Sejarah Keris Siamang Tunggal

OLEH: Saufy Jauhary





Pada 21 Mac 2019 yang lalu pihak syarikat animasi Les' Copaque Production telah menghasilkan sebuah filem animasi Upin & Ipin yang baharu bertajuk Keris Siamang Tunggal. Filem ini telah mencatat rekod pecah panggung dengan mencapai kutipan tiket sebanyak RM26 juta selepas 21 hari ditayangkan. Selain itu filem ini juga telah memenangi Filem Cetera Terbaik Festival Filem Animasi Antarabangsa 2019 (ANIMAZE) di Montreal, Kanada. Sinopsis filem ini adalah mengisahkan bagaimana Upin dan Ipin bersama rakan-rakannya terperangkap dalam keris mistik yang dijumpai dalam bilik stor Tok Dalang dan terus membawa mereka ke sebuah kerajaan Inderaloka. Semasa mencari jalan kembali ke Kampung Durian Runtuh, mereka membantu memulihkan kerajaan itu kembali ke bekas kemuliaannya. Pengembaraan itu membawa mereka bertemu pelbagai watak dongeng popular tempatan antaranya Mat Jenin, Si Tanggang, Bawang Putih Bawang Merah dan Belalang.

Apa yang ingin penulis kongsikan di sini ialah tentang sejarah Keris Siamang Tunggal tersebut. Walaupun ia hanyalah suatu objek fantasi yang dicipta oleh pengarah filem, namun sebenarnya keris ini diinspirasikan daripada keris yang sebenar. Pengarah Urusan Les' Copaque, Burhanuddin Md Radzi berkata: "Keris sebagai bahan utama dalam penceritaan ini kerana melambangkan kekuatan orang Melayu. Kami mengambil inspirasi daripada keris kebesaran Selangor iaitu Keris Berok Berayun". Selain itu terdapat satu kenyataan di media sosial daripada Les' Copaque: "Nama Keris Siamang Tunggal diambil dari nama Keris Beruk Berayun, iaitu alat kebesaran diraja Selangor. Namun begitu, nama keris ini diubah bagi menghormati kedaulatan dan menyesuaikan dengan konsep filem".

Burhanuddin Md Radzi



Keris Panjang Beruk Berayun

Keris ini merupakan salah satu daripada alat-alat kebesaran Kesultanan Selangor. Ianya adalah keris yang panjang dan mempunyai Hulu Bali, sampir Madura dan agak unik kerana matanya tidak berlok. Keris ini diperturunkan dari sultan ke sultan. Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah adalah sultan yang pertama mengucup keris ini ketika istiadat permasyhuran baginda.

Keris Panjang Beruk Berayun



Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mencium keris kebesaran, Keris Panjang Beruk Berayun pada hari Pemasyhuran baginda.

Sejarah Asal Usul Keris Panjang Beruk Berayun

Ada bermacam-macam versi cerita tentang asal usul Keris Panjang Beruk Berayun ini. Ada yang mengatakan keris ini berasal dari nama seorang kerabat Diraja Selangor yang bernama "Ja Berayun" yang merupakan panglima kiri Sultan Abdul Samad. Asal nama Ja Berayun adalah Raja Berayun dengan menyingkirkan nama "Raja". Dikatakan pada zaman dahulu beliau menjaga seluruh kawasan Jugra bermula dari Pengkalan Batu Hampar. Beliau dikatakan tidak bergerak di tanah tetapi bergayut dari dahan ke dahan seperti monyet. Dikatakan kini makamnya terletak di Jugra di kawasan hutan berdekatan makam Sultan Abdul Samad.

Ada juga yang mengatakan keris ini asalnya dimiliki oleh seorang panglima berketurunan Mandailing bernama Raja Borayun. Beliau dikatakan sebagai salah seorang Imam Perang Mandailing  di samping Raja Asal dan Raja Bilah yang berperang menentang Sultan Abdul Samad dan putera Raja Kedah iaitu Tengku Kudin dalam Perang Kelang. Walaupun bermusuhan dan memerangi satu sama lain, Raja Borayun dimakamkan juga di Bukit Melawati atas dasar Silaturrahim dan rasa persahabatan suatu waktu dahulu. Kemudian dikatakan bahawa makam Raja Borayun dipindahkan ke kaki Bukit Jugra, Banting agar berhampiran dengan makam almarhum Sultan Abdul Samad.

Satu cerita lagi ialah dikatakan keris ini asalnya milik Tok Buruk Berayun yang berasal dari Kuala Selangor. Tok Buruk Berayun adalah moyang kepada Tok Bangau Sumbing (1860) bin Orang Kaya Dewa Pahlawan Bangau Tok Sekam bin Tok Sahi Bai bin Bai Sahur bin Tok Buruk Berayun. Orang Kaya Dewa Pahlawan Tok Sekam (Kuala Semantan) ini adalah Panglima Sultan Selangor semasa perang melawan Belanda di Kuala Selangor. Selepas tamat perang,beliau mengikut pulang angkatan Bendahara Wan Abdul Majid Pahang yang membantu Selangor ketika itu dan terus menetap di Pahang dan diberi jawatan pembesar daerah. Moyang beliaulah Tok Buruk Berayun yang dikatakan pemilik asal keris tersebut.

Dalam kepelbagaian versi cerita yang berlegar-legar dalam kalangan rakyat negeri Selangor, pihak Wangsa Mahkota Selangor, mengeluarkan kisah rasmi asal usul Keris Panjang Beruk Berayun ini. Mudah-mudahan inilah versi yang paling tepat:-

Keris Panjang Berok Berayun adalah satu alat kebesaran Diraja Selangor di dalam Adat Istiadat Pertabalan dan kuasanya serta kehebatannya boleh digambarkan dalam baris berikut: –

‘Pantang di Gerak pantang di ayon”
“Bisanya menyenak Hingga ke ubun-ubun”

Bilahnya dibuat dari besi dipanggil “Lela Rentaka” (sejenis meriam orang Melayu). Nama Berok Berayon kerana, menurut legenda, keris ini pertama kali ditemui dalam milikan monyet besar (berok) yang berayun dari cabang pokok dan pada masa yang sama menyerang pejalan kaki dan membunuh 99 orang yang melalui jalan tersebut. Tragedi tersebut telah mengemparkan semua penduduk kawasan tersebut. Namun begitu terdapat seseorang telah berjaya membunuh berok tersebut dan mengambil keris tersebut dengan menggunakan kayu lembut sebagai perisai di seluruh badan, dia perlahan-lahan maju ke arah monyet dan dalam perjuangan yang memastikan beliau ditikam dengan senjata tetapi seperti yang dijangka ia kekal tertanam dalam kayu lembut yang dijadikan perisai dibadan. Lantas lelaki itu segera memegang keris dan membunuh monyet besar tersebut.

Foto Menunjukkan Keris Panjang Berok Berayon semasa Pertabalan Sultan Ala'uddin Suleiman Shah sebagai Sultan Selangor ke 5 sekitar tahun 1903.


Dari maklumat yang dikumpul, keris ini pada asalnya dimiliki oleh Raja Berkat atau Raja Muhammad Saman, bergelar Tengku Panglima Raja yang  datang ke Selangor dari Sulawesi pada sekitar tahun 1855.  Raja Berkat telah bersurikan adinda Paduka Sri Sultan Abdul Samad yang bernama Raja Lebar dan dilantik menjadi Penghulu Mukim Kanchong didalam daerah Kuala Langat dan kemudian dilantik sebagai Ahli Majlis Negeri pada tahun 1877.

Keris ini kemudiannya diwarisi oleh anaknya, iaitu Raja Mahmud dan apabila Raja Mahmud pergi ke Mekah pada tahun 1912. beliau menyampaikan keris kepada baginda Paduka Sri Sultan Sir’ Ala’uddin Suleiman Shah dan sebagai balasan Sultan memberinya $ 500 sebagai mahar untuk disimpan bukan untuk dimiliki.

Sultan Ala'uddin Suleiman Shah


Pada zaman dahulu, jika seorang lelaki yang telah didapati bersalah atas suatu kesalahan dan dihukum mati, atas perintah Paduka Sri Sultan bahawasanya manusia itu akan ditikam dengan keris pada masa itu di Bukit Melawati, Kuala Selangor. Tengku Panglima Raja yang kebetulan tinggal berdekatan disediakan keris beliau berok berayon untuk menjalankan hukuman mati. Replika keris ini jelas di dalam jata Negeri Selangor.

Jata Negeri Selangor

Lirik lagu Keris Sakti yang dinyanyikan oleh saudara Fakhrul Razi dari Brunei untuk filem Keris Siamang Tunggal

—————–

Keris sahabat pada yang setia
Seteru pada yang derhaka
Siapa dia pahlawan perkasa
Yang akan menegak keadilan

Tujuh petala langit seru namanya
Tujuh petala bumi gerun akannya
Keris sakti kekuasaan raja
Keris sakti kebesaran negara

Jangan berkelana entah kemana
Hilang takhta hancur negara
Pulanglah segera menghalau durjana
Airmata merungkai segalanya

Tujuh petala langit seru namanya
Tujuh petala bumi gerun akannya
Keris sakti kekuasaan raja
Keris sakti kebesaran negara

Jangan berkelana entah kemana
Hilang takhta hancur negara
Pulanglah segera menghalau durjana
Airmata merungkai segalanya

Lalala lalala lalala lalala lalala

Jangan kelana entah kemana
Pulang segera menghalau durjana
Jangan kelana entah kemana
Pulang segera menghalau durjana

Jangan kelana entah kemana
Pulang segera menghalau durjana
Jangan kelana entah kemana
Pulang segera menghalau durjana



Sumber:




Comments