OLEH: Haziq Azhar
Ini merupakan artikel siri terakhir untuk konflik Uyghur di Xinjiang, China yang menjadi isu panas baru-baru ini.
Penulis kali ini tidak cuba menganalisis apa yang sedang berlaku di sana tetapi sekadar informasi untuk pembaca.
Malah artikel ini mungkin agak ringkas berbanding siri sebelumnya dan terpulang kepada pembaca sendiri untuk menilainya. (Artikel sebelum ini boleh dibaca di VariaKini)
Keadaan etnik selepas penubuhan Republik Rakyat China
Apabila Mao Zedong mengisytiharkan penubuhan Republik Rakyat China pada 1 Oktober 1949, wilayah Xinjiang dijadikan sebahagian daripada negara China.Mao turut melantik Saifuddin Azizi sebagai Gabenor Xinjiang yang mewakili Parti Komunis China di Xinjiang.
Bagaimanapun, nasionalis Uyghur tidak bersetuju Xinjiang menjadi sebahagian daripada Komunis China.
Namun begitu, nasionalis Uyghur tidak mempunyai pilihan selain melarikan diri ke Turki untuk mendapatkan suaka politik di sana.
Selain itu, mereka menghadapi masalah konflik dalaman di mana mereka sendiri mempunyai pelbagai ideologi politik berbeza.
Sesetengah pihak mereka menyokong Pan-Islamisme, ada yang menyokong Pan-Turkisme, dan Komunisme.
Perpecahan tersebut menyebabkan negara Turkistan Timur tidak kekal bertahan lama dan dijajah kembali oleh China.
Gerakan Islam Turkistan Timur
Penghijrahan kaum Cina ke Xinjiang telah menjadi kebimbangan dalam kalangan bangsa Uyghur.Mereka beranggapan penghijrahan kaum Cina telah menghapuskan hak mereka sebagai tuan di tanah sendiri.
Bilangan kaum Cina semakin bertambah di wilayah Xinjiang sehingga menjadikan Uyghur penumpang di tanah sendiri.
Oleh itu, berlakunya konflik di beberapa tempat seperti Dzungaria yang menuntut kemerdekaan daripada China.
Protes oleh kaum Uyghur di seluruh dunia
Selain di Xinjiang, kaum Uyghur turut melakukan protes di seluruh dunia terutama di Istanbul yang menuntut kemerdekaan daripada China.Gerakan Islam Turkistan Timur turut menuntut beberapa buah negara seperti Arab Saudi mendokong perjuangan mereka.
Anwar Yusuf Turani sebagai Perdana Menteri Uyghur government-in-exile (kerajaan Uyghur dalam buangan) meminta kerjasama daripada Amerika Syarikat untuk mengiktiraf kerajaan Uygur sekali gus mengiktiraf kemerdekaan Xinjiang.
Bagaimanapun, kerajaan Amerika Syarikat tidak melayani tuntutan mereka demi menjaga hubungan diplomatik dengan China.
Sehingga sekarang, Gerakan Islam Turkistan Timur masih bergiat aktif untuk mendapatkan perhatian dan pengiktirafan antarabangsa ke atas Uyghur.
Persoalan yang masih bermain sekarang, adakah Uyghur mampu mengembalikan maruah bangsa mereka pada masa hadapan?
___________________________
Haziq Azhar
Varia Kini - Federasi Sejarah
Telegram: https://t.me/revolusimelayubaru
Instagram: https://www.instagram.com/revolusimelayubaru
_____________________________

Comments
Post a Comment