Pemahaman Imperial China Terhadap Geo-Politik Asia Tenggara Pada Sekitar 800 Masihi

OLEH: Abu Zabag


Seperti yang diyakini oleh para sejarawan dan sinologis, pengetahuan Imperial China tentang sesebuah negara asing itu biasanya diperolehi melalui perkhabaran dari duta-duta asing, pengembaraan oleh cendikiawan-cendikiawan China, pedagang-pedagang asing dan sebagainya. Kadang-kadang pengetahuan yang diperolehi itu tidak selari dengan keadaan sebenar geo-politik serantau. Duta-duta asing dalam kes tertentu menyembunyikan fakta sebenar untuk mengelak dari sebarang pertikaian atau dikenakan tindakan/hukuman kerana melanggar peraturan-peraturan yang ditetapkan, misalnya menyerang atau menduduki negara yang berada di bawah perlindungan Imperial China. Bagaimanapun secara keseluruhan, dari kebanyakan kes, data-data tentang negara asing dari akaun China dianggap berotoriti dan konsisten.

Berdasarkan keadaan geo-politik Asia Tenggara pada sekitar 800 masihi yang digambarkan oleh Buku Sejarah Tang Baru (Xin Tang Shu) khususnya melalui artikel Jalan laut yang dikompilasikan oleh Kia-tan, kita dapat melihat bahawa negara Śrīvijaya dan negara Keling masih dianggap oleh Imperial China sebagai dua negara berasingan yang mana kedudukan geografinya hanya bersebelahan antara satu sama lain. Namun realitinya, pada ketika itu Śrīvijaya dan Keling adalah dua negara dalam satu entiti politik yang sama (juga negara Kedah, Ko-ko-lu dan Ko-ko-seng-chih. Negara Khmer Hilir dan Champa juga sudah berada dalam penguasaan Śailendra pada ketika ini). Lokasi sebenar negara Keling adalah di pulau Jawa. Oleh kerana Śailendra yang menguasai kerajaan Keling ketika itu menggunakan kota pelabuhan di Semenanjung Tanah Melayu (Latitud: 6’ 44” Utara --> Yarang) sebagai pusat pengumpulan barang dagangan untuk dihantar ke China, maka pegawai-pegawai China difahamkan negara Keling berlokasi di Semenanjung. Śailendra ketika itu mewakili keseluruhan kumpulan Śrīvijaya dalam misi penghantaran ufti-perdagangan dengan China. Dengan kata lain, barang-barang dagangan yang diuftikan oleh negara Keling kepada Imperial China itu adalah datang dari keseluruhan kumpulan Śrīvijaya yang dikumpulkan di Yarang. Ia bermula pada 760an masihi setelah dinasti Śailendra yang berpusat di pulau Jawa diangkat untuk menerajui kemarajaan Śrīvijaya. Śrīvijaya yang mana lokasinya di Singora telah menghentikan pengutusan ufti-perdagangan ke Imperial China setelah diduduki Khmer pada 740an masihi. Setelah berjaya menumpaskan Khmer, Śailendra menyambung pengutusan ufti-perdagangan ke Imperial China sejak 768 masihi. Sebelumnya pada 680an masihi, Śrīvijaya melalui Śailendra telah menduduki negara Keling di pulau Jawa yang mana negara Keling pada ketika itu berada di bawah perlindungan Imperial China. Bagaimanapun, fakta ini nampaknya telah disembunyikan dari pengetahuan Imperial, sepertimana fakta pendudukan Khmer ke atas Śrīvijaya pada 740an masihi.

Ia sekian lama membingungkan sejarawan kenapa Buku Sejarah tang Baru (Xin Tang Shu) menggambarkan negara Keling terletak di Semenanjung Tanah Melayu. Ada yang menganggap penulis Tang tersalah faham, ada yang mendakwa “musim panas solstis” sepatutnya ditukarkan kepada “musim sejuk solstis” dan ada juga yang menganggap lokasi Negara Keling memang dari awal terletak di Semenanjung, iaitu sama ada di Tamralinga atau di Kedah. Namun, realitinya negara Keling memang berlokasi di pulau Jawa (Jawa Tengah).

Nota: Kia-tan adalah seorang yang terlibat dalam kerja kompilasi itenari-itenari Jalan Laut dari Guangzhou ke Teluk Parsi. Pengetahuan beliau ini dipercayai diperoleh dari pedagang-pedagang asing yang kerap berkunjung ke Guangzhou dan kota-kota di China. Justeru ia tidak boleh dianggap sepenuhnya tepat. Bagaimanapun, untuk zon Asia Tenggara ia masih konsisten dengan data-data lain yang terkandung dalam Buku Sejarah Tang Baru (Xin tang Shu). Kia-tan telah membuat kerja mengkompilasikan itenari-itenari ini antara tahun 795 – 805 masihi. Justeru, gambaran yang diberikan itu jelas merujuk kepada keadaan geo-politik pada sekitar 800 masihi.


Petikan dari Itenari Jalan Laut Kia-tan (zon Asia Tenggara):

“Dari Kiün-t’u-lung (Pulau Kundur, di selatan bandar Ho Chi Minh, Vietnam), selepas 5 hari, seseorang akan sampai di sebuah selat yang orang asing memanggilnya “Chih”. Ia berukuran 100 li (~ 40 km) dari utara ke selatan. Di pantai utaranya terletak negara Lo-yueh (bahagian paling utara Semenanjung, termasuk Tanintharyi, Ratchaburi dan Phetchaburi) dan di pantai selatannya terletak negara Fo-shih (Śrīvijaya). Menghala ke timur dari Śrīvijaya, dalam 4-5 hari, seseorang sampai di negara Ka-ling/Ho-ling (Keling), iaitu pulau terbesar di selatan. Seterusnya, menghala ke timur (barat?) setelah keluar dari sebuah selat (sebuah lagi selat), dalam 3 hari seseorang akan sampai di negara Ko-ko-seng-chih (Dumai-Bengkalis) yang terletak di pulau satu lagi, ke arah barat lautnya adalah Fo-shih (Śrīvijaya). Kebanyakan penghuninya adalah lanun. Kapal-kapal yang menempuh diganggu oleh mereka. Di pantai utara selat itu adalah negara Ko-la (Kedah). Menghala ke barat (barat laut?) dari Kedah adalah negara Ko-ku-lo (Takuapa). Seterusnya, dari Ko-ko-seng-chih (Dumai-Bengkalis), selepas 4-5 hari seseorang akan sampai di Pulau Shöng-töng (Kota China?). Kemudian ke arah barat selepas 5 hari seseorang akan sampai di negara P’o-lu (Balus). Kemudian selepas 6 hari perjalanan seseorang akan sampai di Pulau K’ie-lan dalam negara P’o (Langabalus). Kemudian ke arah utara (barat?), selepas 4 hari seseorang akan sampai di negara Singa (Sri Lanka).


___________________________
~ Abu Zabag ~
Sahabat PENA

Comments