Biodata Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj

OLEH: Prof Emeritus Ahmat Adam


Tulisan yang dimuatkan di fb kali ini berupa suatu teks pidato umum yang saya sediakan untuk majlis upacara konvokesyen istimewa di Universiti Malaysia Sabah. Pidato tersebut disampaikan pada hari Rabu, 22 Ogos 2001 sewaktu diadakan istiadat Konvokesyen Komemoratif yang menyaksikan penganugerahan Ijazah Kehormat kepada DYMM Seri Paduka Baginda Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-XI, bersempena Lawatan Dirajanya ke Sabah pada bulan Ogos tahun tersebut. Teks pidato ini belum pernah disiarkan di mana-mana tetapi memandangkan ia mengandungi beberapa maklumat sejarah yang mungkin berguna kepada sang penyelidik sejarah maka saya perturunkannya di facebook untuk tatapan umum.

Seyogia diingati sebelum menyusun teks pidato ini saya telah diberikan penghormatan untuk mewawancarai Duli Yang Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di pejabat istananya.

UCAPAN PEMIDATO UMUM
Sempena Konvokesyen Kememoratif Diraja

Oleh
Prof. Dr. Ahmat Adam
Dekan, Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa

Tuan Yang Terutama Tun Canselor, adalah dimaklumkan bahawa Senat Universiti Malaysia Sabah telah memutuskan agar Ijazah KEHORMAT Doktor Falsafah, dianugerahkan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj.

Ampun Tuanku beribu ampun
Sembah patik mohon diampun.

Adapun pada hari ini
Telah berhimpun khalayak dan kerabat;
Nang jauh sama dijemputkan
Nang dekat sama dikampungkan

Terbentang tirai langit-langit
Terkembang si payung kuning
Berpakai adat bertiru berteladan;
Menurut adatnya Cendekiawan

Kuning tanda daulat raja
Biru tanda tuah datuk
Ungu tanda kebesaran adat
Merah bagai darah di tubuh
Yang tidak berbilang bangsa;
Putih tanda jalan lurus
Tanda ‘alim berkitabu’llah
Tanda bersih luar dalam

Sudah berkecipong tawak-tawak
Sudah meningkah bunyinya gendang;
Sudah bertiup serunai dan suling
Sudah bercanang celempong gangsa

Kok Adat sudah beratur
Kok Bilang sudah bertentu
Yang patut dipatutkan
Yang tua dituakan
Yang berbangsa dibangsakan
Balai-ruang besusun orang

Menyaksikan semuanya
Istiadat wisuda Seri Paduka Baginda.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdul Aziz Shah diputerakan pada 8 Mac 1926 bersamaan tahun Hijriah 22 Sya’aban 1344. Putera gahara Duli Yang Maha Mulia Sultan Hisamuddin Alam Shah ini mula-mula menerima pendidikan secara tidak formal di istana ayahandanya dalam bidang keagamaan, khasnya mengaji Quran, dan mempelajari tatasusila dan tatatertib keistanaan. Pada tahun 1934 bermulalah pendidikan rasmi Seri Paduka Baginda apabila Baginda Tuanku memasuki Sekolah Melayu Pengkalan Batu, di Kelang. Menyedari betapa pentingnya pelajaran lanjutan, dan terutamanya keperluan menguasai bahasa Inggeris, serta peluang untuk bergaul dengan putera-putera raja dan anak-anak pembesar Melayu yang lain, maka pada tahun 1936 ayahanda baginda Duli Yang Maha Mulia Sultan Hisamuddin Alam Shah, Sultan dan Yang di-Pertuan Negeri Selangor, telah memasukkan Seri Paduka Baginda ke Malay College Kuala Kangsar. Tetapi pelajaran Baginda Tuanku di Malay College tergencat apabila pecah Perang Dunia Kedua pada bulan Disember 1941. Baginda pun terpaksa kembali ke Kelang dan menetap dan bersemayam bersama-sama ayahanda dan bondanya di istana Jama’iah, Kampung Jawa, Kelang. Istana inilah, kemudiannya, telah dijadikan Kolej Islam Kelang.

Setelah tamat Perang Dunia Kedua, pada 1 Ogos 1946 Seri Paduka Baginda telah dilantik sebagai Yang Amat Mulia Tengku Laksamana Selangor. Setahun kemudian, ketika gerakan menentang Malayan Union sedang bergejolak, Baginda Tuanku telah dihantar ke England iaitu pada bulan Ogos 1947 untuk meneruskan pendidikannya yang terbantut.

Di London, Seri Paduka Baginda telah menetap di Earl’s Court bersama-sama dengan dua orang tokoh kebangsaan, yakni Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra dan Tun Abdul Razak. Pergaulan Baginda Tuanku dengan dua orang tokoh ini penting dari segi mendewasakan Baginda Tuanku dalam soal-soal pendidikan; bahkan Tunku Abdul Rahmanlah yang telah menasihati Baginda Tuanku supaya tekun belajar dan agar mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan.

Setelah beberapa ketika belajar di sebuah sekolah swasta, Seri Paduka Baginda pun melanjutkan pelajarannya di School of Oriental and African Studies, Universiti London, yang pada zaman itu menjadi tempat melatih pentadbir-pentadbir yang bakal ditempatkan di tanah jajahan British dalam bidang pentadbiran; kolej ini yang berupa sebahagian daripada Universiti London, terkenal dalam menyediakan kursus-kursus mengenai pengajian ketimuran dan Afrika. Seyogia diingati, pada waktu Seri Paduka berada di School of Oriental & African Studies itu, seorang Inggeris yang telah banyak menyumbang jasa kepada pengembangan sejarah, kebudayaan dan kesusasteraan Melayu, sedang memegang jawatan Reader di universiti itu. Tokoh itu ialah Sir Richard Winstedt yang tidak asing itu.

Kebetulan pula, pada waktu itu, seorang anak Melayu baharu sahaja dilantik sebagai pensyarah bahasa Melayu di School of Oriental & African Studies (yakni mulai tahun 1947 sehingga tahun 1950). Tokoh itu tidak lain dan tidak bukan ialah ZA’BA atau (Dr.) Haji Zainal Abidin bin Ahmad, seorang reformis dan pemikir Melayu yang ulung pada abad yang lalu.

Selama dua tahun berada di School of Oriental & African Studies, ternyata banyak pengetahuan dan pengalaman yang telah Baginda Tuanku perolehi. Pada ketika itu Seri Paduka Baginda telahpun memegang gelar Tengku Laksamana, iaitu gelaran pangkat yang pertama bagi jawatan Orang Besar Istana.

Dengan berbekalkan ilmu yang telah diperolehinya, sebaik sahaja kembali ke Tanah Melayu, Seri Paduka Baginda pun menceburkan diri dalam bidang perkhidmatan awam sebagai seorang pentadbir pelatih. Segala selok belok pentadbiran pun mulai dipelajari baginda di bawah bimbingan Allahyarham Raja Tun Uda; mula-mula di ibu pejabat Setiausaha Kerajaan Selangor. Tidak berapa lama kemudian, Baginda Tuanku pun berkhidmat pula di Jabatan Ukur Negeri Selangor, sebelum bertugas sebagai Nazir Sekolah di Jabatan Pelajaran Negeri selama delapan bulan.


Keberadaan Seri Paduka Baginda di kedua-dua jabatan ini telah mendatangkan ingatan yang sangat mengesani kepada Baginda Tuanku sehinggalah ke hari ini. Ketika berada di Jabatan Ukur, Seri Paduka Baginda telah terlibat dengan kerja-kerja di lapangan. Antara kerja-kerja “surveying” yang dijalankan ialah mengukur tanah di seluruh wilayah Damansara, yang pada waktu itu masih diselimuti hutan belantara, dan juga kawasan Lake Garden yang pada hari ini turut menjadikan Kuala Lumpur bandar moden yang serba indah. Ketika menjadi Nazir Sekolah pula, setiap kali Seri Paduka Baginda membuat lawatan ke sekolah-sekolah di dalam negeri Selangor, tidak pernahlah Baginda Tuanku alpa untuk membawa beberapa set buku-buku latihan untuk diagih-agihkan kepada murid-murid. Sesungguhnya sifat dermawan dan suka membuat kerja amal ini telah terpupuk sejak usia muda Seri Paduka Baginda lagi.

Sesuai dengan tradisi putera raja-raja Timur, Seri Paduka Baginda, yang pada 13 Mei 1950 telah dilantik sebagai Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, semakin merasakan keperluan membina persiapan, untuk suatu hari kelak mewarisi takhta kerajaan. Oleh yang demikian, selain perlu mendapatkan kemahiran sebagai pentadbir, seseorang calon bakal raja juga perlu dibekalkan dengan sifat-sifat kesatriaan dan ilmu ketenteraan. Maka justeru kerana itulah, pada tahun 1952, Seri Paduka Baginda telah diberi kesempatan untuk mengikuti kursus jangka pendek di Maktab Tentera Port Dickson selama enam bulan sebagai “potential officer” dalam ketumbukan Askar Melayu. Pada waktu inilah Baginda Tuanku bertemu dengan Sir Gerald Templer, panglima tentera British yang memprakarsai peperangan menentang gerakan komunis pada zaman Darurat. Pada penamatan kursus itu Seri Paduka Baginda telah ditauliahkan dengan pangkat Kapten, dan tidak lama kemudian dinaikkan ke pangkat Major.

Ketika Darurat sedang berkecamuk, wajar disebutkan di sini, Seri Paduka Baginda juga telah diberi peranan oleh ayahandanya Duli Yang Maha Mulia Sultan Hisamudin Alam Shah untuk memantau pasukan-pasukan “Home Guard” atau “Pengawal Kampung” di kawasan luar bandar bagi memastikan kesiapsiagaan pasukan itu dalam menghadapi ancaman gerilya komunis.

Minat Baginda Tuanku dalam pasukan pertahanan ini berterusan, sehingga bukan sahaja melibatkan tentera darat, tetapi juga tentera udara dan tentera laut. Pada tahun 1966 Seri Paduka Baginda menyandang jawatan Kolonel Yang Di Pertua Angkatan Tentera Udara Di Raja dan pada 26 April 1984 Baginda telah dilantik sebagai Kapten Yang Di Pertua Kehormat Tentera Laut Diraja Malaysia. Sesungguhnya Baginda Tuanku telah melengkapi dirinya dengan berbagai ilmu dan ketrampilan.

Almarhum Sultan Salahuddin pada tahun 1965

Latihan-latihan di bidang akademik dan profesional, baik sebagai pentadbir mahupun sebagai pegawai tentera, sesungguhnya telah menjadikan Seri Paduka Baginda seorang yang serba boleh, dan amat sesuai sebagai persiapan untuk memikul tanggungjawab sebagai pemerintah dan Yang di-Pertuan pada masa hadapan. Beliau juga mempunyai minat yang mendalam terhadap sukan; dan permainan yang amat digemarinya ialah golf.

Di bidang pentadbiran keagamaan, Seri Paduka Baginda juga mempunyai pengalaman yang luas; Baginda Tuanku telah memegang jawatan Yang Di Pertua Jabatan Agama Islam Negeri Selangor selama tiga tahun berturut-turut. Sesungguhnnya Seri Paduka Baginda juga merupakan seorang raja yang sangat mengambil berat dalam hal ehwal agama Islam. Pada setiap Jumaat Seri Paduka Baginda akan bersembahayang bersama-sama rakyat dengan mengunjungi masjid-masjid secara bergeler di seluruh negeri. Sebagai pemerintah dan Sultan negeri Selangor, Baginda Tuanku juga menaungi pembinaan beberapa buah masjid yang indah-indah.

Sifat-sifat menyayangi rakyat dan suka meluaskan pengalamannya dalam banyak bidang diperkaya lagi oleh pengalaman yang ditimba apabila Seri Paduka Baginda membuat beberapa kunjungan luar negeri. Sebagai bakal raja, sepanjang tempoh 1952 – 1960 Seri Paduka Baginda telah tiga kali diberi tanggungjawab untuk menyandang jawatan Pemangku Raja.

Kata bidalan: manusia merancang Tuhan melaksanakan. Demikianlah, takdir telah menentukan. Dan pada 3 September 1960 Seri Paduka Baginda telahpun dimasyhurkan sebagai Sultan Selangor dengan gelar Duli Yang Maha Mulia Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah kerana menggantikan Almarhum ayahandanya, Duli Yang Maha Mulia Sultan Hisamuddin Alam Shah yang telah mangkat. Berikutan daripada itu, pada 28 Jun 1961 Duli Yang Maha Mulia Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah pun ditabalkan sebagai Pemerintah dan Sultan bagi negeri Selangor dan seluruh jajahan takluknya.

Bukan raja sebarang raja
Raja asal raja usul
Raja menitik dari Bugis
Keturunan Opu Tendreburang Daeng Relaka
Anak cucu Raja Lumu
Raja Berdaulat Yang Memerintah
Tanah Pusaka bertuah
Negeri Selangor Darul Ehsan
Menjadi Raja beralam
Bergelar Yang Di Pertuan Agong
Memegang Adat bersendi hukum
Hukum bersendi Kitabu’llah
Memercik daulat Bumi Malaysia
Yang Makmur Aman Sentausa.

Jasa Seri Paduka Baginda kepada negeri Selangor dan rakyat jelatanya amatlah mengesankan. Sebagai seorang raja, Baginda Tuanku sangat menyayangi rakyatnya. Begitu pula rakyat menjunjung kasih dan menyayangi baginda. Baginda Tuanku bergaul bebas bersama rakyat dan sangat aktif dalam hal-hal kebajikan rakyat terutama di bidang pendidikan dan keagamaan. Seringkali Baginda Tuanku membuat lawatan dan kunjungan ke pelusuk-pelusuk negeri untuk bertemu rakyat berbagai kaum dan golongan.

Keperihatinan Baginda Tuanku terhadap kebajikan rakyat menyebabkan baginda senantiasa sibuk dengan acara-acra bersama rakyat. Bahkan rakyat Selangor amat mengetahui kesukaan Seri Paduka Baginda bergaul dengan rakyat. Setiap kali Baginda Tuanku berkunjung ke Pulau Ketam baginda sering berbasikal menemui rakyat berbilang kaum dan lapisan. Dalam kerja-kerja kebajikannya, selain membuat lawatan ke rumah-rumah sakit, rumah anak yatim piatu, rumah kanak-kanak cacat dan sebagainya, Seri Paduka Baginda juga memberikan perhatian kepada perkara seperti galakan membaca di kalangan rakyat. Sehubungan dengan ini, Baginda Tuanku sangat menggalakkan penubuhan perpustakaan di kawasan luar bandar. Bahkan pernah Baginda Tuanku mencadangkan supaya ditubuhkan Tabung Perpustakaan untuk memperbanyak buku-buku perpustakaan rakyat di negeri Selangor. Seri Paduka Baginda juga seorang yang sangat perihatin terhadap soal-soal keagamaan. Secara peribadi Baginda Tuanku kerap kali memberikan bantuan dan sumbangan amal jariah kepada masjid-masjid dan surau-surau. Sesungguhnya Seri Paduka Baginda telah menjadi pengasas kepada beberapa buah masjid di Selangor.

Seri Paduka Baginda juga mempunyai minat yang luar biasa terhadap sejarah. Baginda Tuanku sendiri telah memantau penubuhan Muzium Negeri Selangor. Negeri Selangor amat bertuah kerana, lantaran minat Seri Paduka Bagindalah, maka sehingga kini Selangor boleh berbangga dengan tiga buah muziumnya: Muzium Diraja atau muzium kenang-kenangan, Muzium Negeri dan Muzium Gambar. Ini ditambahi pula dengan Galeri Diraja di Kelang yang jelas mencerminkan sejarah gemilang keunggulan raja dan kerajaannya.

Oleh kerana minatnya yang mendalam di bidang pendidikan, pada 1 Ogos, 1977 Universiti Pertanian Malaysia telah melantik Baginda Tuanku sebagai Canselornya yang pertama. Rasa akrabnya terhadap UPM masih segar sampai ke hari ini dan selama Baginda Tuanku menjadi Canselor universiti itu banyak juga kemajuan yang telah dicapainya. Sebagai mengenang jasanya, pada 2 April 1994 Baginda Tuanku telah dianugerahi ijazah KEHORMAT Doktor Persuratan oleh Universiti tersebut.

Apabila Seri Paduka Baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-11, jasa dan khidmat cemerlang Seri Paduka Baginda kepada rakyat terus-menerus terserlah. Seri Paduka Baginda Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sangat terkenal sebagai seorang yang dermawan dan suka menolong pihak yang memerlukan. Sesungguhnya, Seri Paduka Baginda adalah seorang raja yang sangat mengambil berat terhadap kebajikan dan kepentingan rakyatnnya.

Tuan Yang Terutama Tun Canselor,

Sudah pada tempatnyalah pada hari yang bersejarah ini Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dianugerahi ijazah kehormat yang tertinggi dalam Konvokesyen Komemoratif Diraja ini.

Tuan Yang Terutama Tun Canselor, saya dengan penuh takzimnya memohon Tun Canselor menganugerahkan ijazah KEHORMAT Doktor Falsafah kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj.
(Selesai).

___________________________
~ Prof. Emeritus Sejarah Ahmat Adam ~
Ahli Sejarah
_____________________________

Comments