OLEH: Ilham Yusuf
Haji Abdul Malik bin Karim Amrullah atau lebih mahsyur dengan nama pena beliau iaitu Hamka lahir pada 17 Februari 1908 (14 Muharram 1326 H) di Kampung Molek, Maninjau (Sumatera Barat). Ayahnya, Dr. Haji Abdul Karim Amrullah (Haji Rasul) merupakan seorang tokoh pembaharuan Islam di Minangkabau. Ibunya, Siti Safiyah Binti Gelanggar pula diberi gelaran Bagindo Nan Tuah. Ringkasnya, Hamka mewarisi darah gerakan Islah atau reformasi Islam (Kaum Muda) yang dibawa oleh ayahnya.
Seawal usia 7 tahun, beliau belajar di sekolah desa dan malamnya mengaji al-Quran yang diasuh sendiri oleh ayahnya sehingga khatam. Tahun 1916 hingga tahun 1923, beliau telah belajar agama di ‘Diniyah School’ dan ‘Sumatera Thawalib’ di Padang Panjang dan di Parabek. Padang Panjang pada masa tersebut dihuni oleh ramai penuntut Islam hasil didikan Haji Rasul (ayah Hamka) sendiri. Tahun 1924, Hamka mula mempelajari pergerakan-pergerakan Islam yang dipimpin oleh Haji Fakhrudin, Haji Oemar Said Tjokroaminoto dan ipar beliau sendiri iaitu Rashid Sultan Mansur.
Berbekal ilmu agama yang dipelajarinya, Hamka memulakan karier beliau sebagai guru agama di Medan pada tahun 1927. Sehinggalah beliau mendirikan madrasah sendiri iaitu ‘Madrasah Mubalighin’. Lebih menarik, Hamka menguasai beberapa ilmu lain seperti Falsafah, Sastera, Sejarah, Sosiologi bahkan Politik tanpa melalui sebarang pendidikan khusus. Minat membaca mendorong beliau mendalami kepelbagaian disiplin ilmu. Pada tahun 1935, Hamka menceburi bidang penulisan sehingga terbitlah buku beliau yang pertama bertajuk Khatibul Ummah lalu menyusul karya-karya lain seperti Revolusi Fikiran, Revolusi Agama, Dari Lembah Cita-Cita, Islam dan Demokrasi, Dilamun Ombak Masyarakat dan banyak lagi.
Pada tahun 1953, beliau dipilih sebagai penasilat pimpinan Pusat Muhammadiyah disamping mendapat mandat dari Menteri Agama untuk menjawat jawatan sebagai Pejabat Tinggi Agama. Kemudian beliau mengundurkan diri untuk melibatkan diri dalam dunia politik. Pada tahun 1957, beliau menceburi dunia pendidikan semula dengan menjadi tenaga pengajar di Universitas Islam, Jakarta dan Universitas Muhammadiyah di Padang Panjang. Kuliah-kuliah beliau turut berkumandang dalam Mimbar Agama Islam TVRI dan Kuliah Subuh RRI Jakarta.
Hamka pernah membekas di dalam penjara selama dua tahun kerana dituduh menjual Indonesia ke Malaysia (Pro Malaysia) pada tahun 1964. Namun bila ditanya soal pemenjaraan beliau, beliau malah bersyukur kerana tidak siap Tafsir Al-Azhar yang merupakan satu-satunya kitab Tafsir yang dikarang oleh Ulama Melayu tanpa pemenjaraan tersebut. Sehingga ke hari ini, tulisan beliau dirujuk dan dicetak berulang kali. Hamka sosok tokoh versatil, seorang ulama, sasterawan bahkan sejarawan yang melagenda. Semoga lebih ramai ‘permata’ sepertinya lahir di bumi Nusantara.
Rujukan:
1)Dari Lembah Cita-Cita, Hamka, terbitan Gema Insani.
2)Tasawuf Moden, Hamka, terbitan PTS.
___________________________
~ Ilham Yusuf ~
Sahabat PENA
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________

Comments
Post a Comment