Apakah Fungsi Syiling Yasin?

OLEH: Taufiq Tuah

Syiling Yasin?
Syiling Yasin ialah sebuah bentuk syiling atau juga bersaiz pinggat yang menjadi simpanan ramai orang nusantara. Syiling ini dipercayai dibentuk dengan ditempa atau diacuankan. Ia dibentuk dengan pelbagai corak dan pelbagai saiz.


Kebiasaannya ia dibentuk dengan dua muka yang berbeza. Satu muka dibentuk dengan perkataan "Yasin" dan disusun perkataan ini mengikut jumlah kehendak mereka. Jika dituliskan 2 perkataan "Yasin", maka ia dipanggil Syling Yasin 2. Begitulah juga nombor seterusnya. Ada juga waktu mereka mengubah istilah "Yasin" kepada istilah lain seperti juga diletakkan Basmalah. Ada juga yang diletakkan istilah-istilah arab lainnya.

Pada muka sebelah lagi pula diletakkan gambar-gambar orang bertongkat. Ada juga yang meletakkan gambar lelaki beramai-ramai. Ada juga meletakkan gambar Kaabah dan tak terlepas juga mereka melakarkan gambar-gambar makhluk hidup. Antara yang biasa menjadi pilihan ialah gambar Ayam Laga dan Burung Merak.

Namun jangan terkejut, mereka juga melakarkan gambar-gambar para anbiya. Mereka juga melakarkan Nabi Nuh Alaihissalam, Saidina Ali RA, Wali-Wali malah juga Sami-Sami Budha.


Apakah Fungsi Syiling Yasin?
Syiling Yasin ini didakwa wujud semenjak 800 tahun lampau. Mungkin ada yang menyangka bahawa Syiling Yasin ini ialah matawang di Melaka. Mungkin juga ada yang menyangka Syiling Yasin ini daripada matawang alam bunian. Hakikatnya semua sangkaan ini ialah tidak benar sama sekali.

Syiling Yasin ialah sejenis syiling yang dibuat bukan sebagai matawang. Buktinya kukuh kerana tidak terpampang sebarang nilai muka kepada syiling-syiling ini. Malah tidak juga tertulis apa-apa istilah yang menunjukkan ia matawang seperti kebiasaan matawang misalnya 'dinar', 'fils', 'dirham' atau 'pitih'. Maka jelas bahawa Syiling Yasin ini bukanlah untuk kegunaan matawang berjual beli samada di alam realiti mahupun alam bunian.

Jadi apakah funginya?
Fungsi sebenarnya ialah untuk disimpankan khadam ke dalamnya. Memang menjadi adat kepada budaya nusantara untuk membela jin sebagai pendamping. Antara barang yang sering menjadi tempat menyimpan jin ialah kain perca, keris, keratan kertas, kain bunjut, pinggan mangkuk dan tak lupa juga syiling yasin.

Syiling Yasin memang digunakan sebagai tempat menyimpang jin. Malah ia sangat sesuai berbanding barang-barang lain tadi kerana ia diperbuat dari bahan yang tahan lama dan ia ringan malah mudah dibawa. Maka Syiling Yasin menjadi salah satu rumah istimewa kepada jin atau khadam. Jelas, ini ialah perbuatan-perbuatan syirik yang telah bercanggah daripada ajaran Islam.


Kemungkaran Syiling Yasin
Kemungkaran ini bukan sahaja sebagai bahan syirik (yang merupakan dosa besar), malah juga dilihat pada corak-coraknya yang memaparkan makhluk-makhluk hidup. Sedangkan antara adab ketika menulis ayat suci ialah dengan tidak mencorakkan makhluk hidup di sekelilingnya.

Bukan itu sahaja, Syiling Yasin juga sangat melampaui batas setelah mereka melakarkan fizikal Nabi Nuh AS, Nabi Khidir, Nabi Sulaiman, Saidina Ali RA dll. Sedangkan sosok tubuh mereka haram dilukis dan dilakarkan. Ini semua membuktikan kemungkaran yang melekar ke atas Syiling Yasin.


Jika Jumpa Syiling Yasin, Kita Nak Buat Apa?
Jika dijumpai barang syirik ini maka perlulah dihapuskan. Tidak perlu kita fikirkan tentang 'sentimen sejarah' yang ada padanya. Bahkan memadamkan kewujudan Syiling Yasin ini samalah juga seperti menjaga aib moyang-moyang kita. Juga bukankah menjaga aqidah dan tauhid itu lebih utama berbanding menjaga sejarah budaya yang syirik? Jelas menghapuskan itu lebih baik.

Bagaimana menghapuskannya?
Rendamkan Syiling Yasin sambil diruqyahkan bacaan ke dalam air. Boleh sahaja ruqyahkan hanya dengan membaca ayat kursi atau sahaja tiga qul. Kemudian, tiupkan ke dalam air tersebut.

Setelah selesai, keluarkan daripada air dan hapuskan syiling tersebut. Samada dengan mematahkannya lalu membakarnya. Juga boleh sahaja drillnya kemudian membakarnya. Malah boleh sahaja mengikut apa sahaja cara asal dimusnahkan syiling tersebut. Wallahualam.

___________________________
~ Taufiq Tuah ~
Lajnah Sejarah Dan Tradisi
_____________________________

Comments