Penjajap Kapal Perang Opu Daeng Berlima

OLEH: La Bougiez

"Sebermula adalah perahunya yang besar-besar tujuh buah yang bermeriam, dan yang besar sekali sebuah, yang ada lagi pula sebuah keci/sekoci?.. ditutuhnya diperbuatnya penjajap yang akan menangung meriam besar".

Kerana minat aku terdorong untuk menulis dan berkongsi akan hal yang aku persoalkan dengan sifat ingin tahu, semoga penulisan ini mampu merungkai dan mengikat kita dalam suatu wadah yang sama.

Bangsa pelaut, pedagang dan pahlawan di Alam Melayu/Nusantara ini sebenarnya berkongsi teknologi perkapalan yang mirip, jadi seringkali terdapat bentuk-bentuk persamaan yang dimiliki dan kemudian dikembangkan masing-masing suku bangsa sehingga memiliki ciri-ciri yang spesifik, sama ada orang Melayu, Jawa/Madura, Bugis-Makassar-Mandar, Bajau, Balangingi, Suluk,  Illanun  bahkan jauh ke timur di kepulauan Maluku hingga Papua dan Polinesia.

Tapi ada beberapa ciri-ciri khas untuk mengenal perahu Nusantara, antaranya tiang layar tripod/kaki tiga, kemudi berkembar, layar tanjak, lambung/badan kapal yang dibina dengan teknik pasak tanpa mengunakan paku yang digantikan dengan pin kayu, dan yang paling menonjol adalah pengunaan katir(outrigger).

Bagi jenis kapal perang pula yang masih mengekalkan pengunaan katir yang dimodifikasi dan sangat terkenal adalah perahu perang kura-kura/kora-kora dalam bahasa Maluku disebut perahu Hongi,

Penjajap ni pula jenis mcm mana?

Menurut J.F. Warren penjajap merupakan kapal perang ringan milik orang Bugis dengan sebatang tiang layar utama/pusat dan sebatang tiang layar rendah yang berada di bahagian haluan, perahu ini cukup kecil sehingga mudah didayungkan apabila perlu. Penjajap juga digunakan oleh orang Balangingi sebagai perahu utama mereka dalam melanun dan dinamakan garay atau panco.

Penjajap biasanya mempunyai 10 hingga 15 anak kapal, tapi beberapa laporan VOC di tahun 1782 perahu penjajap boleh memuatkan anak kapal sehingga 30 orang.



Bagaimana para 'Daeng' mendapatkan armada penjajap perang?

Dalam buku Sadjarah Riouw Lingga dan daerah taaloqnya menceritakan bahwa selepas kembali dari kemboja membawa hadiah kemenangan dalam sebuah peristiwa laga ayam menghadapi lawanya Raja Chulan dari Minang. Kapal kemenangan itu diubah suai dan diperbesarkan untuk dijadikan kapal perang penjajap manakala harta yang berada di dalam kapal dagang tersebut dileburkan untuk dijadikan modal membina enam buah penjajap bersaiz kecil.

Ternyata ada perbezaan naratif dari apa yang disampaikan dalam kitab Salasilah Melayu Bugis.
Seperti apa yang aku telah catat pada perenggan diatas:

"Sebermula adalah perahunya yang besar-besar tujuh buah yang bermeriam, dan yang besar sekali sebuah, yang ada lagi pula sebuah keci ditutuhnya diperbuatnya penjajap yang akan menangung meriam besar".

Ghairah pada masa lalu...

Membuat kita berpijak pada dua sempadan waktu, dimana keduanya sedang bergerak, sama ada pergi atau sedang datang kepada kita, pergerakan ini akan meninggalkan suatu ruang yang besar, ruang lompong yang jika dibiarkan kosong akan jatuh menimpa dan mengubur kita jauh kedasar masa. Ya... ruang yang penuh tanda tanya, bukan ingin menjadi peramal takdir seperti Jayabaya mahupun Nostradamus. Cukuplah sekadar ingin mencari kembali jati diri yang ingin kita jaga. Aku percaya pada Tuhan akan perbezaan yang ada pada manusia hari ini adalah suatu bukti betapa kayanya pemikiran Tuhan betapa agungnya kesenian Tuhan.

Kita tetap berbeza tapi kebaikan tidak pernah memilih warnanya.

Tujuh konon perahu perangnya,
Cukup dengan alat senjatanya,
Serta dengan andre gurunya,
Beberapa juak-juak sertanya,

Juaknya bukan sebarang orang,
Anak daing-daing perangainya garang,
Berani bertikam sama seorang,
Sementelahnya biasa di medan perang.

Rujukan: 
1)Salasilah Melayu Bugis
2)Sadjarah Riouw Dan Daerah Taaloqnya
3)Perdagangan dan Perkapalan Melayu di Selat Melaka


___________________________
~ La Bougiez ~
Lajnah  Sejarah Dan Tradisi
_____________________________


Comments