Sejarah Bank Islam

OLEH: Syafiq Murat

Bank Islam Malaysia Berhad (MYX: BIMB) (didaftarkan sebagai Bank Islam; tulisan Jawi: بڠک اسلام مليسيا برحد) mula beroperasi sebagai bank Islam pertama Malaysia pada tarikh 1 Julai 1983. Bank Islam ditubuhkan pada mulanya untuk memberi alternatif kepada rakyat Muslim di negara ini menggunakan perbankan berlandaskan Syariah.




BILA PENGASAS BANK MELAYU TERBUNUH, BANK ISLAM DITUBUHKAN SEBAGAI BANK PATUH SYARAK

Kalau nak tahu, bank pertama yang ada di Tanah Melayu adalah Mercantile Bank yang ditubuhkan pada tahun 1859. Mereka kemudiannya dibeli oleh HSBC Bank pada tahun yang sama dan mula beroperasi pada tahun 1860.

Pada tahun 1940-an pula, ada bank luar negara iaitu The Chartered Bank (milik British) dan Overseas Chinese Banking Corporation (OCBC) beroperasi di Tanah Melayu. Bagaimanapun, kedua-dua bank ni tak memberikan perkhidmatan pinjaman wang kepada orang Melayu. Jadi, orang Melayu terpaksa berurusan dengan ceti-ceti untuk mendapatkan pinjaman wang dan dikenakan kadar faedah yang tinggi.

Disebabkan itu, Maarof Zakaria, seorang peguam berhempas pulas untuk mengasaskan bank pertama yang dikhususkan untuk orang Melayu, iaitu The Malay National Banking Corporation Limited pada tahun 1947.

Tapi, bank tu tak bertahan lama kerana Maarof kemudiannya dijumpai mati dibunuh pada Disember tahun yang sama, dan terpaksa ditutup pada tahun 1952. Kisah pembunuhan Maarof masih menjadi misteri sehingga kini.

Tun Dr Mahathir Mohamad juga menyifatkan kematian pengasas Malay National Bank, Maarof Zakaria, sebagai tragik dan sangat menyedihkan kerana ia berlaku ketika peguam itu berusaha membantu orang Melayu keluar daripada kepompong kemiskinan menerusi penubuhan bank.

Tragis, sangat terkesan!


Selepas penubuhan bank untuk Melayu yang tak dapat bertahan lama, orang Islam di Malaysia kemudiannya beralih ke arah bank konvensional, iaitu bank sistem barat. Perkhidmatan bank jadi lebih penting dari masa ke semasa. Sebabnya, selain daripada boleh letakkan duit simpanan, bank juga boleh tolong untuk buat pelaburan dan pembiayaan untuk mengukuhkan ekonomi, terutama sekali bagi peniaga.

Tapi dalam masa yang sama mereka juga tahu yang hampir semua jenis perkhidmatan bank, perjanjian atau kontrak yang dimeterai antara bank dan pelanggan mengandungi unsur-unsur yang ditegah dalam agama Islam, khususnya membayar atau menerima faedah. Macam yang kita tahu, faedah adalah riba, dan riba adalah haram dalam syariah Islam.

Pada zaman tu juga, banyak je bank-bank konvensional yang lain dah wujud. Tapi disebabkan umat Islam di Malaysia semakin peka dan betul-betul cuba untuk berpegang teguh dengan agama Islam, mereka merasa was-was.

Disebabkan perkara ni lah, ada beberapa tuntutan dibuat melalui tulisan dalam pelbagai akhbar dan majalah. Ada juga perjumpaan, seminar dan kongres diadakan untuk membincangkan perkara ini dan membuat resolusi.

Cadangan tersebut diterima oleh Jabatan Perdana Menteri, yang kemudiannya menubuhkan Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan Mengenai Bank Islam pada tahun 1981. Jawatankuasa Pemandu ini mengemukakan laporan pada tahun 1982, dan mencadangkan penubuhan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB).



Bank Islam berjaya ditubuhkan pada 1983, dan menjadikan Islamic Development Bank (IDB) dari Jeddah sebagai role model.


Kerajaan menerima cadangan ini dan BIMB pun ditubuhkan pada 1 Mac 1983, dan Datuk Dr Abdul Halim Ismail dilantik sebagai Pengarah Urusan Bank Islam Malaysia Berhad.

Jadi menurut Datuk Dr Abdul Halim Ismail lagi, pada anggapannya, hukum menubuhkan Bank Islam merupakan kewajipan, bukan lagi harus.

Bank dah ikut syarak, tapi insurans belum, menyebabkan insurans patuh syariah mula dijalankan.

Selepas pembukaan Bank Islam pertama di Malaysia, bank ni mendapat sambutan oleh umat Islam di negara ini. Segalanya berjalan lancar pada tahun pertama, tapi macam mana-mana syarikat baru, masih ada kekurangan yang ditemui.

Walaupun kemudahan pembiayaan yang diperolehi daripada Bank Islam ni berlandaskan syariah, ada satu lagi perkara yang tak ikut syariah, iaitu perlindungan insurans yang masih lagi beroperasi di bawah sistem konvensional. Disebabkan perkara ni, munculnya idea untuk memperkenal khidmat-khidmat insuran yang patuh syariah kepada umat Islam, yang lebih dikenali sebagai ‘Takaful’.

Jadi, Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) pun menubuhkan anak syarikat “Syarikat Takaful Malaysia Berhad” pada tahun 1984. Syarikat Takaful menawarkan kedua-dua jenis khidmat, iaitu Takaful Am dan Takaful Keluarga.


Kenali Bapa Perbankan Islam Malaysia


Sungguh besar sumbangan yang diberikan oleh Datuk Dr. Abdul Halim Ismail terhadap industri perbankan Islam di Malaysia. Sehubungan dengan itu jugalah, beliau dikenali sebagai Bapa Perbankan Islam. Jom kita berkenalan dengan tokoh ini dengan lebih mendalam.

Anak Melayu Pertama Graduate Di Oxford

Selain daripada seorang menteri kabinet kita yang terkenal dengan menjadi seorang graduan Oxford, Datuk Dr. Abdul Halim Ismail pula merupakan anak melayu pertama yang menjadi graduan di Universiti Oxford, United Kingdom (UK) pada peringkat ijazah doktor falsafah (PHD) dalam bidang ekonomi pada tahun 1969.

Bangunkan Bank Islam Pertama Di Malaysia

Sumbangan beliau dalam bidang kewangan Islam yang paling hebat adalah dengan memainkan peranan penting dalam merangka penubuhan Bank Islam Pertama di Malaysia pada tahun 1983. Ini telah melayakkan beliau digelar sebagai Bapa Perbankan Islam.

Bank Islam Malaysia telah membangun dengan pesat dan unggul di peringkat antarabangsa ketika di bawah kepimpinanya sebagai pengarah urusan pertama Bank Islam Malaysia Bhd. (Bank Islam).

Orang Pertama Terima Anugerah Diraja Kewangan Islam

Datuk Dr. Abdul Halim Ismail merupakan orang pertama daripada Malaysia yang telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Diraja Kewangan Islam bersempena Forum Kewangan Islam Antarabangsa (GIFF) pada tahun 2014.

Berdasarkan pencapaian dan juga jasa yang telah disumbangkan oleh beliau terhadap kemajuan industri dan kewangan Islam negara dan antarabangsa, menjadikan beliau terpilih untuk menerima anugerah berprestij ini.

Selain daripada itu, beliau turut menjadi penerima anugerah tokoh kewangan islam oleh Persatuan Bank-Bank Islam Malaysia (AIBIM) pada tahun 2001 di atas pencapaian beliau dalam bidang kewangan islam. Pada tahun 2004 pula, beliau telah menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah peringkat kebangsaan.


___________________________
~ Syafiq Murat ~
Sahabat PENA

Comments