Perisytiharan Amir Abd Ar-Rahman An-Nashir Sebagai Khalifah: Kajian Terhadap Geopolitik Dunia Islam Abad 10M / 4H
OLEH: M.A Fitri
PERISYTIHARAN AMIR ABD AR-RAHMAN AN-NASHIR SEBAGAI KHALIFAH; KAJIAN TERHADAP GEOPOLITIK DUNIA ISLAM PADA ABAD KE 10M / 4H.
Muhammad Alif Fitri bin Abdul Halim A157221
Pusat Rantau Timur Tengah dan Nusantara, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 Bangi, Selangor, Malaysia
-----------------------------------------------------------------------------
ABSTRAK: Institusi kekhalifahan memainkan peranan yang penting dalam menjadi simbol kepada penyatuan umat Islam mendiami pelbagai pelusuk kawasan. Selepas kejatuhan Kekhalifahan Bani Umaiyyah pada tahun 750M bersamaan 132H, institusi kekhalifahan telah diambil alih oleh puak daripada Bani cAbbasiyyah atas dorongan untuk mengembalikan jalur kekhalifahan kepada jalur keturunan Ahl al-Bait Rasulullah s.a.w. Dengan pengaruh yang semakin meluas, Kekhalifahan Bani cAbbasiyyah pada peringkat awalnya melaksanakan dasar menghabiskan saki-baki kaum Bani Umayyah sehinga menyebabkan ramai di antara mereka yang terkorban dan ada yang sempat melarikan diri berhijrah ke wilayah lain. Antara yang berjaya melarikan diri ialah cAbd Rahman ad-Dakhil atau juga dikenali sebagai cAbd Rahman I. Beliau yang merupakan cucu kepada Khalifah Hisyam bin cAbd al-Malik iaitu khalifah ke-10 Bani Umaiyyah berjaya mengasaskan kekuasaan Bani Umaiyyah yang baru di Semenanjung Iberia atau dikenali sebagai al-Andalus pada tahun 756M bersamaan 138H. Namun begitu, pemerintahan beliau dan para penerusnya hanya menggunakan gelaran al-Amir memandangkan sudah ada khalifah di kota Baghdad. Namun, situasi berubah apabila bermulanya abad ke-10M bersamaa abad ke-4H di mana Amir cAbd ar-Rahman an-Nashir telah mengisytiharkan dirinya sebagai khalifah pada Januari taun 929M bersamaan 2 Dzulhijjah tahun 316H. Tindakan ini adalah berdasarkan faktor geopolitik dunia Islam ketika itu di mana khalifah di Baghdad sudah tidak dapat berfungsi dengan baik akibat ditenggelami oleh konflik dalaman. Begitu juga kemunculan kuasa politik Syiah yang semakin dominan iaitu Dawlah Fathimiyyah yang mana juga menggunakan gelaran khalifah sejak tahun 910M / 297H. Dengan menggunakan kaedah analisis geopolitik yang melibatkan unsur geografi, sejarah dan keperluan. Sumber rujukan juga diperoleh daripada bahan-bahan bacaan di perpustakaan dan juga bahan yang berbentuk soft-copy daripada internet. Hasil daripada kajian ini dapat menjelaskan apakah rasionalnya tindakan Amir cAbd ar-Rahman an-Nashir dengan mengisytiharkan dirinya sebagai khalifah dan kesan-kesannya terhadap dunia Islam umumnya.
Kata kunci: Khalifah, cAbd ar-Rahman an-Nashir, Bani Umaiyyah, geoolitik.
1.0 PENDAHULUAN
Menurut Hamka (2016), Rasulullah s.a.w memegang dua jawatan. Pertama; menyamaikan kewajipan sebagai seorang rasul. Kedua; bertindak selaku ketua kaum Muslimin. Kewajipan pertama telah selesai sebaik sahaja baginda wafat, tetapi kewajipan yang kedua menurut pertimbangan kaum Muslimin ketika itu perlu disambung oleh orang lain. Hal ini kerana suatu umat tidak akan tersusun kesatuan mereka kalau mereka tidak memiliki pemimpin. Maka disebab itulah perlunya ada pengganti (khalifah).
Oleh sebab itu, apabila berbicara soal khalifah, maka intipati perbincaraannya adalah berkaitan dengan kepimpinan dan kuasa politik umat Islam. Sosok yang bernama cAbd ar-Rahman an-Nashir atau juga dikenali sebagai cAbd ar-Rahman III yang menjadi fokus utama dalam kajian ini merupakan salah seorang pemimpin yang memerintah Dawlah Umaiyyah di Andalus (Bastoni 2008). Sebelum beliau mengambil tindakan dengan menggelar dirinya sebagai ‘khalifah’ dan ‘amir al-Mukminin’, sudah terdapat ramai pemimpin dunia Islam yang telah menggunakannya. Antaranya ialah Kekhalifahan ar-Rasyidin (11-40H / 630-661M), Kekhalifahan Umaiyyah (40-132H / 661-750M), Kekhalifahan cAbbasiyyah (132-656H / 750-1258M) dan terakhir Kekhalifahan Fatimiyyah (296-566H / 909-1171M) (Hitti 2008).
Namun, as-Suyuthi (2014) menyatakan bahawa dalam menulis kitabnya Tarikh al-Khulafa’ beliau tidak memasukkan kisah tentang para khalifah dalam cUbaidiyyin (Fatimiyyah) kerana pemerintahan mereka dianggap tidak sah.
Dari segi pusat pemerintahan, sebagaimana menurut Hitti (2008), para khalifah ar-Rasyidin menjadikan kota Madinah sebagai pusat pentadbiran mereka kecuali Khalifah cAli bin Abi Talib yang menjadikan kota Kufah sebagai pusat pentadbirannya. Adapun, para Khalifah Bani Umaiyyah pula telah menindahkan pusat pentadbiran mereka daripada Madinah ke kota Damsyik, Syria. Setelah itu, kekhalifahan berpindah ke tangan Bani cAbbasiyyah di mana khalifah pertamanya, Abu al-cAbbas as-Saffah telah mendirikan kota al-Hasyimiyyah, Anbar sebagai pusat pentadbirannya dan kemudiannya dipindahkan oleh penggantinya, Abu Ja’far al-Manshur ke Baghdad. Ketika era Abu Ja’far al-Manshur inilah cAbd ar-Rahman bin Mu’awiyyah (cAbd ar-Rahman I), cucu kepada khalifah daripada Bani Umaiyyah, Hisyam bin Abdul Malik berjaya merebut kota Cordova dan menjadikan ia sebagai ibu kota.
Begitu juga, Kekhalifahan Fatimiyyah juga mengalami perkembangan yang sama. Sebagai sebuah kerajaan yang bermazhab Syiah, khalifah pertamanya cUbaidillah al-Mahdi telah mengisytiharkan diri sebagai khalifah pada Jumaat, 12 Rabi’ al-Awwal 297H bersamaan 7 Januari 910M (Haji 2006). Setelah itu, beliau mendirikan kota al-Mahdiyyah dan siap pada tahun 306H / 918M di Tunisa sebagai ibu kota mereka (Haji 2006).
Jadi, sebelum cAbd ar-Rahman an-Nashir mengisytiharkan dirinya sebagai khalifah, di manakah kedudukan kerajaan Islam Andalus ketika itu? Hal ini adapat dirumuskan melalui rajah berikut.
Berdasarkan kepada rajah di atas, dapatlah diketahui bahawa sebelum tahun 319H iaitu tahun di mana cAbd ar-Rahman an-Nashir mengisytiharkan dirinya sebagai khalifah, kerajaan Islam Andalus masih lagi berstatus kerajaan kecil di mana ketika itu sudah ada dua kekhalifahan utama yang memerintah dunia Islam iaitu Kekhalifahan cAbbasiyyah bermazhab Sunni manakala Kekhalifahan Syiah Fatimiyyah pula bermazhab Syiah. Rajah ini juga tidak mencakupi kerajaan-kerajaan kecil yang banyak muncul ketika itu baik di timur mahupun di barat Dunia Islam.
Sungguhpun cAbd ar-Rahman I berjaya menjadikan kota Cordova sebagai pusat pemerintahannya sebagai penerus kepada Kekhalifahan Umaiyyah, zaman pemerintahan beliau hanyalah dikenali sebagai Era Keamiran Umaiyyah yang bermula pada tahun 138H / 755M sehingga 316H / 928M. Hal ini adalah disebabkan beliau telah mengisytiharkan dirinya terpisah daripada Kekhalifahan Abbasiyyah yang berada di kota Baghdad ketika itu (as-Sirjani 2011).
Adapun, cAbd ar-Rahman (1981) telah membahagikan tempoh pemerintahan Islam di Andalus yang selama 718 tahun (92H-897H / 711-1429M) ini kepada lapan fasa. Fasa-fasa tersebut ialah:
1) Fasa Pembukaan.
2) Fasa Kegabenoran.
3) Fasa Keamiran.
4) Fasa Kekhalifahan.
5) Fasa Kerajaan-kerajaan Kecil.
6) Fasa Pemerintahan Dawlah Murabbitun.
7) Fasa Pemerintahan Dawlah Muwahhidun.
8) Fasa Pemerintahan Bani Nasr di Granada.
Maka, kertas kajian ini akan lebih menumpukan kepada fasa keempat iaitu fasa kekhalifahan daripada senarai yang telah dinyatakan di atas.
1.0 AMIR cABD AR-RAHMAN AN-NASHIR DAN PERISYTIHARAN SEBAGAI KHALIFAH
Apabila Amir cAbdullah meninggal dunia ada 16 Oktober 912M, tidak berlaku sebarang krisis pewarisan takhta kerajaan. Kemudian, amir yang baru pun dilantik iaitu merupakan cucu kepada Amir cAbd ar-Rahman II. Beliau kemudiannya menduduki singgahsana lalu menerima bai’ah daripada bapa-bapa saudara, kaum kerabat, kaum Quraisy dan juga Umaiyyah. Kemudian diikuti pula oleh golongan bangsawan dan para qadhi. Setelah itu beliau memimpin solat jenazah datuknya dan dimakamkan di perkuburan diraja di kota Cordova. Seterusnya, diadakan upacara pemberian bai’ah oleh umat Islam di Masjid Jami’ Cordova (Fierro 2006).
Memandangkan Amir cAbd ar-Rahman III melalui dua zaman pemerintahan iaitu zaman pemerintahan sebagai amir (912 – 929M / 300 – 316H) dan zaman pemerintahan sebagai khalifah (929 – 961M / 316 – 350H), kajian ini hanya memfokuskan terhadap zaman pemerintahan sebagai khalifah sahaja.
Menurut Bastoni (2008), beliau menaiki takhta pada usia 23 tahun. Memiliki keperibadian yang kuat, pertimbangan yang tepat, keteguhan hati dan keberanian. Ketika beliau memegang tampuk pemerintahan, Dawlah Bani Umaiyyah berada dalam keadaan yang paling lemah. Namun, beliau meninggalkannya dalam keadaan yang paling kuat.
Selain itu, HAMKA (2016) mengungkapkan perihal Amir cAbd ar-Rahman III dengan mengatatakan:
“cAbd ar-Rahman I mendirikan, cAbd ar-Rahman memperteguh. Setelah cAbd ar-Rahman II meninggal, lemahlah kekuasaan itu bertahun-tahun lamanya. Telah berganti-ganti amir yang naik, kian diganti kian lemah. Lalu, datang cAbd ar-Rahman III, seorang raja yang teramat lama memerintah, iaitu 50 tahun. 50 tahun dia membela kerajaan yang telah didirikan nenak moyangnya.”
As-Suyuthi (2013) menceritakan:
“cAbd ar-Rahman bin Muhamamd yang bergelar an-Nashir kemudiannya menaiki takhta dan beliaulah yang mula-mula menggunakan gelaran ‘khalifah’ dan ‘Amir al-Mukminin’ di bumi Andalus. Hal ini adalah disebabkan oleh Dawlah cAbbasiyyah sudah mula melemah era Khalifah al-Muqtadir sedangkan sebelum ini para pendahulu beliau hanya menggunakan gelaran ‘amir’ sahaja.”
Berkenaan dengan tarikh cAbd ar-Rahman III mengisytiharkan dirinya sebagai khalifah, Hitti (2008) mengatakan bahawa perisytiharan tersebut berlaku pada hari Jumaat, 16 Januari 929M di mana setiap kali solat berjamaah dan dokumen-dokumen rasmi, nama pemerintah yang berkuasa mestilah disebut sebagai khalifah. Beliau kemudiannya memilih sendiri gelarannya iaitu al-Khalifah an-Nashir li Dinillah. Adapun, cInan (1960) pula menyatakan bahawa persitiwa tersebut berlaku pada tarikh 2 Zulhijjah 316H.
Berikut merupakan petikan terjemahan daripada teks ucapan perisytiharan tersebut sebagaimana yang telah dicatatkan oleh cInan (1960):
“Maka, segala puji bagi Allah dan atas segala nikmat yang telah dikurniakan oleh-Nya kepadaku. Juga kepada golongan yang mulia dengan kemuliaan mereka yang telah memberikan kemuliaan kepada kami. Kami lihat bahawa kami boleh menggunakan gelaran ‘Amir al-Mukminin’. Semua kitab telahpun mencatatkan perkara ini dan sekiranya terdapat selain daripada kami yang menggunakan gelaran ini, maka itu hanyalah gelaran yang digunakan untuk dirinya semata-mata sedangkan mereka itu tidaklah layak…”
1.0 ANALISIS GEOPOLITIK DUNIA ISLAM ABAD KE 10M / 4H
Menurut Hodgson (2004), beliau mengatakan bahawa kurun ke-10M / 4H menyaksikan kawasan Islam masih lagi berada di bawah kuasa tempatan yang telah mantap atau tentera yang telah ditubuhkan mereka yang pada asalnya mengambil alih kepimpinan yang kini gagal dipenuhi oleh pihak istana Baghdad. Namun, gabenor dan ketua tentera yang berlainan itu sendiri tidak mewakili sebarang fahaman politik secara serius. Mereka hanya cebisan daripada negara bersistem khalifah yang lama.
Maka, dapatlah difahami secara ringkas bahawa kekuasaan politik Dawlah cAbbasiyyah sudah mula melemah. Maka disebabkan kelemahan inilah pelbagai pihak telah mengambil kesempatan masing-masing untuk memenuhi cita-cita mereka. Justeri, dalam menganalisis suasana geopolitik dunia Islam abad ke-10M / 4H, model Ioannis (2008) telah digunakan. Model tersebut melibatkan tiga aspek:
a) Persempadanan Geografi yang meliputi kawasan yang hendak dianalisis.
Secara umumnya, terdapat tiga buah kuasa politik Islam yang mendominasi lanskap politik dunia Islam pada abad ini iaitu Dawlah cAbbasiyyah yang meliputi kawasan wilayah timur dunia Islam, Dawlah Fatimiyyah di Afrika Utara dan Dawlah Umaiyyah di Andalus (cInan 1960). Sungguhpun begitu, kerajaan-kerajaan kecil yang ada ketika itu tidak termasuk dalam kajian ini memandangkan ia tidak memberi pengaruh yang signifikan kepada perisytiharan Amir cAbd ar-Rahman an-Nashir sebagai khalifah.
As-Sirjani (2013) bahkan menyebut betapa Dawlah cAbbasiyyah dan Dawlah Fatimiyyah ini kedua-duanya memberikan pengaruh yang besar kepada perisytiharan Amir cAbd ar-Rahman sebagai khalifah ketika itu.
b) Faktor dalaman dan luaran yang mempengaruhi kawasan tersebut.
Khalifah Al-Muqtadir billah dari Dawlah cAbbasiyyah telah dibunuh oleh seorang hamba Turki dan kekuasaan mula didominasi oleh mereka. Mereka kemudiannya menaikan al-Qahir billah sebagai pengganti namun, khalifah yang baru ini hanyalah sekadar nama dan tidak memiliki sebarang kuasa (as-Suwaidan 2005). Dalam masa yang sama, golongan Fatimiyyah telah mengisytiharkan kekhalifahan mereka, namun cAbd ar-Rahman merasakan beliau lebih berhak dengan gelaran dan tanggungjawab sebagai seorang khalifah dengan kuasa politiknya yang dilihat lebih kuat berbanding mereka (as-Sirjani 2013).
Hodgson (2004) melihat perkembangan politik pada abad ke-10 ini boleh dilihat sebagai perpecahan empayar berkhalifah. Di kawasan yang tidak dikuasai sepenuhnya oleh pergerakan Syi’ah akan dikuasai sepenuhnya oleh gabenor kawasan itu dan mewariskan dinasti itu kepada anak cucunya. Atau, pengembara dan askar tempatan merampas kuasa di satu-satu kawasan dan memberikan kesetiaan palsu kepada khalifah. Adapun, cAbd ar-Rahman dalam tempoh masa 16 tahun, beliau telah berjaya menyatukan seluruh Andalus di bawah kepimpinannnya. Semua itu berlaku pada usianya yang tidak sampai 38 tahun (as-Sirjani 2013).
c) Kesan hasil dariada faktor dalaman dan luaran.
Hasilnya, kuasa khalifah yang pernah diterima umum ini akhirnya menjadi tidak berkuasa dan selepas tahun 945M, kerajaan yang diterajui oleh khalifah (cAbbasiyyah) sememangnya mengalami gangguan daripada askar-askar upahan, kehilangan kuasa termasuk ke atas kawasannya sendiri (Baghdad). Natijahnya, khalifah (cAbbasiyyah) menjadi orang yang tidak penting dalam empayar yang telah dibahagi-bahagikan dalam kalangan para pemberontak (Hodgson 2004).
Sebagaimana as-Suyuthi (2014) tidak mengiktiraf Kekhalifahan Fatimiyyah kerana mereka bermazhab Syi’ah, maka sebagai seorang pemimpin Muslim Sunni yang kuat, cAbd ar-Rahamn mengambil langkah untuk mengisi kekosongan tersebut. Maka terjadilah suatu peristiwa yang sangat penting di mana di dunia Islam, terdapat tiga orang pemimpin yang menggunakan gelaran ‘Khalifah’ dan ‘Amir al-Mukminin’.
Dengan ini, bertukarlah taraf Dawlah Umaiyyah di Andalus yang pada awalnya bertaraf sebagai Dawlah al-Imarah kepada Dawlah al-Khilafah. Para pemimpinnya juga dahulunya digelar sebagai ‘Amir’ kini sudah berubah menjadi ‘Khalifah’ dan ‘Amir al-Mukminin’ (as-Suwaidan 2005).
2.0 IMPLIKASI KAJIAN
Kajian ini telah memberikan impak yang agak besar dalam bidang kajian sejarah Islam. Hal ini disebabkan oleh dengan pengisytiharan Amir cAbd ar-Rahman an-Nashir sebagai khalifah, maka kesannya akan menyebabkan perubahan pada senarai nama khalifah. Sebelumnya, kita mengenali khalifah-khalifah yang memerintah secara umum dan berpandukan dawlah yang wujud ketika itu. Oleh itu, terdapat dua cadangan yang boleh dikemukakan hasil daripada kajian ini.
1. Membuka satu bidang kajian yang baru di mana ia khusus membicarakan soal khalifah yang benar-benar berkuasa tidak mengira dinasti.
2. Mengasingkan antara perbahasan sejarah Islam berpandukan dawlah atau dinasti yang memerintah dengan perbahasan sejarah Islam yang berpusatkan khalifah.
Sebagai contoh, kita dapat mengetahui perbezaan antara kedua-dua perkara ini sekiranya senarai nama khalifah versi baru disusun semula.
Senarai Khalifah Mengikut Dawlah atau Dinasti
|
Senarai Khalifah Mengikut Kekuasaan Mereka
|
1. Khalifah ar-Rasyidin.
2. Khalifah Bani Umaiyyah.
3. Khalifah Bani cAbbasiyyah.
4. Khalifah Fatimiyyah.
5. Khalifah Bani Umaiyyah di Andalus.
6. Khalifah Bani cAbbasiyyah di Mesir.
7. Khalifah cUthmaniyyah.
|
1. Khalifah Abu Bakar as-Shiddiq.
2. Khalifah cUmar al-Khattab.
3. Khalifah cUthman bin cAffan.
4. Khalifah cAli bin Ali Thalib.
5. Khalifah al-Hasan bin Ali.
6. Khalifah Mu’awiyyah bin Abi Sufyan.
7. Khalifah Yazid bin Mu’awiyyah.
8. Khalifah Abdullah bin az-Zubair
9. Khalifah Mu’awiyyah bin Yazid.
10. Khalifah Marwan bin al-Hakam.
11. Khalifah cAbd al-Malik bin Marwan.
12. Khalifah al-Walid bin cAbd al-Malik.
13. Khalifah Sulaiman bin cAbd al-Malik.
14. Khalifah cUmar bin cAbd al-Aziz.
15. Khalifah Yazid bin cAbd al-Malik.
16. Khalifah Hisyam bin cAbd al-Malik.
17. Khalifah al-Walid bin Yazid.
18. Khalifah Yazid bin al-Walid.
19. Khalifah Ibrahim bin al-Walid.
20. Khalifah Marwan bin Muhammad.
21. Khalifah Abu al-cAbbas as-Saffah.
22. Khalifah Abu Ja’far al-Manshur.
23. Khalifah al-Mahdi.
24. Khalifah al-Hadi.
25. Khalifah Harun ar-Rasyid.
26. Khalifah al-Amin.
27. Khalifah al-Ma’mun.
28. Khalifah al-Mu’tashim.
29. Khalifah al-Watsiq.
30. Khalifah al-Mutawakkil.
31. Khalifah al-Muntashir.
32. Khalifah al-Musta’in.
33. Khalifah al-Mu’taz.
34. Khalifah al-Muhtadi.
35. Khalifah al-Mu’tamid.
36. Khalifah al-Mu’tadhid.
37. Khalifah al-Muktafi.
38. Khalifah al-Muqtadir.
39. Khalifah cAbd ar-Rahman an-Nashir.
(as-Suyuthi 2014)
Kemudian, diteruskan dengan pengganti Khalifah cAbd ar-Rahman an-Nashir sehinggalah Kekhalifahan Umaiyyah ini berakhir pada tahun 422H bersamaan 1031M (Bastoni 2008).
Setelah itu, disambung pula dengan pemerintahan Khalifah al-Qaim biamrillah daripada Bani cAbbasiyyah pada tahun yang sama. Hal ini memandangkan pengaruh Bani Buwaih (Syiah) terhadap khalifah sudah berakhir dan diganti dengan Bani Saljuk (Sunni) yang mengembalikan kuasa dan peranan khalifah Bani cAbbasiyyah (Hitti 2008).
Pada tahun 656H bersamaan 1258M, Hulagu Khan dan tenteranya menyerang kota Baghdad dan menandakan berakhirnya Kekhalifahan Bani Abbasiyyah (Hitti 2008).
Warisan kekhalifahan diteruskan pula pada tahun 659H bersamaan 1261M apabila Sultan az-Zahir Baybars dari Dinasti Mamluk di kota Kaherah telah melantik Abu al-Qasim Ahmad bin Muhammad dengan gelaran al-Mustanshir sebagai khalifah. Kekhalifahan diteruskan daripada keturunan ini sehinggalah Khalifah al-Mutawakkil III secara rasminya menyerahkan gelaran khalifah kepada Sultan Selim I daripada Dawlah cUthmaniyyah pada tahun 923H bersamaan 1517M (Mujani 2016).
Peranan khalifah diteruskan oleh para sultan Dawlah cUthmaniyyah sehinggalah akhirnya ia dimansuhkan pada tahun 1342H bersamaan 1924M dengan Khalifah cAbd al-Majid II sebagai khalifah terakhir umat Islam (Bastoni 2008).
|
1.0 RUMUSAN
Hasil daripada kajian ini, dapatlah dirumuskan bahawa peristiwa pengisytiharan Amir cAbd ar-Rahman an-Nashir atau cAbd ar-Rahman III sebagai khalifah amat penting dalam sejarah Islam. Hal ini menandakan perubahan pusat kekuatan politik umat Islam yang pada awalnya berada di kota Baghdad. Namun, apabila sudah mula melemah ia kemudiannya berpindah ke kota Cordova. Semua ini bukanlah berlaku secara tiba-tiba melainkan atas faktor-faktor yang telah dibincangkan sebelum ini. Selain itu, peristiwa ini juga telah membuka ruang yang baru dalam bidang kajian sejarah kekhalifahan Islam yang sebelum ini terikat dengan dawlah atau dinasti tertentu.
___________________________
~ M.A Fitri ~
Lajnah Sejarah Dan Tradisi
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________




Comments
Post a Comment