OLEH: Raja Adley Paris
MS Maxwell 24 (c) Silsilah Melaka Kerajaan Negeri Perak yang secara jelas mengesahkan kenyataan tersebut :
‘Pertama-tama Raja Melayu yang naik takhta kerajaan negeri Perak itu ialah SULTAN MUZAFFAR SHAH ALMARHUM TANAH ABANG.’
Menurut keterangan Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin) versi W.G. Shellabear (1991: 152-153) yang mencatatkan bahawa Sultan Muzaffar Shah I atau nama sebenarnya Raja Muzaffar merupakan putera kepada Almarhum Sultan Mahmud Shah ibn Almarhum Sultan Alauddin Riayat Shah dengan salah seorang isteri baginda yang bernama Puteri Onang Kening (puteri Raja Kelantan):
‘Maka Puteri Onang Kening itu diperisteri oleh Sultan Mahmud Shah, beranak tiga orang; yang tua perempuan bernama Raja Mah, yang tengah laki-laki bernama Raja Muzaffar, yang bongsu perempuan bernama Raja Dewi.’
Kedudukan Raja Muzaffar sebagai Raja Muda tidak berkekalan lantaran kelahiran adindanya, Raja Ali (Raja Kechil Besar) ibn Sultan Mahmud Shah yang kemudiannya dilantik sebagai Sultan Muda oleh ayahanda baginda sendiri.
Terdapat sekurang-kurangnya dua riwayat yang menceritakan kedatangan Raja Muzaffar ke negeri Perak Darul Ridzuan.
Riwayat pertama yang bersumberkan daripada naskhah Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) versi MS Raffles No. 18 (2009: 247-248) yang mengisahkan bahawa Raja Muzaffar bersama isterinya, Tun Terang telah diusir oleh Orang-orang Besar selepas ayahanda baginda, Sultan Mahmud Shah (Marhum Mangkat di Kampar) mangkat. Hal ini menyebabkan baginda sekeluarga telah meninggalkan Kampar lalu ke Siak dan Kelang. Semasa di Kelang, keberadaan baginda disedari oleh seorang saudagar dari Manjung bernama Sik Mi (Mai @ Siwa Maya) yang sering menjalankan perniagaan dari Perak ke Kelang. Beliau telah bertanggungjawab membawa dan merajakan baginda di negeri Perak bergelar Sultan Muzaffar Shah.
Manakala riwayat kedua yang dianggap lebih masyhur dalam kalangan rakyat negeri Perak serta termaktub dalam rekod rasmi Kerajaan Negeri Perak pula mengisahkan bahawa sewaktu Sultan Mahmud bersemayam di Kampar, rombongan orang-orang Perak yang diketuai oleh Tun Saban Balik dan Nakhoda Kassim telah datang mengadap baginda memohonkan salah seorang putera baginda untuk dirajakan di Perak kerana pada waktu itu negeri tersebut tidak mempunyai raja. Sultan Mahmud berkenan dengan permintaan tersebut lalu mengurniakan puteranya bernama Raja Muzaffar untuk dirajakan di negeri Perak. Dinyatakan bahawa Raja Muzaffar juga turut dikurniakan alat-alat kebesaran seperti baur yang berupa sebilah pedang Cura Si Manja Kini, sebilah keris, sebuah cap (Cap Kayu Kempa) yang berlorek perkataan ‘Sultan Muhammad Shah Zillullah fil a’lam’, Nobat dan Surat Chiri.
Menurut keterangan buku ‘Makam-makam Di-Raja dan Beting Beras Basah’ (1985) Raja Muzaffar pun belayar bersama isteri baginda bernama Tun Terang, putera baginda Raja Mansur dan pengiring-pengiring termasuklah Megat Teraweh Ibni Daulat Pagar Ruyong. Baginda singgah di Kelang dan Siak. Semasa berada di Kelang baginda telah bertemu dengan Nakhoda Tumi, iaitu orang Manjung yang selalu berulang alik berniaga dari Perak ke Kelang. Nakhoda Tumi pun membawa baginda ke Perak. Akhirnya bahtera kenaikan baginda pun sampai ke Beting Beras Basah di Kuala Sungai Perak. Dengan takdir Allah, bahtera kenaikan baginda tersangkut pada beting , beberapa kali dilayarkan orang tidak juga mahu terlepas. Melihatkan masalah itu, Raja Muzaffar pun bersawab-sawab titahnya:
“Sekongkong Tanah Minangkabau
Selilit Pulau Perca
Di lengkong Ular Saktimuna
Perpisahan Beta di Selat Melaka
Jika sah Beta Raja berdaulat
Lepaskan sekalian malapetaka.”
Maka disahut oleh Tun Saban dan sekalian hamba rakyat yang menanti di situ dengan teriakan ‘Daulat Tuanku’ sebanyak tiga kali. Setelah itu bahtera kenaikan baginda pun terlepas masuk ke muara lalu mudik mengikut batang hari Sungai Perak. Menurut M.A. Fawzi Basri (1986:15-16) bahtera kenaikan baginda mudik ke hulu sehingga ke suatu tempat bernama TANAH ABANG yang bermakna ‘TANAH MERAH’ iaitu Teluk Bakong dan pada tahun 1528, Raja Muzaffar ditabalkan sebagai Sultan Perak yang pertama bergelar Sultan Muzaffar Shah. Semasa pertabalan baginda itu, Tun Saban dan Tok Temong datang mengadap dan membawa persembahan 77 ekor gajah sebagai hadiah daripada rakyat di Hulu Perak dan Temong di samping turut menghadiahkan Geliga Embun yang kini menjadi sebahagian daripada alat-alat kebesaran Kerajaan Perak.
Menurut Sulalatus Salatin versi MS Raffles No. 18 (2009: 248), perkahwinan Sultan Muzaffar Shah dengan isterinya, Tun Terang binti Tun Ali telah dianugerahkan beberapa orang putera dan puteri iaitu Raja Mansur, Raja Dewi, Raja Ahmad, Raja Abdul Jalil, Raja Fatimah, Raja Hatijah dan Raja Tengah. Baginda juga mempunyai seorang anak lelaki yang bernama Raja Muhammad (putera gundik). Sulalatus Salatin tidak menyebut nama gundiknya itu secara jelas namun terdapat rekod salasilah raja-raja di Perak yang menyebut bahawa baginda telah mengahwini salah seorang anak perempuan Tun Saban Balik yang bernama Tun Merah.Baginda telah memerintah negeri Perak selama kurang lebih 21 tahun dan mangkat pada tahun 1549 lalu dimakamkan di Tanah Abang. Teraju pemerintahan negeri Perak kemudiannya telah digantikan oleh puteranya iaitu Raja Mansur yang memakai gelaran Sultan Mansur Shah (Sultan Perak ke-2, 1549-1577, Marhum Kota Lama).
Deskripsi yang agak terperinci mengenai keadaan fizikal makam Almarhum Tanah Abang telah diberikan Dato’ Setia Bijaya Di Raja Jeragan Abdul Shukor (1907: 97) dalam laporannya yang berjudul ‘List of Graveyards of the Late Sultans of the State of Perak’. Laporan tersebut memberi perincian mengenai keadaan seluruh Makam Raja-raja Negeri Perak pada awal abad ke-20 seperti yang telah diperintahkan oleh Almarhum Sultan Idris Murshidul A’dzam Shah ibn Raja Bendahara Alang Iskandar (Sultan Perak ke-28, 1889-1916, Marhum Rahmatullah). Laporan tersebut antara lain menyebut:
‘Paduka Sri Sultan Mothaffar Shah, the first Ruler of the State of Perak was the son of the late Sultan Mahmud Shah, of the State of Kampar, (Sumatra). His former name was Raja Mothaffar Shah, and the length of time he was on the throne is unknown. The situation of his graveyard is at Tanah Abang, Ayer Mati, in the mukim of Lambor Kanan, Kuala Kangsar District.
His graveyard is on a mound or platform and surrounded by a wall. His daughter’s grave is on the right of the platform and that of his wife on the left; his ‘Guru’ (religious teacher) named Syed Hussein, is also on his left. Four graves are on the platform. His tombstones are beautiful and clearly engraved by Acheen people of former days. They are broken and cracked. If his graveyard monument is to be renewed the ‘ganti badan’ stone (i.e. a stone placed over the grave, extending from the head to the feet, to represent the body) should be made and his name be inscribed on this stone. His tombstones could be utilized again but the breaks and cracks should be mended with cement.’
Menurut N. A. Halim (1981: 27-28), makam baginda telah digazetkan pada 30 Mac 1978. Gazet No. P.U. (A) 87 Daerah Perak Tengah, Mukim Lambor Kanan, Lot No. 1720. Luasnya 59’-0” X 55’-0”. Rujukan Fail Jabatan Muzium JM/M/701/PK5(16).
SUMBER
A. Halim Nasir. (1977). Sejarah Perak. Kuala Lumpur: Jabatan Muzium., hlm. 99-116.
Ceridwan, Amelia. (2001). ‘The Silsilah Raja-raja Perak I: An Historical and Literary Investigation into the Political Significance of a Malay Court Genealogy.’ Dlm. Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society. Jil. LXXIV. Bah. 2. Kuala Lumpur: MBRAS., hlm. 95.
Cheah Boon Kheng. (1998). Sejarah Melayu: The Malay Annals. Kuala Lumpur: MBRAS., hlm. 298-299.
Irham Aqil bin Zulkifli. (2018). Kesultanan Perak: “Menjejaki Makam Para Sultan.” Kuantan: Geroda Merah Press., hlm. 34-37.
Jeragan Abdul Shukor. (1907). ‘List of Graveyards of the Late Sultans of the State of Perak.’ Dlm. The Journal of the Strait Branch of the Royal Asiatic Society. Jil. 48., hlm. 97.
M.A. Fawzi Basri. (1986). Cempaka Sari: Sejarah Kesultanan Negeri Perak. Ipoh: Yayasan Perak., hlm. 14-16.
Makam-makam Di-Raja dan Beting Beras Basah. (Nov. 1985). Diterbitkan oleh Jawatankuasa Kecil Cenderamata, Pingat Pertabalan & Tanda Kenangan Pertabalan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak.
MS Maxwell 24 (c) Silsilah Melaka Kerajaan Negeri Perak (A Genealogical History of the King of Perak) – Royal Asiatic Society, London.
Muhammad Haji Salleh. (2009). Sulalat al-Salatin ya’ni Perteturan Segala Raja-raja (Sejarah Melayu). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka & Yayasan Karyawan., hlm. 247-248.
N.A. Halim. (1981). Tempat-tempat Bersejarah Perak. Kuala Lumpur: Jabatan Muzium., hlm. 27-28.
Shellabear, W.G. (1991). Sejarah Melayu. Petaling Jaya: Penerbitan Fajar Bakti Sdn. Bhd., hlm. 152-153.
Winstedt, R.O. & Wilkinson R.J. (1974). A History of Perak. Reprint No. 3. Kuala Lumpur: MBRAS., hlm. 125.
___________________________
~ Raja Adley Paris ~
Sahabat PENA
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________


Comments
Post a Comment