Bagaimana Mahu Fasih Ilmu Sejarah?

OLEH: Dr Sahul Hamid Mohamed Maiddin


Ramai orang pernah bertanya kepada saya - dengan muka yang senget-senget dan kelat-, baik mahasiswa mahupun publik, bagaimana mahu menguasai ilmu Sejarah?

Jawapan saya. Tidak ada pilihan lain kecuali membaca. Membaca sejarah bermula dengan inkuiri. Kalau membaca bahan sejarah sekadar untuk menjawab peperiksaan, maka setakat peperiksaan sahajalah kekal ilmunya. Usai periksa, shift+delete automatik.

Bagaimana caranya membaca dengan inkuiri? Pertama, timbulkan persoalan tentang hal yang ingin diketahui. Contoh: Saya mahu tentang kewujudan masyarakat majmuk. Di Malaysia asalnya hanya orang Melayu, lalu bagaimana ada pelbagai rupa kaum kini? Cari jawapannya melalui bahan Sejarah. Contoh lain, saya tertanya-tanya mengapa politik negara ini susunannya demikian rupa? Ada Agong, ada PM. Ada sembilan raja pula. Mengapa dan bagaimana? Jawapannya, dapatkan buku dan bahan yang berkaitan.

Kedua, kaitkan bahan yang dibaca dengan keadaan semasa atau jangkakan masa hadapan daripada hasil bacaan sejarah tersebut. Jika kita membaca berkaitan DEB, nilaikan kejayaannya hari ini. Dan fikirkan kemungkinan jika dasar seperti DEB diperlukan pada masa hadapan. Jika tiada DEB apakah yang mungkin berlaku?

Ketiga, timbulkan minat sebelum membaca. Baca untuk ilmu bukan untuk periksa. Jangan paksa diri untuk membaca kerana otak kita tidak akan menyimpan memori tersebut untuk jangka panjang.

Keempat, kongsikan ilmu. Bawa berbincang dengan kawan. Ceritakan kepada kawan-kawan isi yang dibaca. Cuba tarik minat mereka untuk mengetahui sesuatu yang tak pernah diketahui. Saat ada kawan yang mengatakan "Oh, begitu rupanya. Aku baru tahu harini." Saat itu akan akan ada lonjakan perasaan bahawa kita sudah menguasai ilmu baharu. Dan ia pula bermanfaat untuk dikongsi. Fikirkan, semakin banyak yang dibaca, semakin banyak ilmu, semakin banyak bahan kita untuk dikongsi. Ia meningkatkan 'social skill' kita. Saham pun naik.

Kelima, baca untuk mencari jawapan bagi persoalan, bukan hanya baca bahan yang menepati andaian jawapan yang kita mahukan. Ini melatih sifat adil dalam diri kita. Jangan baca hanya apa yang kita mahu idea kita disokong tetapi baca juga sesuatu idea yang bertentangan dengan pandangan kita supaya ia dapat mencabar akal kita. Lebih dicabar lebih tajam dan perseptif jadinya.

Begitulah sedikit perkongsian daripada saya. Moga bermanfaat. Terima kasih.

___________________________
Dr Sahul Hamid Mohamed Maiddin ~
Unit Sejarawan
_____________________________

Comments