadiahkan dengan minuman keras buatan barat yang cukup 'lazat'. Setelah ditangkap dan di bawa ke Aceh, Sultan Johor sudah dapat tinggalkan tabiatnya dan kembali hidup bersyariat.

Para Sultan yang ditangkap tidak dilayan sebagai tawanan tetapi sebagai 'Tetamu Diraja'. Malah ada putera makhota yang dikahwinkan dengan puteri Aceh seperti Putera Mahkota Pahang dan Putera Mahkota Johor.

Tindakan Aceh melanggar Johor kali terakhir sehingga istana Johor hancur tak tersisa lantaran Sultan Johor yang telah berjanji untuk tidak mentaati orang Kafir dan akan menolong Aceh membebaskan Melaka, tidak ditunaikan oleh Sultan Johor. Ketika inilah Sultan Johor dipancung walhal sebelum itu dia dianggap tetamu diraja.


___________________________
~ Abu Amru Radzi Othman ~
Lajnah Sejarah Dan Tradisi
_____________________________






Dapatkan buku Menangkis Fitnah Yang Terpalit Pada Bani Umayyah! Untuk keterangan lanjut sila KLIK DI SINI .

Comments