OLEH: Ilham Yusuf
Pahit untuk ditelan, apabila kita membaca krisis yang melanda Zoo Negara ketika ini. Begitu agresif media yang tidak bertepi membahaskan isu yang pada suatu ketika pernah menjadi ‘jendela’ utama tarikan pelancong dalam dan luar negara ini. Tajuk seperti “Zoo Negara Perlu bergerak Kehadapan, Usaha Mengembalikan Kegemilangan Zoo Negara dan Zoo Negara di Ambang Krisis” menghiasi dada akhbar tempatan sebagai tajuk utama dan akhirnya tercetuslah perang media dalam kalangan wargamaya, tidak sedikit pula yang mengkritik peranan pihak tadbir urus, juga tidak kurangnya yang meronta tentang isu harga tiketnya.
Berbicara tentang zoo, terlebih dahulu kita perlu mengenal asal-usul zoo dan apakah peranannya. Adakah sebagai ‘taman’ yang menghimpun pelbagai spesis untuk dipelihara demi kelangsungan spesisnya? Atau sebagai ‘tirai besi’ yang ditayang ke umum untuk mengaut laba untung? Sebenarnya perkataan ‘Zoo’ itu ialah singkatan yang bermuara daripada perkataan ‘Zoological Park’.
Merentas ruang masa ke belakang, sebenarnya zoo sudah wujud sejak awal ketamadunan manusia lagi. Beberapa tembok yang diukir dengan baik ditemui seusia dengan zaman tamadun Mesir dan Mesopotamia iaitu sekitar 2500 SM dipercayai pernah menjadi pusat pengumpulan binatang tertentu. Terdapat juga bukti bahawa pemilik zoo kuno mengupah pengendali haiwan untuk memastikan haiwan berkembang biak.
Ini bermaksud, zoo bukanlah suatu perkara yang baru dan seterusnya berkesinambungan pula merentas beberapa tamadun selepasnya; China, Greek, Rom, Aztec dan seangkatannya. Fungsi utama zoo tidak lain dan tidak bukan ialah untuk menerajui usaha pemuliharaan haiwan di dunia. Di negara kita, Malaysia menjadikan Harimau Malaya sebagai salah satu tumpuan utama dalam usaha pemuliharaan spesisnya yang sedang diancam kepupusan.
Dianggarkan spesisnya tidak lebih dari 250 ekor yang berbaki di negara kita akibat daripada aktiviti pemburuan haram dan sebagainya. Namun untuk kelangsungan hidupnya, Zoo Negara memerlukan sekitar RM100 sehari untuk membiayai makanan Harimau Malaya sahaja dan tidak termasuk biaya yang lain. Dengan krisis ekonomi yang melanda Zoo Negara, Harimau Malaya yang menjadi simbol ‘Lambang Malaysia’ atau ‘Coat of Arms of Malaysia’ ini sudah kelihatan kurus, uzur dan tidak bermaya. Sesuatu perlu dilakukan!
Tidak kurang juga dengan suara sumbang masyarakat yang menganggap bahawa zoo hanyalah sebuah ‘penjara’ kepada haiwan untuk kepentingan peribadi dan sepatutnya haiwan ini dibiar hidup di habitatnya. Penulis menolak sekerasnya persepsi ini kerana sejarah telah membuktikan bahawa betapa zoo telah berjaya mengembangkan spesis terancam dunia dan menjadi ‘tembok’ yang menolak kepupusan! Zoo menjadi sumber rujukan pengetahuan masyarakat selain daripada usaha melestarikan spesis.
Jika hidupan ini dibiarkan hidup di habitatnya maka lebih terdedahlah ia dengan pemburuan haram dan sebagainya. Haiwan seperti ‘Arabian Oryx’ yang asalnya sudah mencapai angka sifar berjaya dilahirkan semula oleh zoo dan jumlahnya kini mencecah 1,000 ekor. Kemudian ‘Cayman Blue Iguana, Prezewalski’s Horse, Trumpeter Swan’ dan banyak lagi adalah antara bukti keberhasilan zoo mengembalikan ‘nyawa’ spesis terancam!
Walau bagaimanapun, ianya bergantung kepada kekuatan perancangan dan pelaksanaan pihak zoo. Penulis tidak suka untuk mengulas tentang isu ‘di sebalik tabir’ Zoo Negara cuma cukuplah pihak zoo bertindak lebih agresif dalam mentadbir urus dan merangka semula program-program demi kelestarian bersama. Harga tiket hendaknya berbaloi dengan apa yang dinikmati pengunjung! Berdasarkan data terkini, pengunjung Zoo Negara telah jatuh dengan sangat drastik iaitu daripada 708,000 pada tahun 2014 kepada 368,000 pada tahun lepas! Padahal ia memerlukan sekurangnya 500,000 pengunjung setahun untuk ia menampung pelbagai kos. Usaha menambah baik fasiliti dan program bersama komuniti (CSR) dengan badan awam, swasta serta IPT perlu giat dijalankan supaya zoo ‘tidak mandul’.
RUJUKAN:
1. Md. Farhan Uddin. (2017). History of Zoo, Comparison of Different Zoo and Success of Captive Breeding in Bangladesh. IOSR Journal of Agriculture and Veterinary Science.http://www.iosrjournals.org/iosr-javs/papers/Vol10-issue2/Version-2/B1002021316.pdf
2. http://www.astroawani.com/berita-malaysia/zoo-negara-perlu-bergerak-ke-hadapan-xavier-208745
3. https://medium.com/taronga-conservation-society-australia/10-endangered-species-saved-from-extinction-by-zoos-682c454d0125
4. https://www.nationalgeographic.org/encyclopedia/zoo/
___________________________
~ Ilham Yusuf ~
Sahabat PENA
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________

Comments
Post a Comment