Sejarah Dan Misteri Bukit Melawati

OLEH: Saufy Jauhary



Bukit ini dahulunya dinamakan dengan Bukit Selangor kerana lokasinya berhampiran dengan Sungai Selangor, namun kini lebih dikenali dengan nama Bukit Melawati iaitu bersandarkan pada nama sebuah busut yang besar di puncak bukit ini yang dinamakan Busut Melawati.

Di bukit Melawati ini terdapat banyak kesan-kesan sejarah tinggalan kesultanan Melayu Bugis Selangor. Antara kesan jelas yang dapat dilihat ialah tembok yang mengelilinginya sebagai bukti pada zaman dahulu di atas bukit ini terdapat sebuah kota. Kota tersebut dibina pada zaman Sultan Ibrahim (1778-1826) dengan batuan pejal yang tersusun rapi, dan dihiasi pula dengan beberapa pucuk meriam. Sebagai langkah mengelakkan keruntuhan susunan batu-batu ini, ditanamkan pula pokok-pokon Jati dan Sena secara berselang seli sejarak kira-kira sepuluh kaki antara satu dengan yang lain. Semasa Belanda menakluki Kuala Selangor, kota ini diubahsuai dan ditambahkan beberapa pucuk meriam pertahanan.




Tembok-tembok yang mengelilingi Bukit Melawati

Selain kesan-kesan sejarah, di atas bukit ini terdapat juga sebuah rumah api yang menjadi isyarat kepada kapal-kapal di laut supaya tidak terlalu rapat ke pantai Selangor kerana di pantai Kuala Selangor terdapat beting yang keras. Selain itu terdapat kawanan monyet-monyet yang menjadi penarik kepada pelancong-pelancong untuk berkunjung ke bukit ini disebabkan monyet-monyet yang dipanggil Lotong ini sangat jinak kepada pengunjung, lebih-lebih lagi pengunjung yang memberikan mereka makanan.

Di Bukit Melawati ini terdapat banyak cerita-cerita aneh. Antara yang sempat dicatatkan di dalam buku oleh pengkaji sejarah ialah pada tahun 1930-an, Tuan Pegawai Daerah Kuala Selangor yanag berbangsa Inggeris telah mengadakan majlis jamuan dengan sahabat handainya untuk bersukaria sambil mengadakan majlis tarian. Suasana gembira itu kemudiannya menjadi sunyi sepi apabila meja dan kerusi bergerak sendiri diikuti lampu yang turut terpadam sendiri. Dua tiga orang yang hadir sempat ditampar oleh sebuah lembaga yang memakai pakaian berwarna hitam.



Cerita yang lain pula menerangkan dalam tahun 1948, ketika itu Tuan Pegawai Daerah Kuala Selangor yang berbangsa Inggeris bernama D.A. Dorrie telah suatu hari minggu datang bersama-sama temannya untuk berjalan-jalan sambil menembak burung yang sememangnya banyak bertenggek di dahan pokok Jati dan Sena di waktu petang. Keesokan harinya mereka mendapati motokar mereka telah menggelungsur jatuh di jurang bukit tersebut. Dari kejadian itu, Tuan Pegawai Daerah telah meletakkan sekeping papan kenyataan melarang sesiapa pun tidak boleh menembak sebarang jenis haiwan di atas bukit tersebut. papan ini diletakkan di bawah bukit berhampiran dengan tangga naik ke bukit ini.

Kisah yang lain pada tahun 1960, seorang lelaki cuba melastik seekor daripada kera yang bertenggek di atas pagar makam, pada ketika itu juga budak lelaki tersebut menggelupur dan pengsan.

Antara misteri  yang lain ialah pada Bukit Melawati ini ialah datangnya dari Busut Melawati. Busut ini dibina oleh Sultan Ibrahim yang mana tujuan pembinaanya adalah sebagai tempat beristirehat di puncak busut dan sebagai gedung menyimpan harta-harta kerajaan. Dikatakan pada perut busut ini terdapat sebuah gua yang mana pada zaman dahulu Sultan telah menyimpan beberapa senjata dan khazanah kerajaan Selangor namun hingga kini tidak dijumpai pintu masuk gua tersebut mungkin kerana telah dikambus.

Di antara senjata yang menarik minat orang ramai untuk memilikinya ialah tiga bilah keris yang  masing-masing 7, 5 dan 3 lok. Keris tersebut dikatakan masih tersimpan di dalam gua tersebut. telah beberapa orang yang cuba untuk mengeluarkannya  tetapi gagal. Usaha ini paling kerap dilakukan oleh mereka yang terlalu gilakan nombor ekor.

Busut Bukit Melawati

Dalam tahun 1975, ada seorang yang mencuba nasib untuk mndapatkan keris di dalam gua ini. Lelaki itu telah memanggil bomoh yang pandai menurun/memuja pergi ke busut tersebut, tetapi usahanya gagal. Apabila dia pulang ke rumah di waktu malam, dia bermimpi datang suatu lembaga hitam mencekik lehernya. Sehingga kini masih menjadi tanda tanya, adakah benar-benar barang dan senjata tersebut masih tersimpan. Tidak ada sesiapa pun yang dapat membuktikannya, walaupun ada ura-ura hendak menggalinya tetapi belum berjaya.

Cerita misteri lain tentang bukit ini ialah berkenaan sepucuk meriam yang terletak di dalam makam diraja dan dibalut dengan kain kuning.  Meriam tersebut dinamakan Meriam Datuk Penggawa. Ada sejarahnya kenapa dinamakan sebagai meriam Datuk Penggawa namun tidak dapat saya nyatakan kerana penceritaannya agak panjang. Sesiapa yang berminat boleh baca sejarahnya di laman-laman web yang ada menceritakannya. Apa yang misteri  dengan meriam ini ialah ia dilaporkan meletup dengan sendirinya sebanyak dua kali. Kali pertama adalah pada awal tahun 1961 apabila Sultan Abdul Aziz berkehendakkan meriam ini dibawa ke Istana Alam Syah, Klang yang ketika itu baru siap dibina.

Meriam Datuk Penggawa

Meletup pada kali kedua ialah pada 16 Ogos 1976, bersamaan 22 Ramadhan 1396 iaitu hari khamis kira-kira pukul 3.45 petang. Letupannya sangat kuat hingga mengegarkan Pejabat Pos, Masjid, Balai Polis dan balai Bomba. Tempat-tempat yang paling jauh kedengaran letupannya ialah Bukit Kerayung, 25 batu dari Kuala Selangor ke selatan. Di bahagian utara pula adalah di Sekinchan, kira-kira 20 batu dan Raja Musa kira-kira 16 batu ke timur.

Antara misteri yang lain ialah di Bukit Melawati ini terdapat beberapa pokok Sena yang jika ditoreh akan mengeluarkan getah yang warnanya pekat seperti darah. Terdapat berbagai-bagai andaian mengapa pokok Sena ini getahnya berwarna merah. Ada yang mengaitkan dengan beberapa mitos. Antara mitosnya ialah kisah seorang dayang istana yang dipancung kepalanya akibat perbuatan zina yang menyebabkan Sultan menjadi murka. Darahnya dikatakan disimbah di sekitar kota Malawati sebagai pengajaran kepada rakyat agar tidak melakukan perbuatan zina. Sejak dari peristiwa itulah getah beberapa pokok Sena tersebut menjadi warna darah.

Pokok Sena yang ditoreh sendiri oleh penulis

Sebelum Perang Dunia kedua, penduduk tempatan menganggap bukit ini berpuaka lebih-lebih lagi ada sebuah rumah kerajaan yang dibina di pinggir bukit tersebut tidak ada sesiapa yang berani menjadi penghuninya walaupun dari bangsa asing. Tidak ada orang yang pergi bermain, mengambil angin di waktu petang atau bersiar-siar menyedut udara nyaman. Tetapi keadaan ini terus berubah, kini Bukit Malawati merupakan tempat perkelahan bukan sahaja di waktu cuti minggu , malah setiap hari ada sahaja pengunjung yang hadir sama ada dari warga tempatan atau pelancong asing. Bukan sahaja pada waktu siang, malah pada waktu malam pun kerap didatangi oleh anak-anak muda untuk berkumpul sambil bersembang dan bersenda gurau di atas Bukit ini terutamanya di bawah rumah Api kerana telah dipasang lampu-lampu yang menerangi kawasan terbabit.

Lotong-lotong yang jinak di Bukit Melawati menarik kedatangan pelancong

Kemungkinan dengan  adanya kunjungan yang tidak henti-henti dari orang ramai ini menyebabkan prasangka negatif terhadap bukit ini semakin terhakis dan luput di arus zaman. Hanya ada beberapa larangan sahaja yang masih dipatuhi iaitu tidak boleh menembak haiwan dan tidak boleh berkelakuan tidak senonoh di kawasan berhampiran makam diraja.


___________________________
~ Saufy Jauhary ~
Lajnah Sejarah Dan Tradisi
_____________________________

Comments