OLEH: Ahmad Dailami
SEJARAH KETAMADUNAN ROME PURBA: KERAJAAN ROME: PERISTIWA PENCULIKAN DAN PEMERKOSAAN WANITA-WANITA SABINE
Ada dua peristiwa yang mempunyai pengaruh besar dalam mencorakkan
sejarah permulaan dan pengakhiran kerajaan Rome. Kedua-duanya dikaitkan
dengan pemerkosaan atau apa yang disebut dalam bahasa Inggeris sebagai
'rape'. Walaupun ini tidak memberi satu impresi yang begitu baik kepada
imej Rome, namun peristiwa-peristiwa ini mempunyai sebab, kepentingan
dan impak yang mendalam kepada perjalanan sejarah Rome. Justeru,
penceritaannya tidak boleh diabaikan.
Dua siri peristiwa ini merupakan legenda yang tercatat dalam sejarah
kerajaan Rome, diingati dan dipelihara oleh orang-orang Rome kerana ia
membawa satu kesan dan pengaruh yang penting pada identiti dan pemikiran
bangsa Rome. Perkara ini akan dibincangkan dalam penulisan yang akan
datang.
Peristiwa-peristiwa yang dimaksudkan yang dimaksudkan ialah:-
1. Peristiwa pemerkosaan wanita-wanita Sabine—yang berlaku sejuruh
selepas penubuhan kota Rome, menandakan bermulanya fasa kerajaan Rome
dan kota ini mula berupaya menghasilkan populasi dan keturunan.
Bayi-bayi yang dilahirkan oleh hasil hubungan wanita-wanita Sabine yang
diculik ini dengan kaum lelaki Roman menjadi sebahagian besar populasi
awal Rome. Peristiwa ini yang akan diceritakan dalam penulisan ini.
2. Dan peristiwa pemerkosaan Lucretia, seorang wanita bangsawan, yang
membawa kepada raja terakhir Rome, Lucius Tarquinius Superbus
digulingkan oleh rakyat Rome. Kesudahannya, fasa kerajaan Rome berakhir,
dan Rome bermula dengan fasa baru sebagai kuasa Republik. Peristiwa ini
akan diceritakan dalam penulisan akan datang.
PERMULAAN
Walaupun menurut sejarawan Roman, Livy, peristiwa pemerkosaan
wanita-wanita Sabine ini bentuknya lebih kepada penculikan[1], terdapat
isyarat-isyarat yang menunjukkan berlaku sesuatu yang lebih dari itu.
Mereka juga mengatakan peristiwa ini bukan berlaku atas dasar memuaskan
nafsu serakah, tapi lebih kepada mewujudkan satu pertalian dengan kaum
Sabine. Sejarawan Roman, Plutarch, mengatakan hanya gadis-gadis yang
diculik, kecuali seorang wanita yang telah berkahwin bernama Hersilia,
dimana mereka mengatakan ini ialah satu ketidaksengajaan.
Secara
asasnya, bangsa Sabine merupakan salah satu dari bangsa-bangsa awal
penetap Italy yang tinggal di pertengahan pergunungan Apennines dan
sebahagiannya tinggal di utara dataran Latium, berhampiran dengan Rome
sendiri.
Dikatakan sejurus selepas penubuhan Rome, Romulus
mengalu-alukan pendatang dari pelbagai latar kehidupan untuk menetap di
kota baru ini. Antara mereka, ada golongan hamba, pelarian dan penyamun.
Namun mereka serta-merta berdepan dengan satu krisis kemasyarakatan.
Jumlah kaum lelaki mereka jauh lebih ramai dari perempuan.
Kekurangan kaum wanita ini membawa satu masalah besar kepada Rome yang
perlu diselesaikan dengan segera. Mereka perlu melangsungkan keturunan
mereka melalui zuriat dan memastikan Rome dapat terus maju dengan
populasi yang mencukupi untuk dekad-dekad yang seterusnya.
Sebagai penyelesaiannya, Romulus cuba menggunakan pendekatan mewujudkan
hubungan diplomatik dengan jiran-jiran Rome, yakni bangsa-bangsa yang
tinggal berdekatan dan meminta hak untuk berkahwin dengan wanita-wanita
mereka. Namun utusan-utusan yang dihantar kepada kawasan-kawasan ini
gagal apabila bangsa-bangsa yang menetap di situ tidak begitu berminat
untuk melayan permintaan Rome. Malah mereka merasa khuatir bahawa Rome
akan menjadi maju dan kebangkitannya pasti membawa ancaman kepada mereka
di masa akan datang.
Akibatnya, Romulus mengambil satu
pendekatan yang lebih drastik untuk menyelesaikan masalah ini. Beliau
mengadakan satu majlis keramaian yang meriah dan menjemput penduduk dari
bandar-bandar berdekatan yang terdiri dari pelbagai bangsa dan suku
kaum untuk menghadirinya. Antara yang hadir termasuk orang-orang dari
bangsa Caeninenses, Crustumini, Antemnates dan juga ramai dari kalangan
bangsa Sabine, termasuk wanita-wanitanya.
Romulus melihat peluang
yang sesuai lalu memberikan isyarat agar lelaki-lelaki Rome menangkap
kaum wanita Sabine yang sedang bersama meraikan majlis tersebut dan
melawan kaum lelaki mereka. Menurut keterangan Livy, tiada paksaan
sebenar berlaku, sebaliknya Romulus berbicara dengan setiap seorang
mereka dan memujuk mereka untuk menjadi isteri kepada lelaki-lelaki Rome
dan menawarkan mereka tempat tinggal serta harta. Walaupun enggan pada
mulanya, mereka kelihatannya tidak mempunyai pilihan.
ROME MENGHADAPI PEPERANGAN DENGAN BANGSA-BANGSA JIRANNYA
Walaupun berkemungkinan niat sebenar di sebalik penculikan ini hanya
untuk mewujudkan pertalian yang baik dengan bangsa Sabine, namun perkara
sebaliknya berlaku. Jelasnya perbuatan kaum lelaki Roman yang menculik
wanita-wanita mereka membuatkan mereka menjadi marah. Lalu mereka
mengisytiharkan perang terhadap Rome. Bangsa-bangsa Caeninenses,
Crustumini dan Antemnates memimpin pasukan tentera mereka masing-masing
untuk menentang pasukan Rome yang dipimpin oleh Romulus, namun Romulus
telah berjaya mengalahkan mereka semuanya dan menawan bandar-bandar
mereka.
Beberapa tahun setelah itu, bangsa Sabine juga turut
terlibat dengan peperangan menentang Rome. Raja Sabine yang bernama
Titus Tatius memimpin pasukannya menuju ke Rome dan hampir-hampir
berjaya menawannya. Ini berpunca dari satu pembelotan yang dilakukan
seorang gadis Roman yang bernama Tarpeia, puteri kepada pemimpin Roman,
Spurius Tarpeius, yang merupakan gabenor yang bertanggungjawab ke atas
kubu Rome di bukit Capitoline (Rujuk penulisan 3). Tarpeia membuka pintu
gerbang kota dan membenarkan askar-askar Sabine masuk. Sebagai
gantinya, beliau meminta gelang emas yang dipakai oleh askar-askar
Sabine ini di lengan kiri mereka. Maka motifnya ialah ketamakan harta.
Namun apa yang berlaku ialah setelah mereka masuk, mereka memukul
Tarpeia dengan perisai-perisai mereka hingga mati dan mencampakkan
jasadnya daripada seketul batu di atas satu cenuram. Semenjak dari itu,
batu tersebut dinamakan bersempena namanya, Saxum Tarpeium (Eng:
'Tarpeian Rock').
(Di masa seterusnya, Tarpeia diangkat sebagai simbol pengkhianatan dan ketamakan dalam kalangan bangsa Rome).
Barisan pertahanan Roman pula dipimpin oleh lelaki bangsawan dan
general Roman yang terbilang bernama Hostus Hostilius[2]. Sedangkan
askar-askar Sabine dipimpin oleh Mettus Curtius. Hostus bertempur dengan
beraninya namun gugur, menyebabkan barisan askar Roman berpecah,
terpaksa memberi laluan dan berundur ke pagar Palatium yang terletak di
bukit Palatine. Romulus menyusun semula barisan tenteranya dengan
memberi kata semangat kepada mereka dengan janjinya untuk membina sebuah
gereja bagi dewa Jupiter di tapak itu[3]. Kemudian beliau memimpin
pasukan tenteranya kembali ke medan pertempuran. Askar-askar Rome
bertempur dengan begitu beraninya hingga askar-askar Sabine mengalami
kekalahan, Mettus Curtius dijatuhkan dari kudanya dan terpaksa melarikan
diri di atas tanah. Barisan pertahanan Roman telah hampir menemui
kemenangan.
RAYUAN WANITA-WANITA SABINE
Di tengah-tengah
pertempuran yang semakin hangat, ketika mana kemenangan hampir berpihak
kepada Rome, wanita-wanita Sabine yang telah diculik sebelumnya, kini
hasil perhubungan dengan suami-suami mereka yang berbangsa Roman, telah
pun mempunyai anak-anak, tidak sanggup menyaksikan bagaimana bapa-bapa
mereka dari bangsa Sabine berterusan tikam-menikam dengan suami-suami
mereka.
Mereka berada dalam dilemma. Mereka tidak mahu kehilangan
ayah-ayah mereka dan dalam masa yang sama tidak juga suami-suami mereka
hingga meninggalkan anak-anak mereka yang masih kecil menjadi
segerombolan anak-anak yatim.
Lalu wanita-wanita ini melontarkan
diri mereka di tengah-tengah medan pertempuran yang sedang berkecamuk,
di tengah-tengah pedang, lembing, perisai dan anak-anak panah yang
berterbangan, sambil menggendong anak-anak mereka. Kemudian mereka
menangis dan merayu agar kedua-dua belah pihak menghentikan pertempuran.
Mereke merayu kepada suami-suami mereka dari pihak Roman, dan kepada
ayah-ayah mereka dari pihak Sabine, bahawa sebagai menantu dan mertua
antara satu sama lain, apabila telah wujud hubungan darah, dimana
anak-anak yang mereka kendong itu ialah cucu kepada ayah-ayah mereka,
maka mereka tidak seharusnya menumpahkan darah secara keji begini.
Sejarawan Livy merekodkan apa yang diperkatakan oleh wanita-wanita ini kepada kedua pihak:-
"Jika kalian tidak berpuas hati dengan hubungan ini, jika perkahwinan
kami ini membuatkan kalian berdendam dan bersengketa, jika kami menjadi
punca kepada luka dan tumpahnya darah antara kalian, adalah lebih baik
kami mati daripada hidup menjanda kerana kehilangan suami atau yatim
kerana tidak memiliki ayah".
Hasil rayuan ini, pertempuran ini
menemui pengakhirannya. Kedua-dua belah pihak akhirnya bersetuju untuk
berdamai dan bangsa Sabine bersetuju untuk menyatu dengan orang-orang
Roman. Raja Sabine, Titus Tatius, memerintah bersama Romulus hinggalah
kematian Tatius lima tahun setelahnya.
___________________________
[1]. Perkataan Inggeris 'rape' itu sendiri—yang digunakan untuk merujuk kepada 'rogol' atau 'memperkosa' berasal dari perkataan bahasa Latin, bahasa jati orang-orang Rome, iaitu 'raptio' yang bermaksud penculikan. Ia tidak semestinya membawa konotasi memaksa melakukan hubungan seksual.
___________________________
[1]. Perkataan Inggeris 'rape' itu sendiri—yang digunakan untuk merujuk kepada 'rogol' atau 'memperkosa' berasal dari perkataan bahasa Latin, bahasa jati orang-orang Rome, iaitu 'raptio' yang bermaksud penculikan. Ia tidak semestinya membawa konotasi memaksa melakukan hubungan seksual.
[2]. Hostus Hostilius berkahwin dengan seorang wanita yang bernama
Hersilia, cucunya, iaitu Tullus Hostilius merupakan raja Rome yang ke-3
setelah Romulus dan Numa Pompilius. (Rujuk penulisan ).
[3].
Romulus membuat janji untuk membina gereja bagi dewa Rome, Jupiter,
sebagai pembangkit semangat bagi askar-askarnya untuk terus bertempur.
Agama dan kepercayaan merupakan salah satu dari aspek penting yang
telah bersebati dalam identiti masyarakat Rome. Mereka mempunyai
kepercayaan yang teguh terhadap tuhan-tuhan mereka, atau dewa dan dewi
mereka (Roman gods and goddeses). Kepercayaan ini bukan saja
melambangkan identiti bangsa mereka, tapi juga simbol kemegahan dan
pembangkit semangat ketika bertempur di medan perang. Pembinaan
bangunan-bangunan keagamaan seperti gereja-gereja (temples) yang
didedikasikan untuk dewa dan dewi ini dan upacara-upacara keagamaan amat
dititikberatkan sebagai memastikan orang-orang Rome terus kekal dengan
semangat dan identiti diri yang dibentuk sepanjang era awal Rome—yakni
ketika mana Rome mula-mula ditubuhkan hingga pengakhiran fasa kerajaan.___________________________
___________________________
~Ahmad Dailami~
Lajnah Sejarah Dan Tradisi
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________

Comments
Post a Comment