OLEH: Ilham Yusuf
Di Alaska, kebakaran hutan adalah satu lumrah yang menjadi kemestian untuk negeri beriklim tundra ini hadapi setiap tahun. Atas sebab itulah penulis memilih tajuk ‘cinta’ yang menjadi lambang keakraban antara api dengan Alaska. Alaska sedikit unik kerana ia memiliki musim api yang dikenali sebagai ‘The Alaska Wildfire Season’. Pada kebiasaannya, ia bermula pada penghujung Mei sehingga penghujung Julai.
Kenapa api memilih Alaska? Meritt Turetsky, salah seorang ‘fire ecologist’ dari University of Guelph yang mengkaji ekosistem Alaska menjelaskan bahawa cuaca panas dan kering ditambah dengan tempoh aktiviti kilat yang sangat aktif pada bulan tertentu telah menghasilkan suatu suasana ideal untuk api mudah merebak. Berdasarkan statistik, secara purata seluas 1 juta ekar kawasan Alaska akan dijilat api setiap tahun. Pada tahun 2010, sebanyak 688 jumlah kebakaran direkodkan dan meranapkan kawasan Alaska seluas 1,125,419 ekar. Terbaru, seluas 145, 321 ekar telah dijilat api liar Alaska setakat Jun 2019. Lihatlah, betapa cintanya api terhadap Alaska.
Sebenarnya, kebakaran hutan yang berlaku secara semulajadi ini membantu tanah untuk melepaskan nutrien yang berharga demi tumbuhan sekitarnya. Namun, walaupun ianya adalah fenomena biasa di Alaska, tidak dinafikan bahawa ia turut memberi impak kerugian. Alaska sangat kaya dengan minyak dan telah menghasilkan 17 bilion tong minyak serta menyediakan banyak peluang pekerjaan untuk penduduk setempat. Sebahagian besar bekalan minyak Amerika Syarikat datang dari Alaska. Semestinya, Rusia dilihat sangat rugi kerana menjual wilayah ini ke Amerika Syarikat pada suatu ketika. Atau barangkali, ‘Rusia tidak suka bermain dengan api’.
‘Alam juga bercinta’
Rujukan
1. CNN: https://edition.cnn.com/2019/07/09/us/alaska-hess-creek-fire-2019-trnd/index.html
2. 2010 Alaska Fire Statistic: https://fire.ak.blm.gov/content/aicc/Statistics%20Directory/Previous%20Years%20Data%20and%20FFR%20Handouts/Yearly%20Fire%20Statistics%20Archive/2010.pdf
3. National Park Service, Alaska: https://www.nps.gov/locations/alaska/wildland-fire.htm
4. https://earther.gizmodo.com/alaskas-wildfire-season-is-exploding-spreading-smoke-a-1836244513
___________________________
~ Ilham Yusuf ~
Sahabat PENA
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________



Comments
Post a Comment