OLEH: Abu Amru Radzi Othman
Di Nusantara ini barangkali hanya ada satu spesis arnab asli dan ia terancam pupus iaitu arnab yang berada di Sumatera tepatnya di Pergunungan Barisan. Arnab ini dikenal sebagai Arnab Belang Sumatera atau Arnab Sumatera Telinga Pendek.
Arnab liar di Pergunungan Barisan Sumatera ini memiliki garis-garis coklat pada bulunya dengan ekor berwarna merah dan warna putih dibawah perutnya. Ukuran badan arnab ini sekitar 350 hingga 400mm panjang.
Dapat disimpulkan Arnab Sumatera Telinga Pendek ini adalah antara lagomorph paling langka. Sekitar sedozen spesimen muzium yang dikumpulkan antara tahun 1880 hingga 1916. Dan sehingga kini hanya tiga kali arnab tersebut dilihat, pertamanya pada 1972 dan yang terkini adalah pada 2017.
Tak disangka yang arnab ini memiliki saudara di Pergunungan Annamite yang berada di sempadan Laos dan Vietnam. Kedua-dua arnab ini berada dalam genus yang sama (Nesolagus) namun spesis yang berbeza. Genus nesolagus ini hanya ada tiga spesis. Selain dari Arnab Belang Sumatera dan Arnab Belang Annamite yang masih wujud, spesis yang satu lagi telah lama musnah, iaitu N. Sinensis yang fosilnya telah dijumpai di Gua Sanhe, Chongzuo, Guangxi, Selatan China.
Oleh kerana haiwan arnab ini tidak ada di Nusantara (dan hanya ada di tempat terpencil serta sukar ditemuka dan dilihat oleh bangsa kita) makanya kita tidak memiliki nama khusus untuk haiwan ini.
Mungkinkah nama 'kucing tapai' merupakan nama yang lebih awal digunakan oleh bangsa kita sebelum 'arnab' dan 'kelinci'. Wallahu'alam.
Lalu tidak hairanlah kata 'arnab' dan 'kelinci' merupakan kata serapan dari tamadun luar. Kata 'arnab' diambil dari bahasa Arab manakala 'kelinci' diserap dari bahasa Belanda.
UNGGIS DAN ARNAB
Terbitan: pengunggis
Imbuhan: mengunggis
Makna: menggigit sedikit-sedikit dengan gigi hadapan seperti orang makan tebu; mengerip; mengerumit
Sinonim: kerip, kerikit, gerumit
Ayat:
(1) arnab adalah binatang pengunggis yang suka memakan sayur-sayuran
(2) arnab itu sedang mengunggis sebatang lobak merah
Nama lain bagi arnab:
(1) kelinci
(2) kucing tapai
(3) kucing belanda
Catatan:
Agak menarik apabila melihat nama lain bagi arnab adalah Kucing Tapai dan Kucing Belanda. Kata ini berada dalam bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia.
Namun nama ini tidaklah pelik lantaran salah satu makna kata 'arnab' adalah 'sejenis binatang mengerip yang menyerupai kucing tetapi lebih panjang telinganya' (Kamus Dewan Edisi Keempat)
___________________________
~ Abu Amru Radzi Othman ~
Lajnah Sejarah Dan Tradisi
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________


Comments
Post a Comment